PRU-13: Apa beza Nik Aziz dan Mat Yassin?, tanya Muhyiddin
KUALA KRAI, RABU, 01 Mei, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar rakyat Kelantan menilai dengan mendalam siapa sebenarnya Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan apakah beliau layak digelar seorang ulama.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana Mursyidul Am sering kali mengeluarkan kenyataan mengelirukan termasuk mendakwa undi Pas masuk syurga dan ibadat orang UMNO tidak mendapat pahala.
"Kalau sokong Pas masuk syurga itu tidak betul. Nik Aziz kata ibadat orang UMNO tidak dapat pahala dan saya ingin bertanya balik, tok guru kah dia, ulama kah dia. Ayahanda saya ada pondok di Johor tidak pernah beritahu pun kata masuk UMNO ini kafir. Apa beza tok guru Nik Aziz dengan Mat Yassin (bapa Muhyiddin).
"Saya hairan, ini bukan main-main, ini sesuatu perkara yang mungkar. Kalau tok guru dah menyimpang, kalau salah baca dalam solat pun kita kena tegur dan kalau sudah lama tidak betul logiknya kita kena tolak tok guru ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian jambatan baharu Manek Urai di sini, hari ini.
Yang turut hadir isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan semua calon BN kawasan Parlimen Kuala Krai.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang menghairankan pemimpin Pas banyak membuat janji seperti mahu mengadakan lebuh raya yang sudah tentu tidak mungkin mampu dilaksanakan Pas.
Katanya soal membina lebuh raya itulah yang akan diperjuangkan BN apabila berjaya menguasai Kelantan dan Pusat pada PRU ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment