My Add

Wednesday, 1 May 2013

Sistem saraan khas untuk jaga kebajikan pesara sektor swasta

 SEGAMAT, RABU, 01 Mei, 2013: Cadangan mewujudkan sistem khas persaraan untuk pekerja swasta yang sudah berada pada fasa kedua perbincangan sebelum ini, berobjektif menjaga kebajikan pekerja sektor swasta, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, langkah itu diambil berikutan didapati semakin ramai bekas pekerja swasta yang kini di usia emas hilang punca pendapatan.

"Kadar warga emas miskin dilihat semakin meningkat kerana tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika bersara.

"Tetapi wang KWSP itu hanya bertahan beberapa tahun saja dan disebabkan itu, kita lihat mereka perlu dibantu demi menurunkan kadar kemiskinan terbabit," katanya dalam ucapannya sempena sambutan Hari Pekerja peringkat daerah Segamat, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak tiga model sistem persaraan tersebut dicipta sebagai langkah permulaan bagi penilaian sistem terbaik untuk dilaksanakan kelak.

Katanya, pelaksanaan sistem itu merupakan antara impian yang akan dilaksanakan beliau seandainya Barisan Nasional (BN) diberikan mandat oleh rakyat untuk terus mentadbir negara pada pilihan raya umum Ahad ini.

Selain itu, bagi memenuhi hasrat kerajaan menuju negara maju menjelang tahun 2020, Subramaniam berkata transformasi dalam sektor perkhidmatan pekerjaan perlu ditambah baik dengan mengubah cara bekerja agar produktiviti dapat ditingkatkan. 

Untuk itu, beliau menggesa majikan menjadikan rakyat tempatan sebagai pilihan utama untuk memenuhkan kuota kerja yang ditawarkan kerana impaknya dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Mengenai kadar gaji minimum sektor swasta, Subramaniam berkata satu makmal penyelidikan akan diwujudkan bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan gaji minimum dan mencari penyelesaian bagi sebarang permasalahan yang melanda.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan gaji minimum pekerja swasta ialah RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa 1 Jan tahun ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment