My Add

Sunday, 27 April 2014

Suwaibah lepasi sempadan Turkmenistan-Iran

 * SUWAIBAH memegang bendera Malaysia ketika berada di Turkmenistan.
KUALA LUMPUR, SABTU, 26 April, 2014: Pelari solo wanita negara, Suwaibah Md. Nasir meneruskan Misi Larian Terusan Sutera-Merentasi Laluan Marco Polo Beijing-Venice (Larian Aroma) yang memasuki hari ke-28 dengan menyeberangi sempadan Turkme­nistan ke Iran hari ini.

Suwaibah dijangka tiba ke Tehran, Iran dalam masa empat hari lagi de­ngan berlari pada jarak 50 kilometer (km) setiap hari dan setakat ini, La­rian Aroma telah meliputi jarak 828 kilometer selepas acara pelepasan dari Beijing, China pada 30 Mac lalu.

Menurut pembantu peribadi Suwaibah, Lila Ruzaini Hussain, misi Larian Aroma telah melalui empat negara iaitu China, Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan.

"Suwaibah mengalami kesakitan pada bahagian lutut semasa di Uzbekistan dan kini beransur pulih.

"Kami juga menghadapi sedikit masalah semasa memasuki sempadan dari sebuah negara ke negara lain melalui jalan darat," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Larian di Beijing bermula pada 3 April sehingga 11 April lalu di beberapa lokasi termasuk Lebuh Xin Zhang Jie, Masjid Nuijie, Forbidden City, Lebuh Chaoyangmen Beixiojie, Lebuh Kebudayaan dan Pejalan Kaki Nan Xin Cang, Menara Xin Chang, Stadium Walker, Plaza Jiangshu, Zoo Beijing, Panda House dan Lebuh Sutera.

Tambah Lila Ruzaini, Suwaibah seterusnya berlepas ke Almaty, Kazakhstan pada 12 April lalu dan mula berlari dari Almaty pada 15 April serta tiba di Taraz, Zhabagaly, Antar, Akhu dan Shymkhent pada hari yang sama. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment