My Add

Sunday, 27 April 2014

PNB intai pasaran antarabangsa

Oleh Zunaidah Zainon
 
 * HAMAD Kama Piah Che Othman (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelabur PNB semasa Seminar Khas Keusahawanan sempena MSAM di Kota Bharu, Kelantan, semalam. - MINGGUAN/ASMA HANIM MAHMOOD
KOTA BHARU, SABTU, 26 April, 2014: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) sedang menjalankan kajian terperinci dan mencari waktu yang sesuai untuk menceburi pasaran antarabangsa bagi pelaburan dana rakyat menerusi unit-unit amanah saha, SABTU,mnya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, kajian tersebut amat diperlukan supaya tidak menjejaskan pelaburan yang dibuat dan mampu memberi nilai tambah yang baik.

"Kita telah berbincang dan akan cuba untuk melabur di luar negara secara berperingkat-peringkat," katanya selepas merasmikan Seminar Khas Keusahawanan anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014, di sini hari ini.

Seminar tersebut diadakan khusus untuk pelabur setia PNB dan penduduk Kelantan sebagai satu daripada usaha dan pendekatan PNB untuk menambah nilai kepada pelabur dan masyarakat.

Menurut beliau, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dana unit amanah yang diuruskan PNB telah mencatat peningkatan sebanyak 8.36 bilion unit menjadikan keseluruhan dana diuruskan adalah 184 bilion unit.

"Sepanjang tahun lalu, PNB berjaya menggembleng 20.88 bilion unit hasil pelaburan unit-unit baharu dan pelaburan semula pemegang unit. Peningkatan ini adalah tertinggi dalam rekod pelaburan ASNB.

"Lebih membanggakan, PNB berjaya menarik 480,000 pemegang akaun baharu sepanjang 2013," katanya.

Beliau memberitahu, jumlah pemegang unit amanah di bawah PNB turut meningkat sebanyak 12,000 orang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan jumlah keseluruhannya kini 11.85 juta orang.

Sehingga Mac 2014, PNB sudah menguasai 64.5 peratus nilai aset bersih keseluruhan industri.

Bagi dana di bawah pengurusan PNB iaitu dana pemegang unit dan dana proprietari PNB, turut meningkat kepada RM268 bilion atau bersamaan 15 peratus nilai permodalan pasaran Bursa Malaysia.

Dari segi pengurusan dana, tahun lalu PNB berjaya mengekalkan rekod membayar pengagihan pendapatan pada kadar yang baik dan kompetitif iaitu sekitar 6.40 sen seunit hingga 7.70 sen seunit.

Pada tahun lalu, PNB mengumumkan pengagihan dividen dan bonus berjumlah RM12.88 bilion.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB akan membuat pelancaran di peringkat negeri bagi menggalakkan masyarakat melabur dalam Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2).

Beliau berkata, pendekatan itu penting memandangkan terdapat segelintir masyarakat masih belum menyedari tentang kepentingan melabur dalam unit amanah tersebut.

"Faktor ini berpunca daripada tanggapan sesetengah pihak sekiranya mereka sudah membuat pelaburan dalam ASB, mereka tidak perlu lagi melabur dalam ASB2," katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, ASB2 merupakan produk PNB yang paling mendapat sambutan menggalakkan berbanding produk-produk lain yang terdahulu.

"Prestasi sebulan pertama sangat baik berbanding unit amanah yang lain," katanya.

ASB2 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 April lalu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment