My Add

Monday, 28 April 2014

Ramai bumiputera miliki saham

Oleh AZRAN FITRI RAHIM dan MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU, AHAD, 27 April, 2014: Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang ditubuhkan pada tahun 1978 telah membuktikan keberkesanannya untuk melahirkan lebih ramai golongan bumiputera terlibat dalam pemilikan saham korporat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, malah ada di antara mereka berjaya mengemudi syarikat-syarikat besar dan strategik negara.

Beliau berkata, ia merupakan peranan PNB sebagai suatu platform untuk menyusun semula masyarakat dari aspek pembahagian kekayaan negara.

"Hakikatnya, dana-dana perlaburan yang diuruskan oleh PNB, yang kini berjumlah 183.94 bilion unit milik 11.85 juta pelabur telah menyaksikan peningkatan yang begitu signifikan berbanding 35.96 bilion unit dalam edaran milik 7.76 juta pelabur pada tahun 2000.

"Setelah 36 tahun beroperasi, sudah pastilah dana milik PNB semakin bertambah dan berkembang, hasil daripada keuntungan yang diperoleh setiap tahun yang disimpan dan dilaburkan semula.

"Pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berterusan juga penting agar kekayaan negara yang berkembang dapat diagihkan semula kepada golongan memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2014 (MSAM 2014) di Pusat Transformasi Luar Bandar, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

MSAM 2014 dianjurkan oleh PNB, dengan sokongan 12 syarikat kumpulannya yang berperanan sebagai rakan premier, rakan utama, rakan program keagamaan dan rakan teknologi.

Program selama seminggu bermula 20 April itu adalah penganjuran fasa kedua selepas melengkapkan penjelajahan ke seluruh negara sejak pelancaran pertamanya di Kuala Lumpur pada 2000.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan ekonomi dapat terus berkembang, semua pihak perlu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menarik pelabur dari dalam mahu pun luar negeri.

"Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia telah menikmati perpaduan dan keharmonian kaum dalam tempoh yang berpanjangan bagi membolehkan kerajaan melaksanakan program dan dasar-dasar yang telah dirangka dengan berkesan.

"Hasilnya negara menikmati pertumbuhan ekonomi yang berterusan seperti yang diumumkan oleh Bank Negara bahawa Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.1 peratus untuk suku keempat 2013.

"Ekonomi negara diunjurkan berkembang lebih kukuh pada kadar 5 peratus sehingga 5.5 peratus untuk keseluruhan tahun 2014 seiring dengan prospek ekonomi yang dijangka lebih baik," katanya.

Tambah beliau, PNB juga telah berjaya memberikan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan kepada masyarakat.

"Seperti pepatah lama yang sering digunakan, 'berikan ikan kepada seseorang dia dapat makan untuk sehari, ajarkan seseorang untuk memancing ikan, dia dapat makan untuk seumur hidup'.

"Maka di sini PNB bukan setakat memberi ikan (dalam bentuk dividen) kepada pelabur tetapi turut mengajar mereka 'memancing' dan seterusnya menjadi peneraju yang merevolusikan industri yang diceburi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment