My Add

Thursday 31 October 2013

Setiap hari 60 orang bankrap di Malaysia - Nancy

PUTRAJAYA, KHAMIS, 31 Oktober, 2013: Sebanyak 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini dengan golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu 34.31 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Katanya, kumpulan kedua tertinggi ialah berumur 45 hingga 54 tahun sebanyak 26.49 peratus, 25 hingga 34 tahun 20.09 peratus serta 55 tahun dan ke atas 11.77 peratus.

"Sehingga September (tahun ini sahaja) sebanyak 16,306 orang diisytiharkan bankrap dan jumlah kes tersebut terus meningkat setiap tahun. Dari 2007 hingga September tahun ini pula, seramai 116,488 orang diisytiharkan bankrap," katanya.

Nancy berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sijil pelepasan kebankrapan kepada 30 orang, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Rohana Abd Malek.

Katanya, sejak MdI ditubuhkan pada 1924 hingga September tahun ini, sebanyak 251,209 orang disahkan bankrap, dan daripada jumlah tersebut hanya 28 peratus sahaja telah mendapatkan khidmat nasihat MdI bagi meneruskan pentadbiran kes, manakala selebihnya tidak dapat dikesan.

Mengikut statistik MdI, seramai 13,238 orang dikategorikan bankrap pada 2007, diikuti 13,855 orang pada 2008; 16,228 orang 2009; 18,119 orang 2010; 19,167 orang 2011; dan 19,575 orang pada 2012, dengan mereka yang menceburi sektor swasta dan berniaga menunjukkan peratusan tertinggi.

Dalam tempoh masa tersebut (2007-2013), kaum Melayu dan Cina merupakan kumpulan terbesar menjadi bankrap iaitu masing-masing mencatatkan 45.10 peratus (52,535 orang) dan 32.97 peratus(38,407 orang), berbanding India 12.63 peratus (14,710 orang) dan lain-lain sebanyak 9.30 peratus (10,836 orang).

Sementara bagi kategori pula (2007-2013), sewa beli kenderaan mencatatkan jumlah tertinggi kebankrapan iaitu 30,451 kes (26.14 peratus); diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes (17.62 peratus); pinjaman peribadi 18,053 kes (15.50 peratus); dan pinjaman perniagaan 14,431 kes(12.39 peratus).

Statistik MdI juga menunjukkan bahawa hutang kad kredit hanya 4,875 kes (4.18 peratus) bagi tempoh masa tersebut.

Mengulas lanjut, Nancy berkata kebankrapan bukan penghujung hidup sebaliknya ia boleh menjadi pelindung apabila seseorang gagal untuk membayar hutangnya kepada pemiutang atas pelbagai faktor.

Katanya, di negara maju seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, masyarakat menjadikan kebankrapan sebagai pelindung dengan memfailkan permohonan kebankrapan dan membuat penstrukturan semula hutang.

"Budaya inilah yang mahu diterapkan dalam kalangan rakyat kita. Kita tidak mahu rakyat yang hanya tahu berhutang tetapi akhirnya lari daripada tanggungjwab pinjaman yang telah dibuat.

"Bagi Januari hingga September sahaja, sebanyak 27,432 petisyen kebankrapan telah difailkan di mahmakah.

"Daripada jumlah tersebut 99.2 peratus (27,210 kes) petisyen kebankrapan dibuat oleh pemiutang, manakala 221 kes (0.8 peratus) sahaja petisyen kebankrapan dipohon penghutang sendiri," katanya.

Bagi mereka yang mengalami bebanan hutang dan kesukaran membayar balik jumlah hutang yang tinggi, katanya kerajaan di bawah Bank Negara telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (APKP)yang berperanan dalam pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan pengurusan kredit.

Selain itu, katanya, undang-undang kebankrapan sedia ada juga sedang dalam proses pembaharuan agar tidak ramai lagi yang menjadi mangsa kebankrapan. - BERNAMA 
Proton lancar Suprima S untuk pasaran di Indonesia

 * GAMBAR fail menunjukkan Hisham Othman memberi taklimat mengenai Suprima S ketika majlis pelancarannya di ibu negara Ogos lalu. Proton memperkenalkan model tersebut di Indonesia bagi pasaran negara jiran itu. - UTUSAN
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Oktober, 2013: Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan Proton Suprima S di Indonesia, menjadikan kemasukan pertama model hatchback dalam pasaran eksport sejak dilancarkan di Malaysia pada Ogos.

Pelancaran Proton Suprima S dibuat dalam tempoh empat bulan selepas Proton Preve diperkenal di Indonesia.

Ketua Pegawai Operasi Proton (Komersil), Hisham Othman dalam satu kenyataan menyebut Proton berharap Suprima S dapat menawan hari peminat kereta di republik itu.

"Proton terus komited untuk memenuhi permintaan pelanggan dan akan terus mengeluarkan pelbagai produk yang menjadikan pemanduan menarik dan memuaskan.

"Yang lebih penting, kereta yang selamat, berkualiti tinggi dan berbaloi."

Proton Suprima S dilengkapi standard keselamatan tertinggi, selain memperoleh penarafan 5 Bintang ANCAP. - BERNAMA 
Petronas temui tiga kawasan deposit gas baharu
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Oktober, 2013: Petronas hari ini mengumumkan penemuan baharu gas di tiga daripada penerokaan huluannya di Malaysia, Indonesia dan Australia.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata penemuan pertama ialah menerusi telaga Pegaga-1 di Blok SK320, luar pesisir Sarawak, dikendalikan oleh Mubadala Petroleum menerusi sekutu Malaysia.

Telaga Pegaga-1 terletak kira-kira 250 km ke barat laut Bintulu, dengan kedalaman laut 108 meter.

"Syarikat pengendali merancang untuk terus menggerudi bagi menentukan jumlah penemuan dan kualiti gas," kata syarikat.

Unitnya, Petronas Carigali Sdn Bhd mempunyai kepentingan 25 peratus di dalam blok itu.

Di Indonesia, PetroChina, syarikat pengendali dan rakan Petronas di Blok Jabung Sumatra, telah berjaya menjumpai gas menerusi telaga NEB Base-1.

Petronas menguasai 42.85 peratus kepentingan di dalam Blok Jabung.

Secara keseluruhan, syarikat itu terdapat di tujuh blok di Indonesia dengan ia mengendalikan tiga daripada penerokaan itu.

"SKK Migas, pihak berkuasa kerajaan yang menguruskan aktiviti kontraktor perkongsian pengeluaran di Indonesia, amat menyokong usaha sama cari gali di blok berkenaan," katanya.

Di Australia, Evans Shoal North-1 di lapangan gas Evans Shoal Laut Timor telah berjaya menggerudi sehingga kedalaman sasaran 3,955 meter.

Rakan-rakan di dalam usaha sama NT/P48 ialah Shell (pengendali; 32.5 peratus), Eni (32.5 peratus), Petronas (25 peratus) dan Osaka Gas (10 peratus).

Telaga itu dikendalikan oleh Eni bagi pihak usaha sama itu.

Untuk Malaysia, hasil penemuan di Blok SK320 membuktikan masih terdapat potensi hidrokarbon di Lembangan Sarawak, kata Petronas. - BERNAMA 
Lelaki didakwa membunuh remaja perempuan

Oleh SITI NOORALINA AHMAD

 * PEKERJA penyelenggara tapak binaan, Poon Wai Hong, 23 dibawa ke mahkamah bagi pendakwaan atas tuduhan membunuh seorang remaja perempuan Ng Yuk Tim,15, yang mayatnya disumbat di dalam pakaian, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini. - UTUSAN
PETALING JAYA, KHAMIS, 31 Oktober, 2013: Seorang penyelenggara tapak binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh remaja perempuan Ng Yuk Tim, 15, yang mayatnya disumbat di dalam beg pakaian di Klang, minggu lalu.

Poon Wai Hong, 23, didakwa membunuh mangsa di rumah No. 665 Jalan PJU1/4F Kampung Cempaka, Kelana Jaya di sini antara pukul 3 dan 4 petang, 21 Oktober lalu.

Lelaki itu mengangguk tanda memahami pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Majistret K.B. Elene Hong Tze Lan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh. - UTUSAN ONLINE 
Mahkamah batalkan saman RM2 bilion Halim Saad

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Oktober, 2013: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman RM2 bilion yang difailkan oleh ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad terhadap kerajaan Malaysia.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman tersebut. - UTUSAN ONLINE 
Hubungan Malaysia-UK amat selesa - Najib

 NAJIB Razak menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Asset Issekeshev (kanan) di hotel penginapannya di London semalam. Turut kelihatan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed (kiri). - BERNAMA
LONDON, KHAMIS, 31 Oktober, 2013: Hubungan Malaysia-United Kingdom (UK) yang kini dilihat berada dalam keadaan amat selesa, diharap dapat membuka lebih banyak ruang dan potensi perniagaan dan pelaburan bagi kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Beliau berkata penerimaan positif kerajaan Britain terhadap Malaysia boleh dilihat menerusi ucapan Perdana Menterinya David Cameron pada sesi ucapan khas hari pertama Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kesembilan pada Selasa.

"Tidak payah saya huraikan. Kita boleh lihat bahawa hubungan antara kami berdua boleh saya anggap sebagai amat selesa dan beliau juga memberi kata-kata yang memberangsangkan dalam ucapannya terhadap Malaysia," kata Najib ketika menemui pemberita Malaysia di sini.

Beliau diminta mengulas hubungan Malaysia dan United Kingdom yang semakin baik berbanding hubungan terdahulu antara Malaysia dengan bekas pemimpin-pemimpin negara itu.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berada di sini sempena lawatan kerja lima hari untuk menghadiri WIEF.

Perdana Menteri berkata Cameron mempunyai pandangan yang begitu tinggi terhadap kejayaan yang dinikmati Malaysia.

"Bidang perniagaan dan pelaburan sedikit sebanyak (dipengaruhi) isyarat atau signal daripada pimpinan mereka. Kalau pimpinan mereka ini mempunyai sikap dan pandangan yang begitu positif terhadap negara Malaysia, harap-harap limpahannya, tempiasnya, dapat dirasai dan diterima baik oleh mereka," kata Najib.

Ini termasuk melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat yang terlibat dalam bidang teknologi terkini.

Dalam rundingan dua hala dengan Cameron di kediaman rasminya di No 10, Downing Street semalam, kedua-dua negara bersetuju bekerjasama dalam bidang pertahanan iaitu perkongsian dalam pertahanan dan keselamatan.

"Kita telah berbincang berkenaan jenayah siber, keselamatan sempadan dan juga kerjasama lain dalam bidang pertahanan," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata syarikat di United Kingdom mempunyai keupayaan yang kukuh dan terkini dari segi teknologi dan mampu dikongsi dengan Malaysia.

"Ini terserah kepada pakar-pakar kita untuk menentukan keupayaan yang perlu kita miliki untuk menjaga keselamatan siber di Malaysia," katanya.

Kedua-dua pemimpin itu juga bertukar-tukar pendapat tentang isu-isu antarabangsa terutama Asia Tengah, dalam pertemuan selama kira-kira 30 minit itu.

Sebelum ini, Malaysia dan United Kingdom bersetuju mencapai sasaran dagangan bernilai RM26 bilion menjelang 2016.

Sementara itu, Najib juga menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan Asset Issekeshev.

Perdana Menteri berkata Kazakhstan sedang menimbang untuk membenarkan sebuah bank Malaysia membuka cawangannya di negara berkenaan.

Selain itu, terdapat banyak peluang dalam industri minyak dan gas, produk Halal dan binaan, katanya.

Menyentuh pertemuannya dengan 20 wakil profesional Malaysia, Najib berharap mereka akan menjadi duta kecil untuk menggambarkan kedudukan sebenar di Malaysia.

"Saya juga kata mereka perlu menguasai kemahiran tertinggi atau sebanyak mungkin dan selepas itu mereka boleh balik ke Malaysia jika merasakan ada peluang untuk mengembangkan bakat mereka di tanah air. - BERNAMA 
Ahli Parlimen Sepang mohon maaf kepada PM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Oktober, 2013: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memfitnah Perdana Menteri dalam kejadian operasi Lalang pada 1987.

Wakil rakyat Pas itu juga menarik balik kenyataannya yang menuduh Perdana Menteri mahu menitiskan darah orang Cina dengan keris ketika mencelah semasa perbahasan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober lalu.

Permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan tersebut menyelamatkan Mohamed Hanipa daripada dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengemukakan usul bertulis. - UTUSAN ONLINE 
Jawatan Menteri Pengangkutan diputus selepas AGM MCA

LONDON, KHAMIS 31 Oktober, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan membuat keputusan mengenai jawatan menteri pengangkutan yang belum diisi selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) MCA Disember ini.

"Apapun kita tunggu AGM mereka dahulu. Apakah keputusan muktamad yang akan dibuat pada mesyuarat agung tahunan MCA yang akan berlangsung pada bulan Disember. Setelah itu saya akan buat keputusan," kata beliau kepada pemberita Malaysia di sini.

Perdana menteri berada di sini sempena lawatan kerja lima hari bermula 27 Okt untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia Kesembilan yang akan berakhir hari ini.

Najib, yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, diminta mengulas keputusan MCA baru-baru ini yang kekal tidak mahu menerima apa-apa jawatan kabinet berikutan kekalahan teruk parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas.

Pada 20 Oktober lalu, Mesyuarat Khas MCA telah memutuskan ketetapan itu kekal.

Bagaimanapun parti komponen itu meluluskan usul supaya parti menerima jawatan Senator dan sebarang jawatan dalam kerajaan pusat dan negeri, termasuk Exco.

Buat masa ini jawatan menteri pengangkutan dipangku oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - BERNAMA 
Pengundi wajar beri peluang Barisan Nasional bangunkan Sungai Limau


MUKADIMAH
TAN SRI BADRUDDIN AMIRULDIN pernah menjadi Ahli Parlimen Jerai ketika Dewan Undangan Negeri Sungai Limau berada di bawah Pas.Berdasarkan pengalaman itu beliau melahirkan pandangan kepada wartawan Utusan Malaysia SAFINA RAMLI kenapa Sungai Limau perlu berada di bawah Barisan Nasional (BN).

UTUSAN: Bagaimana Tan Sri mahu membantu calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 5 November ini?

BADRUDDIN : Sebenarnya dalam menghadapi masyarakat apatah lagi apabila PRK ini saya berpegang pada tiga perkara iaitu salam, tanya apa khabar dan terima kasih. Kalau kita boleh amalkan tiga perkara ini apabila jumpa orang kita dapat pahala dan itu tanda kemesraan kita. Apabila kita hadapi PRK bukan setakat calon yang kena amalkan konsep sedemikian, tetapi juga jentera parti.

Apakah pandangan Tan Sri berhubung calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim?

BADRUDDIN: Pucuk pimpinan parti telah membuat satu pemilihan yang tepat. Dr. Ahmad Sohaimi adalah seorang calon dari grass root. Saya kagum apabila beliau sanggup berkorban kembali ke wakil rakyat. Susah untuk kita lihat orang yang berkedudukan stabil dah cukup selesa sanggup berkorban begini. Dr. Ahmad Sohaimi membuktikan beliau seorang pejuang UMNO. Kalau nak berjuang tak nak berkorban tak usah berjuang. Tetapi Dr. Ahmad Sohaimi mempunyai nilai seorang pejuang. Beliau tidak melobi menjadi calon sebaliknya dipilih oleh parti. Saya menganggap ini petunjuk Allah. Oleh itu, penduduk Sungai Limau tidak harus mensia-siakan pengorbanan beliau yang dilakukan semata-mata untuk kesejahteraan mereka.

Baru-baru ini ada pemilihan peringkat bahagian yang menyaksikan perubahan jawatan Ketua Bahagian daripada Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom adakah ia akan menjejaskan jentera parti?

BADRUDDIN: Bila kita menjadi ahli parti kita kena ingat UMNO adalah parti perjuangan, bukan parti kebendaan jadi pemimpin datang dan pergi. Saya melihat perubahan kepimpinan UMNO Bahagian Jerai ini tidak menjadi masalah kepada PRK kali ini kerana saya percaya pemimpin yang lalu memahami apa itu perjuangan, saya sendiri pernah jadi Ketua Bahagian dan saya berundur daripada jawatan untuk transformasi penggantian kepemimpinan itu biasa dalam satu perjuangan. Masalah kepartian kita ketepikan tumpu pada kempen PRK ini. Saya minta semua ahli UMNO ikhlas buat kerja.

Jika BN menang, perubahan apa yang Tan Sri harapkan berlaku di Sungai Limau?

BADRUDDIN: Kerajaan negeri boleh membangunkan Sungai Limau menjadi satu kawasan industri pertanian yang boleh menjana ekonomi dan menyekat penghijrahan masyarakat luar bandar. Industri sektor makanan adalah satu sektor yang cukup baik, bukan perniagaan senja tapi perniagaan yang akan menuju kejayaan kerana manusia makan setiap saat. Kalau wujud industri kecil dan sederhana di kawasan luar bandar saya percaya industri itu akan hidup. Saya berharap kawasan ini akan dibangunkan industri pertanian makanan supaya ia membuka peluang pekerjaan dan sekali gus meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat.

Apa pesanan Tan Sri kepada pengundi di Sungai Limau?

BADRUDDIN: Saya harap pengundi Sungai Limau memberi peluang kembali kepada BN untuk mewakili mereka supaya kawasan ini dapat dibangunkan dengan lebih pesat dengan lebih pesat. Kita perlukan pembangunan manakala anak-anak memerlukan pendidikan. Kalau BN tidak diberi peluang bagaimana wakil mereka hendak menyuarakan kehendak rakyat di forum-forum tertentu. - UTUSAN 
Nadia AF sertai Puteri UMNO

 * ZAHIDA Zarik Khan (kiri) memakaikan baju Puteri UMNO kepada Nadia AF sambil disaksikan rakan artis yang lain selepas menyerahkan borang menyertai Puteri UMNO dalam program Ziarah Syukur Anak Seni di Batu 18, Guar Chempedak, Jerai, semalam.
JERAI, RABU, 30 Oktober, 2013: Penyanyi Nadia AF hari ini menjadi artis terbaharu menyertai UMNO.

Majlis penyerahan borang keahlian akan diadakan secara rasmi di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Sebagai simbolik penyertaannya, Nadia dipakaikan vest Puteri UMNO oleh Naib Ketua pergerakan itu, Zahida Zarik Khan di sini hari ini.

Nadia bersama beberapa artis berada di sini bagi menyertai kempen membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang akan diadakan pada Isnin ini.

Artis lain yang terlibat ialah Datuk Mustafa Maarof, Hail Amir, A.R. Badul, Abon, Norlia Ghani dan Aznah Hamid.

Sementara itu, Nadia berkata, golongan muda harus menggunakan hak mereka dalam politik dan tidak menyerahkan tanggungjawab kepada golongan veteran semata-mata.

"Sebagai anak muda, kita harus berani nyatakan pandangan serta memilih kerajaan yang baik dan berupaya memacukan kemajuan negara. Saya berharap pengundi di Sungai Limau turut menyahut seruan berani berhijrah dengan memilih BN kali ini," katanya. - UTUSAN 
Nelayan Dulang Kecil sokong BN

 * SEKUMPULAN nelayan berbual di tepi sebuah bot nelayan yang dipenuhi bendera Barisan Nasional di Kampung Kuala Dulang Kecil, Jerai, semalam.
JERAI, RABU, 30 Oktober, 2013: Golongan nelayan di kawasan Dulang Kecil akan memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) Dr. Ahmad Sohaimi Lazim bagi memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Isnin.

Pengerusi Persatuan Nelayan kawasan Yan, Saidin Kassim berkata, Dr. Ahmad Sohaimi adalah anak tempatan kawasan itu dan golongan nelayan amat menyenangi karakter bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu yang mudah bergaul dengan masyarakat tempatan sejak dahulu lagi.

"Saya kenal Dr. Ahmad Sohaimi sejak 20 tahun lalu, masa kami sama-sama terlibat dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Limau bagi memperjuangkan nasib petani.

"Beliau memang calon yang layak dan saya yakin golongan nelayan di kawasan Dulang Kecil serta kawasan-kawasan lain akan menyokong beliau.

"Sejak dulu lagi kawasan Dulang Kecil merupakan kubu kuat BN di kawasan DUN Sungai Limau dan saya yakin rekod kawasan ini akan kekal menjadi kawasan yang akan membantu kemenangan calon BN pada pilihan raya kecil nanti," katanya ketika ditemui pada majlis sarapan 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri di Kuala Sungai Dulang di sini hari ini.

Menurutnya, peruntukan bernilai RM500,000 yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membaik pulih jeti di sekitar kawasan Sungai Limau itu juga disambut dengan penuh kesyukuran oleh golongan nelayan.

"Kami memang memerlukan jeti baru bagi menggantikan jeti lama yang dah uzur terutamanya di kawasan Kuala Dulang Kecil kerana banyak nelayan melabuhkan bot mereka di situ.

"Akhirnya hari ini ada peruntukan diberikan kepada kami untuk membaik pulih jeti, saya mewakili golongan nelayan di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang segera membantu kami," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang nelayan, Abdullah Yahya, 54, berkata, dia memberi sokongan penuh kepada BN sejak dahulu dan kali ini dia akan memberikan undi kepada Dr. Ahmad Sohaimi.

"Sekarang ini banyak kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan nelayan dan inilah masanya untuk kami membalas budi baik kerajaan terhadap kami.

"Kalau calon BN menang di sini masalah yang kami hadapi akan lebih cepat diselesaikan, dulu masa Pas perintah memang kami tak dapat bantuan apa, Kerajaan Pusat yang bagi," katanya. - UTUSAN 
Sohaimi harap pengundi Cina sokong BN

JERAI, RABU, 30 Oktober, 2013: Calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim berharap pengundi Cina di kawasan berkenaan akan memberi sokongan kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Isnin ini. Ahmad Sohaimi berkata, berdasarkan kempennya setakat ini, pengundi Cina memberi sambutan yang menggalakkan dan berjanji akan mengundi BN bagi memastikan kebajikan mereka di kawasan berkenaan terus dijaga.

“Ada yang berjumpa saya dan mengatakan kali ini mereka akan ‘tolong’ BN dengan memberi undi kepada kita. Bagi saya, itu satu perkembangan yang positif tetapi pada masa sama berharap agar mereka akan menterjemahkan sokongan berkenaan pada hari mengundi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Sohaimi berkata, terdapat lebih 1,800 pengundi berdaftar Cina dalam kawasan DUN Sungai Limau dan mereka tidak perlu berasa takut untuk menyokong BN.

“Selama ini kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk membantu kaum Cina termasuklah dalam soal pendidikan. Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan peruntukan besar bernilai RM2 juta untuk menaik taraf tiga sekolah Cina di kawasan itu dan mewujudkan Tabung Pendidikan SJKC Sungai Limau sekali gus menunjukkan sikap prihatin BN," katanya.

Menurutnya, kaum Cina di Sungai Limau juga tidak perlu terpengaruh dengan tuduhan jahat Dong Zhong bahawa BN meminggirkan pendidikan aliran Cina apabila menambahkan masa untuk pembelajaran dan pengajaran subjek Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Apa yang kerajaan lakukan dalam Dasar Pendidikan Negara iaitu menambah masa pengajian bahasa Melayu di SJKC ialah supaya pelajar Cina dapat meningkatkan kemahiran bahasa berkenaan selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan Itu sahaja dan tidak ada niat lain," katanya. - UTUSAN 
Pas sudah kehabisan modal

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

 * CALON Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, Dr. Sohaimi Lazim menikmati jamuan bersama pengundi masyarakat Cina di Sungai Limau Dalam, Yan, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan pembangkang kehilangan modal selepas menjadikan Bajet 2014 sebagai modal memburukkan kerajaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah.

Walau bagaimanapun, menurut Khairy, beliau percaya usaha pembangkang itu tidak mampu mempengaruhi pengundi dalam PRK tersebut yang sudah lama dahagakan pelbagai bentuk pembangunan.

Katanya, pengundi muda terutamanya akan membuat pilihan bijak memilih Barisan Nasional (BN) selepas mempertimbangkan secara rasional inti pati Bajet 2014 biarpun dokumen berkenaan dijadikan bahan untuk menghentam kerajaan dengan cara memanipulasi fakta.

“Pembangkang seperti sudah terdesak kerana mereka sedar banyak kesilapan dilakukan semasa berkempen di Sungai Limau.

“Oleh itu, saya nasihatkan kepada pengundi di situ memilih BN jika mereka inginkan pembangunan dan kemajuan dan sekiranya orang muda inginkan pekerjaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas rayuan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu kepada pengundi DUN Sungai Limau supaya memilih calon parti itu sebagai protes kepada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal diperkenalkan kerajaan menerusi Bajet 2014.

Sementara itu, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Mat Sabu cuba menjadi bijak pandai dengan membohongi rakyat sedangkan beliau sendiri tidak memahami mengenai GST.

Katanya, penduduk Sungai Limau perlu membuat penilaian adil berhubung setiap tindakan kerajaan termasuk menerusi pelaksanaan GST yang bertujuan memperkukuhkan ekonomi dan kestabilan negara.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwang berkata, tindakan pembangkang tersebut tidak menghairankan kerana mereka sentiasa menyebarkan informasi salah supaya kerajaan dilihat tidak membela rakyat. - UTUSAN 
Muhyiddin pemimpin berjiwa besar

 * SHAHRIZAT Abdul Jalil (dua, kiri) berbual bersama jentera Wanita UMNO sambil menunjukkan gambar Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 16, Padang Lumat, Sungai Limau, Kedah, semalam.
JERAI, RABU, 30 Oktober, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan ketokohan seorang pemimpin berjiwa besar apabila tidak keberatan untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula dengan penyakit kencing manis bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, meskipun Timbalan Perdana Menteri tidak berniat langsung untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dalam kenyataannya itu, namun beliau tetap memohon maaf atas dasar kemanusiaan seperti dituntut Islam.

Katanya, dalam kenyataan tersebut yang menyentuh mengenai Bajet 2014, Muhyiddin meminta rakyat negara ini menjaga kesihatan dan sepintas lalu merujuk sedikit kepada Allahyarham Azizan dalam bahasa yang amat berlapik.

“Beliau bagaimanapun tidak keberatan meminta maaf. Inilah ketokohan seorang pemimpin berjiwa besar. Ketokohan beliau dapat dilihat apabila pengundi amat menyanjungi jiwa besar Tan Sri Muhyiddin dan mereka tahu apa sebenar yang berlaku," katanya kepada pemberita pada majlis kenduri rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di Batu 16 di sini hari ini.

Shahrizat berkata, pembangkang sebenarnya ketandusan isu untuk dimainkan dengan membangkitkan perkara berkenaan selain hanya mampu menggunakan susu tamat tempoh dalam kempen mereka menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau ini. - UTUSAN 
TPM umum bantuan RM500,000 untuk baik pulih jeti nelayan Sungai Limau

JERAI, RABU, 30 Oktober, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan bernilai RM500,000 bagi tujuan baik pulih jeti nelayan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau hari ini.

Muhyiddin berkata, selain bantuan baik pulih jeti, sebuah pasar juga akan dibina di kawasan itu bagi memastikan nelayan mampu memasarkan hasil laut sendiri dan mengelakkan monopoli orang tengah.

Kata beliau, bantuan itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan nelayan di kawasan Sungai Limau malah komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu golongan nelayan adalah ikhlas.

"Usaha kerajaan untuk membantu nelayan, petani, peladang dan penternak adalah satu jihad kerajaan yang berterusan iaitu selagi ada bulan dan matahari,'' katanya ketika berucap pada majlis Sarapan 1 Malaysia di Kuala Dulang Kecil di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Menurut Muhyiddin, golongan yang terlibat dalam industri perikanan dan pertanian merupakan satu kumpulan istimewa pada pandangan mata kerajaan kerana industri pemakanan merupakan industri penting bagi memastikan kesinambungan negara.

"Kita akan terus berusaha untuk membela nasib masyarakat nelayan, kita bantu, tidak akan mengabaikan mereka kerana golongan itu adalah kumpulan penting," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pengundi di kawasan DUN Sungai Limau perlu mengundi tanpa mengikut emosi pada Isnin ini.

"UMNO dan Pas adalah Islam, kalau nak undi jangan ikut emosi, kita pilih orang yang boleh bantu kita, boleh bela nasib kita, boleh sampaikan kemahuan kita kepada kerajaan.

"Orang itu ialah Dr. Ahmad Sohaimi Lazim iaitu calon BN, kalau calon Pas dia setakat boleh dengar masalah kita tetapi tidak mampu berbuat apa-apa, sebab Pas bukan kerajaan negeri dan tidak ada kuasa di peringkat Pusat," jelasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis mesra rakyat di Pusat Daerah Mengundi Titi Batu di sini, Muhyiddin berkata, kerajaan bersikap adil dalam memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.

"Sebagai contoh, ketika krisis di Mesir, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM21 juta bagi tujuan membawa pulang pelajar kerana bimbangkan keadaan keselamatan pelajar di sana.

"Kita bawa balik mereka semua dengan selamat tanpa bertanya terlebih dahulu kepada mereka ibu bapa mereka penyokong parti mana malah ada antara mereka bila dah selamat sampai ke negara kita bersalam dengan saya pun tidak di lapangan terbang, tapi itu tak apalah kita bagi bantuan kepada semua," katanya.

Pada majlis itu juga, beliau telah mengumumkan bantuan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Jerai, geran pinjaman bernilai RM700,000 untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan RM33,900 untuk Kebajikan Rakyat 1 Malaysia (KARISMA). - UTUSAN 
Faekah terima permohonan maaf Muhyiddin

JERAI, RABU, 30 Oktober, 2013: Balu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah menerima dengan hati terbuka permohonan maaf Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kenyataannya yang mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula dengan penyakit kencing manis bekas Menteri Besar Kedah itu.

Faekah berkata, beliau sedia memaafkan dan percaya kemungkinan kenyataan itu disalah tafsir pihak tertentu serta disebarkan secara tidak betul.

Katanya, beliau mengenali hati budi Muhyiddin yang tidak pernah membuat kenyataan negatif terhadap Azizan dan beberapa kali mengunjungi Allahyarham ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

"Saya terima penjelasan yang dibuat oleh Muhyiddin menerusi akhbar. Kami sekeluarga tiada masalah untuk memaafkan jika benar berlaku keterlanjuran kata oleh beliau ketika berkempen," katanya ketika dihubungi.

Faekah berkata, Allahyarham Azizan dan Muhyiddin sudah lama menjalin hubungan baik iaitu sebelum kedua-duanya terlibat dalam politik sepenuh masa selepas saling mengenali sejak 60-an.

Katanya, mereka berkenalan ketika Azizan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan kebetulan kakak Muhyiddin turut belajar di universiti sama.

Hubungan mesra itu, katanya, tetap terjalin selepas kedua-duanya aktif dalam politik walaupun daripada parti berbeza.

"Allahyarham selalu ketepikan perbezaan politik apabila berkawan. Sebab itu Allahyarham mempunyai ramai kawan dari pelbagai latar belakang politik berbeza," katanya. - UTUSAN 
Video sindir isu kalimah Allah: Perkasa Perak buat laporan polis

IPOH, RABU, 30 Oktober, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap satu klip video bertajuk That Effing Show #95: Allah, Apa lagi? di laman YouTube yang memaparkan unsur sindiran terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah pada 14 Oktober lalu.

Laporan itu dibuat Ketua Wira Perkasa Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh kira-kira pukul 2 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan itu, Mohd. Hafez Mubin berkata, pihaknya menuntut pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab terhadap penerbitan dan penyiaran klip video tersebut yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam.

Katanya, pihaknya menyedari klip video berdurasi selama enam minit 31 saat dimuat naik di laman YouTube pada pukul 11.30 malam tadi. - UTUSAN 
Bekas KP Imigresen dijel enam tahun, denda

 Wahid Md. Don
KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don dihukum penjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000, lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin memerintahkan Wahid, 61, menjalani hukuman penjara mulai hari ini setelah menolak permohonan tertuduh yang diwakili peguam, Datuk V. Sithambaran untuk menggantung pelaksanaan hukuman tersebut.

Wahid yang kelihatan tenang sewaktu menerima keputusan itu kemudian dibawa ke Penjara Kajang. Dia sebelum itu hadir ke mahkamah dengan ditemani isterinya.

Gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lagi 12 bulan.

Rosbiahanin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau turut menolak permohonan Sithambaran untuk membenarkan Wahid diikat jamin sementara menunggu rayuannya selesai.

Sithambaran seterusnya memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya akan memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi hari ini berhubung keputusan Mahkamah Sesyen itu yang menolak permohonan ikat jamin.

Sepanjang perbicaraan, Wahid dibenarkan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Rosbiahanin dalam keputusannya berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan mengenai keterangan pembelaan tertuduh adalah difikirkan kemudian, bersifat rekaan dan penafian semata-mata.

Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Sithambaran memohon mahkamah mengambil kira faktor kesalahan pertama yang dilakukan oleh anak guamnya.

Menurutnya lagi, wang pencen tertuduh akan terjejas dan tertuduh perlu menanggung isteri dan dua anaknya yang sedang belajar.

Ketua Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa yang mengendalikan pendakwaan berkata, tertuduh sepatutnya berfikir mengenai anak-anak dan keluarganya sebelum melakukan kesalahan itu.

Mengikut pertuduhan, Wahid didakwa menerima RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian sebagai upah mempercepat kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Persimpangan Jalan Duta di sini pada pukul 10.15 malam, 10 Julai 2008.

Pada 15 Oktober 2010, Rosbiahanin melepas dan membebaskan Wahid tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang mengemukakan 40 saksi, gagal membuktikan kes prima facie.

SPRM yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah tersebut pada 31 Mei 2012 mengekalkan keputusan Rosbiahanin sekali gus menolak rayuan suruhanjaya berkenaan.

Rayuan diteruskan oleh pihak SPRM ke Mahkamah Rayuan dan pada 2 April lalu, mahkamah tersebut membenarkan rayuan berkenaan dan memerintahkan Wahid membela diri terhadap pertuduhan itu.

Di peringkat pembelaan, hanya Wahid seorang dipanggil sebagai saksi. - UTUSAN 
Kes saman fitnah Ramli Yusuff, Musa Hassan selesai

SHAH ALAM, RABU, 30 Oktober, 2013: Kes saman fitnah oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Mahkamah Tinggi di sini berjaya diselesaikan secara baik.

Ekoran penyelesaian terbabit, mahkamah membenarkan Ramli menarik balik tuntutan saman itu dan Musa selaku defendan diperintahkan membayar kos sebanyak RM10,000.

Terma-terma penyelesaian kes yang sepatutnya mula dibicarakan hari ini tidak didedahkan kepada pihak media.

Penyelesaian itu kemudian direkodkan oleh Hakim Dr. Prasad Sandosham Abraham di kamar beliau di sini hari ini.

Selepas selesai prosiding, Ramli yang diwakili peguam, Harvinderjit Singh dan Musa yang diwakili peguam, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah secara berasingan.

Abdul Aziz ketika dihubungi memberitahu, disebabkan Ramli bersedia menarik balik kes terbabit, anak guamnya juga bersetuju untuk meminta maaf dan kedua-dua bekas pegawai polis itu kemudiannya berjabat tangan sambil disaksikan oleh hakim.

Ramli memfailkan saman tersebut pada 28 Februari lalu atas dakwaan Musa telah mengeluarkan kenyataan yang dikatakan merosakkan reputasinya dalam satu sidang akhbar Disember tahun lalu.

Oleh itu, bekas Pengarah JSJK itu menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Beliau turut memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Musa daripada mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terbabit. - UTUSAN 
Perbelanjaan IT dijangka mencapai RM2.4 trilion pada 2014

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Perbelanjaan untuk teknologi maklumat (IT) di rantau Asia Pasifik dijangka mencapai RM2.4 trilion (AS$767 bilion) pada tahun 2014, peningkatan sebanyak 5.5 peratus dari 2013.

Sementara itu, perbelanjaan ke atas produk dan perkhidmatan IT di rantau Asia Pasifik dijangka mencapai RM2.9 trilion (AS$933 bilion) pada 2017.

Menurut kenyataan Gartner Inc., jumlah itu menjadikan setiap peruntukan bajet terhadap IT penting kepada syarikat kerana setiap syarikat mahu menjadi peneraju digital.

"Ini adalah permulaan bagi era digital ekonomi industri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Pendigitalan merangkumi kesemua bahagian perniagaan dan operasi sesebuah syarikat. Ia akan memudahkan syarikat mendapatkan pelanggan dan menjana pendapatan," katanya. - UTUSAN 
Kerajaan jimat RM182.5 bilion melalui kerjasama awam-swasta

 Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Kerajaan berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM182.5 bilion hasil pelaksanaan kaedah Kerjasama Sektor Awam dan swasta (PPP), sejak 1983 sehingga masa kini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, sebanyak 611 buah projek telah dilaksanakan menerusi PPP dalam tempoh 30 tahun itu.

“PPP merupakan kaedah yang relevan, lebih-lebih lagi apabila kerajaan mahu memastikan perbelanjaan yang dilakukan adalah efisien," katanya semasa menyampaikan ucaptama Persidangan PPP di sini hari ini.

Tambah beliau, usaha menarik penglibatan sektor swasta di dalam membangunkan ekonomi negara adalah penting.

Katanya, pada tahun 2014, pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM189 bilion iaitu 17.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kerajaan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), telah merekodkan beberapa pencapaian pembanguan infrastruktur melalui PPP, menggunakan peruntukan yang disediakan di bawah Dana Pemudah Cara.

Dari 2010 hingga 2013, unit itu meluluskan 137 projek membabitkan nilai sebanyak RM9 bilion, dengan meraih penyertaan pelaburan swasta sebanyak RM115 bilion.

Kata Menteri itu lagi, UKAS ditubuhkan pada 2009 untuk berperanan sebagai penggerak utama aktiviti PPP.

Sejak itu, antara projek yang telah diluluskan ialah pembinaan enam kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di pelbagai negeri dan Hospital Pengajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Kuantan.

Antara projek lain yang akan digerakkan oleh UKAS demi meningkatkan ekonomi negara ialah Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke), Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) dan Lebuhraya Pantai Barat. - UTUSAN 
GST sumbang inflasi 1.8% pada tahun pertama

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015, dijangka menyumbang peningkatan inflasi negara pada kadar 1.8 peratus, dalam tahun pertama pelaksanaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, berdasarkan trend perbelanjaan biasa rakyat ke atas pelbagai jenis barangan pengguna, indeks harga pengguna (CPI) bakal naik.

Namun kata menteri itu, kesan ke atas inflasi hasil daripada pelaksanaan GST hanya berlaku sekali sahaja.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan tetap menjangka program rasionalisasi subsidi ke beberapa barangan termasuk gula baru-baru ini, akan memberi kesan kepada peningkatan inflasi negara. - UTUSAN 
AS pula dakwa Eropah intip

 * JENERAL Keith Alexander (dua dari kiri) dan James Clapper (dua dari kanan) memberi keterangan pada Jawatankuasa Dewan Perisikan di Washington pada 29 Oktober lalu. - REUTERS
WASHINGTON, RABU, 30 Oktober, 2013: Selepas dituduh melakukan pengintipan ke atas pemimpin-pemimpin Eropah, ketua-ketua perisikan Amerika Syarikat (AS), pula menuduh agensi-agensi perisikan negara-negara dari benua itu melakukan perbuatan serupa dan berkongsi maklumat risikan sesama mereka.

Ketua-ketua perisikan terbabit turut menangkis dakwaan bahawa agensi perisikan AS mengumpul data ke atas berjuta-juta panggilan telefon dengan mendakwanya sebagai 'semuanya palsu' dan menyatakan akhbar-akhbar Eropah membuat dakwaan itu kerana tidak memahami data yang mereka terima.

Ketua Agensi Keselamatan Nasional (NSA), Jeneral Keith Alexander dan Pengarah Perisikan Nasional, James Clapper berkata demikian ketika memberikan keterangan kepada Kongres.

Mereka berkata, laporan akhbar berkenaan dibuat berdasarkan salah faham terhadap maklumat yang diberikan oleh bekas kontraktor keselamatan AS, Edward Snowden kepada akhbar-akhbar Eropah.

''Kenyataan oleh wartawan Perancis, Sepanyol dan Itali bahawa NSA mengumpul berpuluh juta panggilan telefon adalah salah. Ia bukan maklumat yang dikumpul daripada rakyat Eropah,'' kata Alexander kepada Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan.

Alexander berkata, wartawan salah mentafsir data yang dibocorkan berhubung operasi risikan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Dewan Senat, Dianne Feinstein turut mendakwa media Eropah tersalah lapor dakwaan tersebut.

''Ia bukan maklumat yang dikumpul oleh AS berhubung Perancis dan Jerman. Ia dilakukan oleh Perancis dan Jerman. Ia tidak ada kena-mengena dengan rakyat mereka tetapi tentang kawasan perang NATO seperti Afghanistan,'' katanya. - AFP/UTUSAN 
Video sindir isu kalimah Allah: Perkasa Perak buat laporan polis
IPOH, RABU, 30 Oktober, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap satu klip video bertajuk That Effing Show #95: Allah, Apa lagi? di laman YouTube yang memaparkan unsur sindiran terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah pada 14 Oktober lalu.

Laporan itu dibuat Ketua Wira Perkasa Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh kira-kira pukul 2 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan itu, Mohd. Hafez Mubin berkata, pihaknya menuntut pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab terhadap penerbitan dan penyiaran klip video tersebut yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam.

Katanya, pihaknya menyedari klip video berdurasi selama enam minit 31 saat dimuat naik di laman YouTube pada pukul 11.30 malam tadi. - UTUSAN 
Lelaki Malaysia disyaki terlibat aktiviti MNLF

KUALA LUMPUR 30 Oktober, 2013: Seorang rakyat Malaysia dari Kota Kinabalu ditahan pihak berkuasa Filipina di Zamboanga City, selepas disyaki terlibat dengan aktiviti Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di selatan negara itu.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mantek memberitahu Bernama, lelaki berusia 55 tahun itu ditahan pada 4 Oktober lepas dan dibawa ke Manila untuk siasatan lanjut.

"Tangkapan itu ekoran daripada tindakan susulan pihak keselamatan Filipina terhadap mereka yang disyaki terlibat dalam insiden serangan oleh anggota MNLF di Zamboanga City pada 9 September lepas," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit memandangkan dia masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.

Ekoran serangan 9 September itu, Malaysia mengaktifkan amaran keselamatan di sepanjang sempadan perairan Sabah kerana khuatir ia menular ke negeri itu.

"Sehingga kini tiada ancaman keselamatan dikesan, namun langkah keselamatan dengan mengukuhkan sempadan perairan tetap diteruskan," katanya.

Dilaporkan lebih 400 anggota MNLF menyerang Zamboanga City untuk menawan bangunan dewan bandar raya dan menaikkan bendera 'Republik Bangsamoro Merdeka'.

Kira-kira 190 pejuang MNLF terbunuh selepas pertempuran lebih tiga minggu dan 292 suspek ditawan atau menyerah diri. - BERNAMA 
Pandikar Amin tegur pembangkang isu Kabinet bayangan

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Kegagalan pembangkang mewujudkan Kabinet bayangan walaupun digesa dan dicabar berulang kali oleh pelbagai pihak supaya berbuat demikian menarik perhatian Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu berikutan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kembali menyentuh soal berkenaan bertujuan membolehkan wakil yang sesuai berbahas dalam isu tertentu bagi pihak pembangkang dapat ditentukan lebih awal.

Kenyataan tersebut dibuat Pandikar Amin selepas beliau tertarik dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 oleh Azmin Ali (PKR-Gombak) yang disifatkannya informatif dan seimbang dalam aspek ekonomi.

"Sebab itulah saya berulang kali mencadangkan diwujudkan Kabinet bayangan (pembangkang). Jadi kita tidak perlu bazir masa terlalu banyak kerana pembangkang boleh memilih siapa antara mereka mahu berbahas sesuatu isu.

"Saya meneliti perbahasan Gombak (Azmin) dan ada sesuatu yang ingin saya dengar," katanya semasa mengumumkan tambahan masa kepada Azmin untuk berbahas dan tindakan serupa dibuat kepada wakil Barisan Nasional (BN).

Sehingga kini pembangkang masih gagal membentuk Kabinet bayangan walaupun bercita-cita mahu mentadbir negara dipercayai ada kaitan dengan ideologi berbeza antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP. - UTUSAN 
Azmin Ali akui GST telus, efisien dan baik

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali mengakui cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan sistem percukaian yang telus, efisien serta mampu memberi kebaikan jangka panjang kepada ekonomi negara.

Berbeza dengan pemimpin pembangkang lain termasuk Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau yang dilihat lebih bersikap realistik dalam berpolitik berkata, pembangkang juga tidak pernah mengambil pendirian menolak GST.

Walau bagaimanapun, jelas Azmin, pembangkang berpendirian April 2015 bukan masa sesuai untuk kerajaan menguatkuasakan GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kadarnya berjumlah hingga 16 peratus.

"Saya tegaskan pakatan pembangkang tidak pernah mengambil pendirian menolak GST.

"Pendirian kita jelas, GST ini sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan dalam jangka masa panjang akan memberi kebaikan kepada ekonomi negara. Cuma persoalannya apakah Malaysia sudah bersedia," katanya semasa membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Isnin lalu, Anwar ketika turut membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 bertindak memutar-belitkan fakta mengenai GST selepas menuduh pelaksanaan sistem percukaian itu merupakan perbuatan 'jenayah' Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

Dalam pada itu, Azmin turut mengakui Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada hasil cukai petroleum dan gas semata-mata jika berhasrat muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi dalam masa tempoh tujuh tahun lagi.

"Kita sedar asas cukai di negara ini agak sempit dan kita perlu satu reformasi sistem percukaian yang menyeluruh dengan asas cukai yang lebih komprehensif bagi menggantikan SST yang ketika ini menyumbang tujuh peratus kepada pendapatan negara," katanya.

Menurut Azmin, dalam aspek pelaksanaan GST kerajaan perlu memperbetulkan falsafah serta matlamat percukaian tersebut iaitu bertujuan merangsang rakyat meningkatkan simpanan, bukannya berobjektif memperoleh pendapatan sebanyak RM27 bilion.

Beliau menambah, kerajaan juga perlu belajar dari negara maju yang mana negara terbabit hanya mula melaksana GST selepas infrastruktur cukai sudah kukuh di samping kadar cukai pendapatan turut dikurangkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

Katanya, di negara maju sebaik sahaja GST dilaksana kadar cukai pendapatan dan korporat diturunkan kepada kadar yang signifikan.

"Tetapi kita untuk mengurangkan beban diganti dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Penurunan cukai pendapatan antara satu hingga tiga mata tidak memadai," katanya.

Sementara itu, Anwar dilihat membuat pusingan 'U' selepas mengubah pendiriannya apabila mengakui bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah satu sistem percukaian yang baik dan efisien.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau sedia maklum mengenai GST sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993 (yang juga Menteri Kewangan ketika itu).

"Saya setuju sistem GST efisien, tetapi saya tidak laksanakannya sampai 1998, ada sebab kenapa saya tidak laksanakan," katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Taklimat GST dan Belanjawan 2014 di Parlimen.

Menurut Anwar terdapat dua aspek yang perlu dilihat sebelum sistem percukaian yang telah lama diguna pakai di negara maju dan negara jiran seperti Singapura serta Indonesia itu boleh dilaksanakan di negara ini.

"Kita harus memastikan bahawa pendapatan rakyat adalah tinggi dan kita juga perlu memastikan negara mempunyai struktur percukaian yang baik," katanya. - UTUSAN 
Rombakan Ketua Puteri negeri

 
SHAH ALAM, RABU, 30 Oktober, 2013: Kepemimpinan Pergerakan Puteri UMNO di peringkat negeri dijangka akan dirombak secara besar-besaran selepas selesai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah pada 4 November ini.

Ketua Puteri UMNO yang baharu, Mas Ermieyati Samsudin (gambar) membayangkan berlakunya pertukaran ketua pergerakan itu di setiap negeri kerana ada dalam kalangan mereka yang sudah habis tempoh memegang jawatan tersebut, selain bertanding dalam jawatan Exco sayap parti itu di peringkat Pusat dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya memberikan tumpuan kepada usaha untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim.

Katanya, pertukaran atau pengekalan jawatan Ketua Puteri negeri-negeri dilakukan bagi memantapkan sayap parti tersebut sebagaimana Wanita dan Pemuda UMNO.

"Pertukaran Ketua Puteri tidak dapat dielakkan dan soal siapa yang akan ditukar dan dikekalkan bakal dibincangkan di peringkat Exco tertinggi Puteri UMNO.

"Setelah keputusan dibuat, saya akan menyerahkan senarai barisan Ketua Puteri negeri-negeri yang baharu kepada Presiden parti, sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO Disember nanti," katanya. - UTUSAN 
Kembang ekonomi berasas syariah

Oleh Azman Bakar

 * NAJIB Tun Razak menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures (FGV) Holdings Bhd., Mohd. Emir Mavani Abdullah (dua, kiri) dan Pengerusi Cambridge Nanosystems Limited, Dr. Krzysztof Kaizol dalam Forum Ekonomi Islam Dunia ke-9 di London, semalam. Turut hadir Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad. - BERNAMA
LONDON, ABU, 30 Oktober, 2013: Malaysia yang merupakan peneraju dalam sistem kewangan Islam sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk negara barat bagi memaju dan mengembangkan ekonomi berasaskan syariah supaya setanding dengan kaedah kewangan konvensional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini juga bagi menunjukkan kepada dunia bahawa Islam bukan hanya sekadar masalah dan konflik.

Dengan cara itu katanya, dapat membuang tohmahan kononnya Islam agama yang tidak membawa keuntungan kepada masyarakat global.

“Banyak yang mampu ditawarkan oleh Islam kepada masyarakat dunia kerana Islam bukan hanya sekadar masalah dan konflik, tetapi kita boleh memberikan sumbangan positif kepada kesejahteraan global," kata dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-9 di sini semalam.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menawarkan London sebagai pusat kewangan Islam di luar dunia Islam.

Dalam ucapannya itu Cameron turut mengumumkan untuk memperkenalkan indeks syariah di Bursa Saham London selain akan melancarkan sukuk bernilai kira-kira RM1 bilion.

Najib berkata, Malaysia sedia bekerjasama bukan sahaja dengan London tetapi mana-mana pusat kewangan dunia yang mah6u mengiktiraf sistem kewangan Islam.

“Kita memerlukan pemahaman global terhadap produk dan kewangan Islam. Dengan London menjadi pusat kewangan Islam, akan ada elemen saingan satu sama lain," tambah beliau.

Sementara itu, semalam Najib turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Cameron di kediaman rasmi Perdana Menteri Britain itu di 10, Downing Street, di sini.

Difahamkan, antara perkara yang dibincangkan ialah mengukuhkan kerjasama dua hala Malaysia-Britain serta kerjasama dalam mempromosikan sistem kewangan Islam. - UTUSAN 
Sultan Selangor pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja

 * SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berangkat tiba bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-233 di Istana Negara, semalam. Turut berangkat Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu kali ke-233 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini dihadiri semua Raja Melayu kecuali Kedah, Kelantan, Perak dan Pahang yang menghantar wakil masing-masing.

Dalam mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi Ketua Menteri.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng hadir dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dijadual berangkat menghadiri majlis santapan bagi memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kali ke-233 malam ini.

Seri Paduka juga dijadualkan berangkat ke mesyuarat majlis itu esok. - BERNAMA 
Najib saksi pemeteraian MoU RM2.26 bilion

LONDON, rabu, 30 Okt Sebanyak tujuh memorandum persefahaman dan perjanjian bernilai AS$720 juta (kira-kira RM2.26 bilion) dimeterai di hari kedua Forum Ekonomi Islam Dunia ke-9 (WIEF).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan majlis pertukaran dokumen terdiri daripada usaha sama, perjanjian pembelian pemajakan serta perkhidmatan penjagaan kesihatan.

BAE Systems PLC, satu daripada empat pesaing untuk Program Penggantian MIG-29N Malaysia, akan bekerjasama dengan NanoMalaysia Bhd dan ISIS Innovation Ltd. untuk meninjau kemungkinan menubuhkan pusat prototaip teknologi dan pembangunan di Malaysia.

Perjanjian yang bernilai AS$21 juta (RM65 juta) itu, akan menyaksikan pihak-pihak terbabit ini bekerjasama mewujudkan rangka kerja untuk pusat berkenaan.

Sementara itu, Clixster Mobile, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dan Hi-P International akan bekerjasama membangun, mengeluar dan memasarkan telefon pintar Android dengan kandungan dan aplikasi Islam.

Perjanjian itu, bernilai RM1 bilion, bertujuan menghasilkan produk Malaysia bagi memenuhi keperluan negara-negara dan komuniti Islam.

KFM Holdings Sdn. Bhd., penyedia rumusan bagi persekitaran binaan, akan berganding bahu bersama-sama YDA Insaat Sanayi Ve Ticaret AS untuk memajukan tiga kemudahan penjagaan kesihatan canggih di Turki.

Projek itu yang merupakan kerjasama awam-swasta bernilai AS$250 juta (RM800 juta), akan menyaksikan kedua-dua pihak membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan untuk Kementerian Kesihatan iaitu Kampus Kesihatan Bersepadu Kayseri, Kampus Kesihatan Bersepadu Konyadan Hospital Pendidikan dan Penyelidikan Manisa.

Syarikat perladangan terbesar dunia, Felda Global Ventures Holdings Bhd. pula akan bekerjasama dengan Cambridge Nanosystems Ltd. dalam usahanya menjadi syarikat pertama dunia menghasilkan 'nanotubes' karbon gred tinggi daripada sisa minyak sawit mentah.

Ini melibatkan cadangan pengambilalihan ekuiti dalam Cambridge Nanosystems Ltd bernilai RM85 juta.

Selain daripada itu, ACMS Trent Park Sdn. Bhd. memeterai perjanjian dengan Exim Bank Malaysia mengenai pembiayaan melibatkan AS$96 juta pelaburan untuk kawasan seluas 8.42 hektar dan melebihi 20 bangunan.

Pada Julai tahun ini, ACMS Trent Park mengambil alih Trent Park Campus di bahagian Utara London daripada Middlesex University, yang merupakan kampus luar pesisir pertama untuk Allianze University College of Medical Sciences. - BERNAMA 
RM1 bilion bina rumah mampu milik

 8 ABDUL Rahman Dahlan menyampaikan trofi Anugerah Pemaju Hartanah Terbaik Rehda kepada Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi SP Setia Bhd., Datuk Voon Tin Yow dalam majlis Makan Malam Rehda 2013 di Bukit Kiara, semalam. Turut kelihatan Michael Yam Kong Choy (kanan) dan Fateh Iskandar Mohamed Mansor (dua kiri).
KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Kerajaan akan memperuntuk sebanyak RM1 bilion untuk membina kira-kira 80,000 rumah mampu milik di beberapa kawasan terpilih dan strategik di seluruh negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pembinaan rumah mampu milik di bawah PR1MA Corporation itu sekali gus menunaikan impian rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki aset jangka panjang sendiri.

Tambahnya, rumah mampu milik itu mempunyai nilai harga 20 peratus lebih rendah berbanding jenis rumah yang ada dalam pasaran pada masa kini.

"Untuk kemudahan pengguna, rumah-rumah tersebut akan dibina di kawasan strategik seperti berhampiran kawasan kemudahan awam seperti aliran transit massa (MRT) dan stesen transit aliran ringan (LRT)," katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Rehda, Datuk Seri Michael Yam Kong Choy dan Naib Presidennya, Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor.

Tambah Abdul Rahman, dalam masa sama, kementerian akan memastikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan terus berperanan melonjakkan pembinaan rumah mampu milik dalam pasaran.

Katanya, terdapat tiga Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR) akan diperkenal SPNB sebagai pemaju tidak lama lagi.

"Rumah-rumah tersebut akan dijual pada harga serendah RM45,000, RM55,000 dan RM65,000 seunit dengan subsidi antara RM15,000 hingga RM20,000 untuk ketiga-tiga kategori rumah tersebut," katanya.

Menurut beliau, dalam mencapai sasaran membina sejuta rumah mampu milik, kementerian menubuhkan jawatankuasa penyelarasan bagi memantau pelaksanaan pembinaan rumah oleh kedua-dua syarikat pemaju tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak RM578 juta turut diperuntuk kepada Jabatan Perumahan Negara bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Jumlah itu, tambahnya, meliputi pembinaan sebanyak 16,000 unit rumah yang akan dijual pada harga antara RM30,000 hingga RM 40,000 seunit dengan subsidi kerajaan kira-kira RM80,000 hingga RM100,000 seunit untuk rakyat yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM2,500 sebulan.

Menurutnya, Jabatan Perumahan Negara akan turut membina rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu. - UTUSAN 
ATM tumpu tingkat taraf akademik anggotanya

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktob er, 2013: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuh daya fikir anggotanya di samping memupuk budaya memartabat taraf akademik dalam perkhidmatan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, perkara itu mengambil kira kepentingan membangunkan modal insan cemerlang yang merupakan aset penting dalam ATM sebagai pasukan pertahanan negara.

Menurut beliau, tenaga kerja berilmu, cekap dan berkualiti mampu membawa kecemerlangan kepada sesebuah organisasi atau institusi termasuk ATM sendiri.

“Kemampuan dan kemahiran warga tentera perlu dipertingkat secara berterusan supaya mereka mampu memberikan yang terbaik dalam perkhidmatan," katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Program Pembangunan Minda ATM anjuran ATM di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Dekan program ‘K-Force’ dan penuntut terbaik Pusat Pendidikan Wilayah serta hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Program Pembangunan Minda ATM.

Yang turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud. - UTUSAN 
Minyak masak kitar semula

Oleh NORAZLINA ISMAIL

 Nadzim Johan

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.

Perkara itu didedahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sekali gus mendesak kerajaan memandangkan serius isu terbabit kerana boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Malah, menurut beliau, aktiviti kutipan, penghasilan dan jualan minyak masak terpakai telah lama berlaku di negara ini serta merupakan satu industri yang besar.

Lebih mengejutkan lagi, sebahagian besar minyak masak dikitar semula itu dijual dalam bentuk paket.

“Mereka (pengusaha) membeli minyak masak terpakai di restoran makanan segera untuk dikitar semula dan kemudiannya dicampur dengan minyak baharu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal selidik yang dijalankan aktivis PPIM melibatkan kira-kira 70 buah restoran dan gerai makan di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur mendapati kebanyakan peniaga menggunakan minyak masak kitar semula.

“Minyak masak yang dipaketkan itu bukan daripada jenama terkenal dan ramai peniaga yang tidak sedar mereka menggunakan minyak masak kitar semula," katanya.

Menurut Nadzim, status halal minyak masak itu juga meragukan kerana mungkin diambil daripada restoran bukan Islam.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kesihatan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu bekerjasama membanteras aktiviti tersebut.

“Selain menipu pengguna, pengusaha terlibat turut mengeksport minyak masak itu dengan mendakwa produk tersebut adalah halal," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Kris Biofuels Sdn. Bhd., Ja’afar Abdullah memberitahu, aktiviti kutipan dan jualan minyak masak terpakai melanggar undang-undang dan peraturan MPOB.

Katanya, lesen yang dikeluarkan MPOB dengan jelas menyatakan penggunaan minyak masak kitar semula hanya bagi tujuan menghasilkan produk biofuel.

“Isu ini wajar ditangani segera kerana dari segi kesihatan minyak masak ini jika digunakan semula sebanyak tiga kali akan menghasilkan komponen radikal bebas yang boleh mengakibatkan kanser dan kerosakan hati," katanya. - UTUSAN 
Tingkat risiko sakit jantung - Suzana

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Minyak masak yang diguna berulang kali meningkatkan risiko serangan jantung dalam kalangan pengguna berikutan peningkatan kelikatan kandungan hidrokarbonnya.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Suzana Shahar berkata, penggunaan minyak masak secara berulang kali juga boleh menyebabkan salur arteri tersumbat, risiko hipertensi selain merosakkan hati.

Menurut beliau, minyak masak sepatutnya digunakan tidak lebih tiga kali kerana penggunaan lebih daripada itu akan menyebabkan struktur asid lemak dalam minyak masak bertukar kepada asid lemak trans yang berbahaya kepada kesihatan.

“Selain itu, pelbagai penyakit kanser juga boleh berlaku akibat penggunaan berulang kali minyak masak tetapi sakit jantung merupakan risiko paling utama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.

Dalam pada itu, Suzana memberitahu, risiko kepada kesihatan daripada penggunaan minyak masak sering ditekankan pakar pemakanan yang tidak menggalakkan pengguna mengambil terlalu banyak makanan bergoreng. - UTUSAN 
Guna telefon pintar imbas kad biometrik

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM dan HUSSAINI AMRAN

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS) yang akan dilaksana kelak membolehkan pekerja asing diperiksa melalui kad biometrik yang dapat diimbas menggunakan telefon pintar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat masa ini pelaksanaan sistem itu masih di peringkat ujian dan akan dikuat kuasa sepenuhnya menjelang akhir tahun depan kepada kira-kira 2.12 juta pekerja asing di negara ini.

Menurut beliau, kaedah pelaksanaan sistem itu akan memudahkan langkah penguatkuasaan dijalankan bagi mengesan kes penipuan dan pemalsuan kad identiti dalam kalangan pekerja asing selain memastikan mereka memiliki dokumen sah.

Tambah beliau, pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada pihak kedutaan negara sumber dan kerajaan tidak akan berkompromi dalam menghantar semula semua pekerja asing yang didapati tidak memiliki dokumen sah.

Selain itu, katanya, pekerja asing yang ditangkap juga tidak lagi dibenarkan masuk semula ke negara ini.
"Dengan kad pengenalan biometrik ini mereka tidak boleh menipu dengan menggunakan identiti orang lain kerana kita boleh mengesan mereka melalui ciri-ciri tertentu pada kad tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kerajaan baru-baru ini memperkenal kad pengenalan khas kepada pekerja asing Bangladesh yang dilengkapi teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai seperti Touch 'n Go.

Kad pengenalan khas itu turut dibezakan dengan warna tertentu yang akan ditentukan mengikut sektor pekerjaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan kad pengenalan khas tersebut akan turut diperluas kepada pelajar asing bagi menggantikan pasport sebagai dokumen untuk belajar di negara ini.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, perkara itu akan diperincikan dengan Kementerian Pendidikan sebelum dipertimbang pelaksanaannya.

"Cadangan penggunaan kad pengenalan khas pelajar ini diutarakan kedutaan Arab Saudi, Myanmar dan beberapa lagi negara di Asia Barat sebagaimana yang telah dilaksana di negara-negara lain," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memberitahu, sebanyak 117 syarikat pekerja asing atau majikan dikenakan hukuman atas pelbagai kesalahan bagi tempoh antara September 2011 hingga setakat hari ini.

Sementara itu, katanya, setakat 30 Jun lalu, sebanyak 2,116,998 pekerja asing memegang pas lawatan kerja sementara yang masih sah dan aktif.

Tambah beliau, sebanyak 1,303,126 pendatang asing tanpa izin (PATI) pula didaftarkan melalui Program Penyelesaian Menyeluruh Warga Asing dan PATI (Program 6P).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 503,161 PATI berjaya diputihkan dan memenuhi keperluan industri yang tidak dapat diisi majikan," katanya. - UTUSAN 
Tingkat kurikulum program latihan kemahiran, kerjaya

 * MOHD. Shafie Apdal sambil diperhatikan Ibrahim Muhamad (tiga dari kanan) berbual seketika selepas menyampaikan sijil kepada graduan orang kurang upaya, Mohamad Salleh Yusoff dalam Majlis Graduasi PLKK sesi 2012/2013 di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
PUTRAJAYA, RABU, 30 Oktober, 2013: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menambah baik kandungan kurikulum Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan cemerlang.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pendekatan-pendekatan baharu perlu dikenal pasti untuk membangunkan modal insan yang benar-benar berketerampilan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata, kerajaan mahu modal insan cemerlang yang ingin dilahirkan perlu berpengetahuan tinggi, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, terlatih serta mempunyai minda kelas pertama.

"Inisiatif yang dilakukan oleh kementerian ini melalui PLKK dalam menyediakan peluang kemahiran kepada remaja dan belia-belia tercicir sejak lapan tahun lalu telah berjaya membimbing 42,000 graduan dalam pelbagai bidang.

"Para peserta yang terdiri daripada keluarga miskin, miskin tegar dan Orang Asli ini berjaya mendapatkan pekerjaan yang bertepatan dengan permintaan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Graduasi PLKK sesi 2012/2013, di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 335 graduan menerima sijil masing-masing selepas mengikuti kursus seperti baik pulih telefon bimbit, dandanan rambut, industri pelabuhan, kejuruteraan marin, kelasi kapal dagang, perakaunan berkomputer, peranti komunikasi, peruncitan, perhotelan dan pemanduan jentera berat.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) kementerian itu telah menerima peruntukan daripada agensi Pusat berjumlah RM56 juta untuk membiayai pelaksanaan program PLKK di seluruh negara.

Mohd. Shafie berkata, berdasarkan kajian impak ke atas program tersebut, sebanyak 84 peratus daripada graduan PLKK telah mendapat pekerjaan atau bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM700 sehingga RM4,500 sebulan.

"Pengenalan kepada program-program baharu yang bertepatan dan dapat memenuhi keperluan industri perlu diperkenalkan kerana di negara-negara maju pendidikan kemahiran dan vokasional telah berkembang maju sejak sekian lama," katanya.

Justeru katanya, kerajaan perlu lebih proaktif dalam menangani masalah kemiskinan dengan membantu anak-anak luar bandar mendapatkan peluang pekerjaan.

"Selain membantu mengurangkan kadar kebergantungan kepada pekerja asing, anak-anak tempatan yang berkemahiran tinggi mampu memperbaiki taraf hidup mereka dan mengukuhkan ekonomi negara," ujarnya. - UTUSAN 
Saya pangku dan sempat ajar ibu mengucap - Anak

KUANTAN, RABU, 30 Oktober, 2013: Seorang daripada tiga jemaah haji yang maut dalam kemalangan di Kilometer 210.2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) awal pagi ini menghembuskan nafas terakhir di pangkuan anaknya.

Saidi Sidek, 47, yang bergegas ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan van yang membawa ibunya, Fatimah Said, 63, terlibat dalam kemalangan berkata, ketika tiba, wanita tersebut masih bernyawa.

Menurut Saidi, menyedari keadaan ibunya yang parah, dia kemudian terus memangku untuk mengajar Allahyarham mengucap dua kalimah syahadah.

“Sebelum itu, kami sekeluarga menunggu ibu di pejabat syarikat terbabit di Tanah Putih dan kakitangan di situ yang memaklumkan van dinaikinya terlibat nahas.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati ibu masih hidup. Saya sempat memangku ibu dan mengajarnya mengucap sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Tiga daripada lima jemaah haji yang dalam perjalanan pulang daripada menunaikan ibadah itu maut selepas van yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler membawa muatan bijih besi di Kilometer 210.2, LPT arah Kuantan dekat Gambang di sini awal pagi ini.

Dalam nahas pukul 3.40 pagi itu, mangsa yang terbunuh ialah Kamarudin Ab. Rahman, 43, dari Permatang Badak Maju; ibunya, Zainab Awang Hassan, 59, dari Kampung Seri Teruntum dan Fatimah, dari Kampung Rozali, Jalan Gambang.

Kata Saidi, sebelum kejadian, ibunya ada menghubunginya supaya tidak perlu menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana mahu menaiki kenderaan yang disediakan oleh agensi pelancongan swasta.

Saidi juga tidak menyangka pesanan ibunya sebelum berangkat ke Tanah Suci supaya menjaga empat adiknya dan keluarga dengan baik adalah nasihatnya yang terakhir.

Sementara itu, anak Zainab, Sofian Ab. Rahman, 36, berkata, dia sekeluarga merancang untuk membawa ibunya pergi ke Langkawi pada Disember ini selepas pulang dari Mekah.

“Tetapi tak sangka hasrat tersebut tidak kesampaian apabila ibu meninggalkan kami sebelum sempat berjumpa dengannya," katanya. - UTUSAN 
Jemaah maut van rempuh treler

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
 
KUANTAN, RABU, 30 Oktober, 2013: Tiga daripada lima jemaah haji yang baru tiba di tanah air maut selepas van yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler membawa muatan bijih besi di Kilometer 210.2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan dekat Gambang di sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 3.40 pagi itu, mangsa yang terbunuh ialah Kamarudin Ab. Rahman, 43, dari Permatang Badak Maju; ibunya, Zainab Awang Hassan, 59, dari Kampung Seri Teruntum dan Fatimah Said, 63, dari Kampung Rozali, Jalan Gambang.

Dua lagi jemaah haji cedera iaitu isteri Kamarudin, Tuan Mazlinawati Tuan Abdullah, 40, dan Rokiah Ibrahim. Turut cedera pemandu van syarikat agensi pelancongan swasta, Robaie Roslan, 45.

Difahamkan, Fatimah dan Rokiah merupakan sahabat baik.

Pemangku Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, kemalangan berlaku ketika van jenis Toyota Hiace itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuantan.

“Ketika sampai di tempat kejadian iaitu berhampiran susur keluar Plaza Tol Gambang, van tersebut telah merempuh bahagian belakang treler muatan bijih besi yang bergerak perlahan di lorong kiri jalan.

“Akibat rempuhan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Kamarudin yang duduk di kerusi depan penumpang pula terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba kerana tersepit," katanya di sini hari ini.

Zainalabidin berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler dan pemandu van mempunyai lesen memandu yang sah.

Menurut beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, menantu Zainab, Khairul Azhan Zainol, 41, berkata, tiga ahli keluarganya selamat tiba di KLIA kira-kira 10 malam sebelum bertolak ke Kuantan.

“Saya jangka dalam pukul 2 pagi akan sampai di Kuantan. Namun mereka masih juga tidak sampai-sampai, menyebabkan saya tidak sedap hati.

“Saya kemudian menghubungi kakak ipar, Tuan Mazlinawati yang memberitahu bahawa mereka terlibat kemalangan di LPT," katanya.

Kata Khairul Azhan lagi, dia kemudian bergegas ke tempat kejadian dan sejurus sampai mendapati ibu mertua serta birasnya telah meninggal dunia.

Menurut beliau, ibu mertua, kakak ipar dan birasnya pergi menunaikan haji menerusi pakej sebuah syarikat swasta pada pertengahan September lalu

“Bagaimanapun saya tidak berpuas hati dengan pihak berwajib kerana jenazah ibu dan biras saya dibiarkan di atas jalan lebih dua jam dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Difahamkan, kesemua jemaah haji tersebut mengikuti rombongan menunaikan haji dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta yang terletak di Tanah Putih di sini.

Kesemua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, dekat sini, petang ini selepas selesai bedah siasat. - UTUSAN 
ATM berhasrat tambah aset

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

 * RAJA Mohamed Affandi (tengah) dan Ismail Ahmad (kanan) melihat pesawat 'Unmanned Aerial Target' (UAV) ketika hadir menyaksikan Eksesais Panah Jaguh siri 1/2013 di Lapang Sasar Bumi Ke Udara di Tanjung Logok, Kota Tinggi, semalam. - Bernama
KOTA TINGGI, RABU, 30 Oktober, 2013: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan penilaian semula terhadap keperluan aset pertahanan melibatkan semua perkhidmatan sebagai usaha mengukuhkan sistem pertahanan negara pada masa akan datang.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, pihaknya berhasrat menambah aset-aset pertahanan sebagai langkah untuk berhadapan sebarang kemungkinan seperti berlakunya tragedi berdarah seperti di Lahad Datu, Sabah.

"Sebagai pengguna, memang menjadi hasrat saya untuk menambah aset-aset baharu tetapi akan memakan masa untuk direalisasikan selepas mengambil kira keutamaan lain.

"Selepas mengambil kira masalah di Sabah dan sebagainya, keutamaan untuk menambah aset-aset ini akan dilihat semula," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan Panah Jaguh Siri 1/2013 di Lapang Sasar Bumi ke Udara Tentera Darat di Tanjung Logok di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Pemangku Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara, Kolonel Zulkarnain Abu Bakar.

Eksesais tahunan yang berlangsung selama 12 hari bermula 22 Oktober lalu itu merupakan program khusus bagi latihan pertahanan udara yang disertai 720 anggota dan pegawai dari pasukan Rejimen Artileri Pertahanan Udara.

Antara sistem persenjataan yang digunakan sepanjang latihan itu ialah meriam 35mm Oerlikon, radar Skyguard, radar Giraffe, pelancar bahu misil Igla, radar TRML 3D dan pelancar bahu misil FN-6.

Raja Mohamed Affandi berharap agar peruntukan yang disediakan digunakan sebaik mungkin bagi mengelakkan tragedi di Lahad Datu daripada berulang pada masa akan datang.

"Dengan keupayaan, kemampuan dan peralatan yang ada pada waktu ini, kita tidak boleh lagi pandang ke belakang, sebaliknya meneruskan usaha meningkatkan sistem pertahanan negara dan itu merupakan komitmen kami kepada semua," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, pihak kementerian akan membuat penilaian semula terhadap keperluan bagi setiap perkhidmatan di bawah ATM dan isu ancaman di Sabah merupakan keutamaan pada waktu ini.

"Keutamaan akan diberikan kepada ancaman yang dihadapi pada waktu ini, selain menyenaraikan setiap keperluan. Kita akan lihat nanti keutamaan diberikan kepada siapa," katanya. - UTUSAN 
Adik ipar Mufti Perak jemaah negara ke-18 meninggal dunia di Tanah Suci

 * ABDUL Azeez Abdul Rahim (dua dari kanan) memeluk dan menenangkan Mohamad Bahtiar Sabli ketika melawat keluarga Allahyarham Sabli Jamaidi di Kampung Tanah Kebun, Parit Buntar, Perak, semalam.
PARIT BUNTAR, RABU, 30 Oktober, 2013: "Saya tidak sangka pertemuan kami di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada 30 September lalu merupakan yang terakhir. Waktu itu, ayah dua tiga kali berulang-alik memeluk dan mendapatkan kami.

"Setahu saya, ayah tidak menghidap penyakit jantung, melainkan darah tinggi, tetapi dia tidak mahu pergi ke hospital. Ayah cuma hanya berpesan supaya pandai menjaga diri."

Demikian luahan Huzaitul Fadilah, 42, anak sulung daripada enam beradik kepada pasangan Sabli Jamaidi, 68, dan Hamsah Zakaria, 66, yang pergi menunaikan ibadah haji bersama-sama pada tahun ini.

Namun, Sabli yang juga adik ipar kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan berkhidmat sebagai siak di surau kampungnya, disahkan oleh doktor meninggal dunia akibat serangan jantung pada pagi Isnin lalu.

Menurut Huzaitul, ibu dan bapanya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu pergi menunaikan haji bersama 10 ahli keluarganya yang lain.

"Ayah telefon setiap hari. Biasanya dalam pukul 11 pagi untuk bertanyakan khabar. Cuma pada Jumaat lalu, ayah ada mengadu tidak sihat, batuk dan selesema.

"Sewaktu hari kejadian, saya sangkakan itu panggilan ayah. Namun rupanya daripada sepupu yang turut mengikuti ibadah haji dan kemudiannya memberitahu tentang kematian ayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ke rumah keluarga arwah di Kampung Tanah Kebun di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Abu Bakar Mat Ali.

Pada lawatan tersebut, Abdul Azeez turut menyampaikan sumbangan bantuan khairat kematian kepada waris keluarga Sabli.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, Allahyarham Sabli merupakan jemaah haji negara ke-18 yang meninggal dunia dalam musim haji pada tahun ini.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat penginapannya di Al-Bisyra Mawaddah, Mekah pada pukul 6.10 pagi waktu Arab Saudi.

"Jenazah Allahyarham telah diuruskan oleh para petugas Tabung Haji di Mekah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee di sana.

"Kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah serta ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh," katanya. - UTUSAN 
Isu kebolehpasaran siswazah masih sukar diselesaikan - Khairy

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013- Kerajaan tidak menghadapi masalah mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda namun berdepan cabaran berhubung isu kebolehpasaran siswazah.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, isu berkenaan masih sukar diselesaikan kerana terdapat jurang yang besar antara siswazah dan pihak industri.

Menurut beliau, isu itu juga sering dibangkitkan dalam pertemuannya dengan pihak swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC), sekali gus memerlukan pendekatan proaktif dalam menanganinya.

"GLC dan syarikat swasta tidak dapat mencari lepasan universiti yang mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja tanpa perlu melalui latihan susulan. Ini adalah sesuatu yang kita perlu usaha dan selesaikan," katanya dalam sesi dialog Pameran Kerjaya Sektor Fokus anjuran Taylor's University dan TalentCorp Malaysia di sini hari ini.

Khairy berkata, isu kebolehpasaran bukan isu baharu dan kerajaan juga telah mengambil pelbagai langkah bagi mengatasinya termasuk mengadakan pameran-pameran kerjaya di seluruh negara.

Menerusi inisiatif itu, tambah beliau, pihak majikan akan ke kampus dan memperkenalkan pilihan kerjaya sedia ada kepada pelajar bagi membolehkan mereka mempunyai penilaian lebih baik dan jangkaan realistik selain memahami pasaran pekerjaan selepas tamat pengajian.

Menurutnya, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) turut menganjurkan Karnival Kerjaya BN setiap tahun dan langkah itu berjaya mencipta banyak peluang kerjaya kepada belia.

Karnival itu juga, katanya, membuka peluang kepada mereka bertemu pihak industri bagi memahami aspek yang diperlukan untuk menceburi kerjaya yang benar-benar sesuai.

Ditanya sama ada sukan menjadi bidang penting dalam isu tersebut, Khairy berkata, aspek itu menambah nilai terhadap kebolehpasaran siswazah yang dilatih untuk bekerjasama sebagai sebuah pasukan.

"Bidang sukan juga membina karakter hasil pengalaman dan latihan yang dilalui. Malah, sukan secara individu juga mencerminkan modal insan yang dilahirkan di peringkat universiti mempunyai karakter relevan untuk pasaran pekerjaan," katanya. - UTUSAN 
Hanya warga Malaysia, Nepal diambil kerja

PUTRAJAYA, RABU, 30 Oktober, 2013: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bakal bekerjasama dengan Jabatan Imigresen melalui Ops ID bagi memastikan kesemua pengawal keselamatan di negara ini hanya terdiri daripada warganegara Malaysia atau Nepal yang dibenarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti termaktub di dalam perundangan negara.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd. Said berkata, tindakan itu diambil setelah operasi besar-besaran yang dijalankan pihaknya sejak semalam, mendapati terdapat ramai warganegara asing, selain Nepal bertugas sebagai pengawal keselamatan.

"Malangnya, JPN tidak boleh mengambil tindakan ke atas mereka. Kami hanya boleh mengenakan tindakan ke atas mereka yang memalsukan MyKad atau menggunakan kad pengenalan diri individu lain sahaja.

"Justeru, kerjasama ini akan saling melengkapi. Kita mahu pastikan kali ini tiada siapa yang terlepas melalui Ops ID secara besar-besaran yang sudah digerakkan semalam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, operasi itu mula menampakkan hasil apabila dua lelaki Filipina ditahan kerana menggunakan MyKad milik individu lain setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 282 pengawal keselamatan di Putrajaya, Cyberjaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Majistret Sepang semalam juga dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan di atas kesalahan tersebut.

Mengulas lanjut katanya, apabila ditanya tentang tindakan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bertugas sebagai pengawal keselamatan, kebanyakan warga asing tersebut memberi alasan kononnya mereka hanyalah 'pengawal pengganti'.

"Apabila ditanya siapa yang mereka gantikan, semuanya tidak boleh jawab. Disebabkan itu kami menganggap kerjasama dengan Jabatan Imigresen ini sebagai sesuatu yang amat penting," ujarnya.

Dalam pada itu, Jariah turut berharap agar kesemua pihak yang mahu menggaji mana-mana pekerja dalam apa jua bidang agar memeriksa terlebih dahulu kesahihan MyKad individu berkenaan dengan JPN.

"Syarikat itu mungkin boleh memberi senarai nama dan nombor MyKad individu tersebut kepada KDN terlebih dahulu. Jika ada rekodnya, kita mahu lihat pula orangnya agar boleh diambil biometrik serta dicamkan gambarnya.

"Berilah kerjasama kepada kami demi kebaikan semua. Saya amat mengalu-alukan kerjasama sedemikian terutamanya dari syarikat-syarikat keselamatan ketika ini," katanya. - UTUSAN 
10 penduduk nyaris cedera, bumbung runtuh akibat ribut

 * SERIYATI Rizab membersihkan ruang tamu rumahnya selepas ditimpa siling yang runtuh ekoran hujan lebat dan angin kencang di Flat PBS 14/7, Kawasan Perindustrian Bukit Serdang, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Lebih 10 penduduk nyaris cedera setelah bumbung kediaman mereka di tingkat lima sebuah flat di Jalan PBS 14/7, Kawasan Perindustrian Bukit Serdang dekat Seri Kembangan, runtuh akibat ribut kencang petang ini.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu yang turut disusuli hujan lebat menyebabkan barangan dan perabot di dalam rumah rosak dimasuki air selain mereka terpaksa berpindah bagi menyelamatkan diri.

Mangsa, Jumaat Mat Suli, 28, berkata, kejadian itu menyebabkan dua anaknya berusia lima dan empat tahun trauma kerana hampir ditimpa siling rumah.

Katanya, ketika kejadian dia sedang menemani anaknya bermain di dalam bilik kecil berhampiran dapur dan tiba-tiba ribut melanda menyebabkan bumbung rumahnya berbunyi kuat.

"Sejurus itu, saya melihat siling di ruang tamu jatuh satu persatu dan disusuli bumbung. Saya segera menarik anak-anak saya ke bawah meja makan dan bersembunyi.

"Selepas 10 minit bersembunyi, saya membawa anak keluar rumah. Mujurlah tiada kecelakaan menimpa kami semua," katanya yang mendakwa terdapat hujan batu turun sebelum kejadian itu.

Seorang lagi mangsa, Seriyati Rizab, 53, bernasib baik kerana ketika kejadian itu, dia mengasuh di rumah anaknya di tingkat satu flat berkenaan.

"Saya hanya menyedari kejadian buruk itu apabila mendengar ramai menjerit serta bunyi dentuman kuat.

"Nasib baiklah saya tidak mengasuh budak-budak itu di rumah saya, jika tidak hanya Allah yang tahu nasib kami," katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima kejadian pukul 5.17 petang dan beberapa jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Terdapat enam buah rumah di tingkat lima mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat hujan ribut. Bagaimanapun tiada mangsa yang mengalami kecederaan akibat kejadian itu," katanya.

Dalam pada itu, hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 5 petang turut menyebabkan Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) di Kilometer 8.7 sehingga 9 berhampiran Kampung Malaysia Tambahan di sini dilanda banjir kilat sehingga berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), keadaan berlaku ketika orang ramai sedang menuju pulang selepas waktu bekerja.

Katanya, turut sesak adalah Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Lingkaran Luar Kajang (SILK) sehingga pukul 10 malam ini. - UTUSAN