Pemuda UMNO dan Sukaguam ke Sweden bantu 4 beradik
PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Januari, 2014: Pemuda UMNO dan Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) akan bertolak ke Sweden dalam tempoh terdekat bagi membantu empat beradik yang kini ditempatkan bersama keluarga angkat bukan Islam selepas ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa negara itu.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata, Pemuda UMNO dan SukaGuam sedia menjadi orang tengah untuk membantu proses pertukaran keluarga angkat empat beradik itu kepada keluarga beragama Islam.
Empat beradik yang berusia 7, 11, 12, dan 14 tahun itu kini ditempatkan bersama keluarga angkat selepas ibu bapa mereka Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal ditahan polis Sweden sejak 18 Disember lalu.
Azizul, Pengarah Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan untuk siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak solat.
Sehingga kini, tiada pertuduhan dikemukakan terhadap pasangan itu dan tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan dua minggu lagi.
Sheikh Nafiq berkata, Pemuda UMNO dan SukaGuam akan memberi 'sedikit penekanan' berhubung hak penjagaan empat beradik yang terpisah dengan ibu bapa itu agar mereka dijaga keluarga angkat beragama Islam supaya dapat menjalani kehidupan harian sebagai seorang Muslim. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment