Anak tanggung biaya hingga ibu peroleh PhD
PULAU PINANG, SABTU, 26 April, 2014: Seorang anak mempunyai cara berbeza untuk membalas jasa orang tuanya apabila sanggup menaja pengajian ibunya di peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Suraya Ali, 36, yang juga seorang akauntan berkata, dia mengambil keputusan berkenaan kerana ingin melihat ibunya, Zainon Ghazaley, 64, gembira melakukan perkara yang diminati iaitu belajar selepas bersara sebagai kakitangan kerajaan.
"Saya mendapati kebanyakan kawan-kawan ibu mempunyai PhD dan menyedari beliau masih berminat untuk belajar, saya dan adik lelaki, Muhammad Syafiq bersetuju untuk menaja kos pengajiannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang pertama Majlis Konvokesyen USM ke-49 di sini hari ini yang dirasmikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Suraya yang memiliki firma akauntan di Kajang, Selangor berkata, disebabkan ibunya menyambung pelajaran ketika usia emas, pihak universiti mengenakan yuran pengajian yang sangat berpatutan iaitu RM500 bagi setiap semester.
"Sebelum berjaya mendapatkan PhD ibu terpaksa menamatkan pengajian selama empat tahun dan melakukan kajian. Saya sanggup membiayai pengajian ibu sebagai membalas jasanya membesarkan serta memberi pendidikan terbaik kepada saya sebelum ini, " katanya.
Suraya berkata, adiknya Muhammad Farid yang bertugas sebagai pembantu juruterbang di Malaysia Airlines (MAS) turut menyokong dengan menaja tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang setiap kali ibu mereka perlu menghadiri kelas dan berjumpa pensyarah.
Sementara itu, Zainon yang juga bekas kakitangan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau bersyukur kerana impian untuk memiliki PhD dalam bidang Kerja Sosial menjadi kenyataan.
"Saya telah buktikan usia bukan penghalang jika kita mempunyai keinginan yang tinggi. Saya juga terpaksa belajar menggunakan komputer kerana tidak mahir dan itu merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi," katanya.
Zainon yang kini bertugas sebagai pensyarah sambilan di Institut Sosial Malaysia berkata, untuk memenuhi syarat pengajian, dia terpaksa membuat kajian bertajuk Keperluan Psikologi Sosial Warga Tua Pelbagai Bangsa.
"Kajian saya mendapati warga emas pelbagai kaum berasa sunyi kerana kurang berkomunikasi dengan anak-anak mereka yang sibuk dengan kerjaya masing-masing.
"Bagi menyiapkan tugasan, saya menubuhkan Kelab Warga Tua Cemerlang yang dianggotai oleh 10 warga emas di Kajang. Setakat ini, pelbagai aktiviti telah dianjurkan seperti senaman dan sebagainya supaya mereka tidak berasa terpinggir," katanya.
Zainon yang sebelum ini mempunyai ijazah pertama dalam bidang Sains Sosial dari USM dan Sarjana Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap warga emas yang lain akan berusaha bersungguh-sungguh jika mereka berhasrat untuk menyambung pengajian. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment