Sunday, 23 February 2014

Najib minta elak ditipu janji-janji pembangkang

KUALA LUMPUR, SABTU, 22 Februari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat agar tidak lagi tertipu dengan janji-janji pembangkang yang sekadar lunak didengar tetapi hakikatnya boleh menghancur negara jika kepimpinan negara beralih ke tangan mereka.

Perdana Menteri menegaskan, atas sebab itu, rakyat wajar menolak segala dasar tidak bertanggungjawab yang dikemukakan pembangkang termasuk manifesto ekonomi mereka dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau percaya, sekiranya sesuatu dasar itu membawa kesan yang buruk kepada negara, pastinya rakyat menerima kesan yang sama.

"Kita mesti menolak dasar tidak bertanggungjawab walaupun bunyinya sedap. Siapa tidak suka harga minyak turun, tol turun dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tak payah bayar balik," katanya ketika berucap melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 dan i-BR1M Peringkat Nasional, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.

Menurut Najib, pihak pembangkang boleh membuat apa sahaja janji tanpa memikirkan kesan buruk kepada rakyat.

"Dah kena tipu 16 September, betul? Dah kena tipu fasal 40,000 Bangladesh menjadi pengundi dalam pilihan raya yang lalu, betul? Padahal cuma 12 orang Bangladesh menjadi warganegara dalam masa 10 tahun. Kalau nak jadi pengundi kena jadi warganegara, betul?

"Kalau tidak percaya saya, tanya Jabatan Pendaftaran, dia boleh dakwa 40,000 Bangladesh mengundi. Kena tipu lagi... Pasal blackout pula, dia kata kita tipu peti undi.

"Lepas itu bila kalah pilihan raya hendak jadi pensyarah. Tak jadi pensyarah lagi, masih hendak bertanding di Kajang," katanya.

Najib berkata, berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), apabila diberi kepercayaan oleh rakyat, parti itu akan membalas segala keyakinan rakyat itu dengan sebaik-baiknya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment