My Add

Tuesday 30 October 2012

Dokumen parti BN rahsia

KUALA LUMPUR, 30 Oktober, 2012: Ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta menganggap semua dokumen berkaitan parti sebagai dokumen rahsia bagi memastikannya selamat dan tidak jatuh di tangan pihak tidak sepatutnya.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau sudah menulis surat kepada semua 13 komponen BN supaya lebih berhati-hati mengendalikan dokumen berkaitan parti.

Mengulas isu kebocoran dokumen BN seperti didakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini, Tengku Adnan berkata, ia hanya membabitkan maklumat kesiapsiagaan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 dan pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

Penerima dokumen ini lupa kita ada sistem kod di ibu pejabat. Saya cuba nak dapatkan salinan pada Guan Eng supaya kita tahu siapa yang memberikan kepadanya. Tindakan selepas itu kita serahkan kepada Pengerusi (BN), katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Buku 100 Wira Negara terbitan Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) kepada UMNO di Dewan Seri Endon, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, BN tidak menolak kemungkinan meletakkan calon luar jika itu menjadi kehendak pengundi di kawasan terbabit.

Kita nak calon yang rakyat nak, bukan calon yang dipilih parti atau calon yang dipilih individu tertentu dalam parti, katanya.

Tengku Adnan mengulas kesediaan BN untuk meletakkan calon luar kawasan atau calon payung terjun dalam pilihan raya akan datang memandangkan perkara itu mungkin tidak disokong sesetengah pihak dalam parti.

Katanya, kepemimpinan parti akan mengutamakan pilihan rakyat dan meminta ahli parti untuk memberi sokongan padu kepada calon dipilih berdasar semangat Barisan Nasional.

Terdahulu, Tengku Adnan menerima 5,000 Buku 100 Wira Negara yang ditulis Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman, yang akan diedar kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO bermula 27 November depan.

Buku terbitan MUBARAK itu menampilkan 100 tokoh dan ikon tempatan yang menyumbang jasa kepada negara dalam bidang masing-masing termasuk politik, sosial, sukan dan ekonomi sebagai rujukan kepada generasi muda.

Antara tokoh dimuatkan sebagai wira negara ialah keenam-enam Perdana Menteri, pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, jaguh skuasy Datuk Nicol Ann David, angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, tokoh ekonomi Profesor Diraja Ungku Aziz dan wira negara, Allahyarham Leftenan Adnan. - BH

No comments:

Post a Comment