Sunday, 23 February 2014

Mei Fun mampu beri terbaik

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
 * LIIOW Tiong Lai (kanan) dan Chew Mei Fun (dua dari kanan) berbual mesra dengan penjaja popiah Ali Kajang, Abdul Latif Mohamad Sultan di bandar Kajang, Selangor, semalam. - MINGGUAN/ SAIFUL BAHARI ASHARI
HULU LANGAT, SABTU, 22 Februari, 2014: Datuk Chew Mei Fun merupakan seorang pemimpin berkaliber dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau percaya kemampuan Naib Presiden parti itu yang tidak akan menghampakan pengundi di DUN tersebut.

Beliau memberitahu, MCA tidak bermain politik dalam PRK berkenaan tetapi ikhlas berhadapan dengan masalah rakyat dan cuba menyelesaikannya.

"Apa yang penting rakyat boleh percaya kepada calon kita. Beliau mempunyai rekod yang baik dan telah menunjukkan integriti, berprinsip serta berpegang kepada janji," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra dan melawat beberapa pusat daerah mengundi (PDM) di sekitar Kajang di sini hari ini.

Program itu turut disertai Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Mei Fun dan Pengerusi MCA Bahagian Hulu Langat, Lee Ban Seng.

Mei Fun dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRK DUN Kajang untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding selepas kerusi itu dikosongkan Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletakkan jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang itu.

Pemilihan Mei Fun, 50, yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Mei Fun mempunyai rekod dan pengalaman politik yang luas dengan pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Ketua Wanita MCA, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita MCA dan timbalan menteri disandangnya pada April 2010 bagi menepati janjinya untuk berbuat demikian jika Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dipilih sebagai Presiden MCA pada pemilihan parti masa itu.

Mei Fun bagaimanapun membuat kemunculan semula apabila bertanding pada pemilihan MCA penghujung tahun lalu dan memenangi jawatan Naib Presiden.

Menurut Tiong Lai, sifat yang ada dalam diri Mei Fun menjadikan beliau sebagai seorang calon berkaliber tinggi dan mampu bersaing dengan sesiapa sahaja termasuk Anwar.

Dalam pada itu, Mei Fun berkata, beliau bersama MCA akan merangka satu manifesto khusus untuk penduduk Kajang.

Katanya, manifesto berkenaan bagi membolehkan pengundi menilai dan mengetahui perkara yang dijanji dan akan dilaksanakan jika diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat mereka.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya dia 'dibuli' oleh BN apabila dinamakan sebagai calon parti itu untuk menentang Anwar.

"Semua parti bertanding pilihan raya untuk menang dan akan memilih calon bersesuaian tidak kira lelaki atau wanita," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment