Sunday, 23 February 2014

Kontras personaliti antara Mei Fun, Anwar

 Wee Ka Siong

HULU LANGAT, SABTU, 22 Februari, 2014:.Pemimpin MCA menyifatkan pemilihan Naib Presiden parti itu, Datuk Chew Mei Fun bagi menggalas cabaran Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu pada 23 Mac ini sebagai pilihan yang tepat dan sesuai.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, parti itu telah membuat pertimbangan secara mendalam sebelum mengemukakan nama Me Fun untuk ditonjolkan sebagai calon BN kerana mendapati beliau mempunyai harapan memenangi kerusi berkenaan.

"Ini kerana personaliti Mei Fun agak kontras dengan calon pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar hari ini cakap tidak bertanding, esok dia boleh masuk bertanding.

"Mei Fun kata dia akan letak jawatan, tidak kira jawatan timbalan menteri pun dia letak jawatan. Itu bezanya seorang pemimpin yang melakukan apa dijanjikan. Tidak seperti pemimpin yang cakap tidak serupa bikin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menyertai kepemimpinan MCA mengadakan tinjauan mesra dan melawat beberapa pusat daerah mengundi sekitar Kajang di sini hari ini.

Program itu diketuai oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan turut diiringi Mei Fun serta Pengerusi MCA Bahagian Hulu Langat, Lee Ban Seng.

Dalam pada itu, Ban Seng berkata, pencalonan Mei Fun mewakili BN dilihat mempunyai peluang yang lebih baik menentang Anwar apabila beliau mendapat sokongan padu daripada jentera tempatan.

Katanya, Mei Fun juga mempunyai rekod baik semasa berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara sehingga mendapat pujian masyarakat di situ selain dikenali sebagai seorang pemimpin yang mudah didekati.

"Ada juga yang bertanyakan kenapa tidak meletakkan calon anak tempatan tetapi perbincangan dengan pucuk kepemimpinan parti melihat Mei Fun lebih mempunyai peluang dengan sokongan kepemimpinan tempatan Kajang.

"Dengan itu kita akan memberi sepenuh sokongan bagi membantu kemenangan BN," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment