Wednesday, 1 May 2013

Anwar anggap media utama jadi ancaman

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Tindakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh media arus perdana tidak boleh dipercayai dan tidak berlandaskan fakta dilihat tidak ubah seperti pepatah Melayu 'kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'.

Menurut Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib (gambar), ini kerana tuduhan tersebut mirip terhadap apa yang dilakukan Anwar sendiri pada 1993 ketika bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

"Pada tahun tersebut, beliau secara besar-besaran telah mengawal serta mengeksploitasi semua media arus perdana untuk memburukkan pesaingnya, Allahyarham Tun Ghafar Baba, sekali gus meraih kemenangan untuk jawatan tersebut.

"Sekarang, beliau pula yang tiba-tiba menuduh media arus perdana melaporkan perkara yang tidak betul dan berunsurkan fitnah terhadap orang lain terutama dirinya sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, dalam ceramahnya di Permatang Pauh, Anwar mendakwa media arus perdana di negara ini tidak boleh dipercayai kerana melaporkan perkara tidak benar dan tidak berlandaskan fakta.

Tambahnya, media arus perdana akan mengikuti etika nilai yang betul sebaik sahaja beliau mengambil alih Putrajaya.

Menurut Dzulkarnain, apa yang telah dipaparkan oleh media arus perdana tidak mengandungi penipuan dan segalanya adalah benar serta mempunyai asas serta bukti yang kukuh.

"Bagaimanapun, Anwar melihat perkara ini sebagai ancaman terhadapnya. Apa yang media arus perdana tunjukkan bukanlah fitnah dan propaganda kerana disertakan dengan bukti-bukti kukuh, contohnya isu melibatkan video lucah beliau yang telah disaksikan oleh ramai orang. Jadi dakwaan beliau yang sebenarnya tidak berasas.

"Kalau benarlah itu semua adalah tipu, kenapa setiap kali diajukan soalan berkaitan moral dan akhlaknya, beliau sentiasa mengelak ," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment