Wujud jawatankuasa kaji lebih teliti hudud
KOTA BHARU, AHAD, 27 April, 2014: Sebuah jawatankuasa teknikal khas mengenai hudud membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan perlu diwujudkan di peringkat kebangsaan bagi membolehkan undang-undang Islam itu dibincangkan secara terperinci, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, menerusi perbincangan yang dibuat dalam bentuk lebih sistematik, hudud dapat dikaji dengan lebih teliti sekali gus membantu semua pihak melihat situasi sebenar sebelum memutuskan untuk membawa usul mengenainya ke Parlimen.
Katanya, beliau sempat membincangkan mengenai perlaksanaan hukum hudud di negeri ini dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika bertemu pada Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2014 (MSAM) di sini pada pagi tadi.
"Saya sudah sebut perkara ini kepada Timbalan Menteri Besar supaya sebelum pihak Pas bentangkan usul itu, eloklah kita adakan satu perbincangan yang dihadiri pakar-pakar.
"Mungkin sebuah jawatankuasa teknikal boleh dibentuk dengan anggotanya terdiri daripada wakil Kerajaan Persekutuan seperti Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan wakil negeri seperti Majlis Agama Islam Kelantan serta tokoh-tokoh agama dan jika didapati sesuai, boleh jemput pakar di peringkat antarabangsa dari negara Islam lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama dalam Seminar Profesionalisme Pengurusan Pendidikan Kepimpinan Berprestasi Tinggi di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.
Muhyiddin berkata, walaupun Pas bercadang melaksanakan hudud di Kelantan sahaja, penglibatan wakil di peringkat pusat serta pihak lain dalam jawatankuasa teknikal itu amat diperlukan memandangkan pelaksanaan undang-undang Islam tersebut bakal memberi implikasi besar kepada negara.
Timbalan Perdana Menteri dalam pada itu memberitahu, beliau telah pun menerima reaksi positif daripada Mohd. Amar yang secara dasarnya bersetuju mempertimbangkan cadangan itu sebelum membawa usul berkenaan ke Parlimen.
Ditanya adakah UMNO akan menyokong Pas ketika usul tersebut dibentangkan, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perkara itu akan ditentukan selepas pihak parti menerima penjelasan terperinci daripada Pas.
"Itu saya tidak boleh buat andaian sekarang kerana kita mahu tahu ceritanya dahulu.
"Kalau tak sokong nanti kata tak sokong hudud pula sedangkan ia membawa banyak makna. Kena fikir teliti dan masak-masak kerana ini satu perkara baharu dalam negara," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyelar sikap pemimpin DAP apabila mempertikaikan keikhlasan UMNO yang sedia duduk berbincang dengan Pas mengenai hudud.
"Dia tak setuju hal hudud apa fasal dia mempertikaikan orang lain, itu hak kita. Mereka sesama sendiri tidak sebulu dengan saranan Pas tetapi nak tuduh UMNO begitu.
"Sepatutnya mereka fikir dari pelbagai perspektif, UMNO ada pendirian, ada pandangan sendiri. DAP tidak boleh mempertikaikan perkara ini, macam mana boleh tahu kita ikhlas atau tidak," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment