My Add

Friday 29 June 2012

25 warga asing termasuk bayi ditahan

MELAKA, JUMAAT, 29 Jun, 2012:: Sejumlah 25 warga asing, termasuk bayi dan kanak-kanak, ditahan kerana melanggar pelbagai peraturan imigresen dalam 'Ops Bersepadu 6P' di negeri Melaka semalam. 

Pengarah Imigresen Melaka, Kamalludin Ismail, berkata mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan lima bulan hingga 41 tahun, terdiri daripada sembilan wanita China, seorang wanita Vietnam, lima wanita dan enam lelaki Indonesia selain seorang bayi, seorang kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki.

Beliau berkata, seorang pemastautin tetap turut ditahan kerana melindungi dua warga asing di dalam rumahnya.

Katanya, operasi yang dijalankan dari 10 malam hingga 4 pagi diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd Yusof Hashim, membabitkan 30 anggota dari Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Negara. 

"Operasi dijalankan di empat tempat sekitar negeri Melaka iaitu di sebuah pusat karaoke di Melaka Raya, Tanjung Minyak, Tanjung Keling dan Bukit Baru," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Kamalluddin berkata, 44 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan daripada jumlah itu, 25 ditahan untuk siasatan lanjut kerana pelbagai kesalahan, termasuk melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan, tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah serta pas atau permit tamat tempoh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment