My Add

Sunday 19 May 2013

Ustaz Kazim jadi tarikan

SEREMBAN, SABTU, 18 Mei, 2013: Lebih 2,000 orang membanjiri kawasan pentas utama Festival Hari Guru bagi menyaksikan ceramah umum pendakwah bebas, Muhammad Kazim Elias di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini malam tadi.

Pengunjung membanjiri pekarangan kompleks seawal pukul 6 petang untuk tidak ketinggalan mendengar ceramah berkaitan hal ehwal keluarga itu yang bermula 8.45 malam.

Pendakwah yang dikenali sebagai Ustaz Kazim itu dilaporkan oleh sebuah akhbar mengumumkan untuk berhenti berceramah mulai 28 November ini kerana menerima ancaman bunuh oleh pihak tertentu kerana beliau dituduh menyebelahi parti politik tertentu.

Dalam sebuah akhbar hari ini, pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah itu mendedahkan bahawa beliau dimaki-hamun dalam blog dan Facebook, malah ada yang datang ke rumah dan pusat pengajian mengugut untuk memukul dan membunuhnya.

Beliau turut kecewa kerana dua anaknya yang masih bersekolah menanggung malu apabila ada di kalangan rakan yang menggelar mereka sebagai anak 'Ustaz Dajjal', 'Ustaz Freemason' dan 'Ustaz Sampul'.

"Sudah saya katakan saya bukan ustaz UMNO, ustaz Pas atau PKR. Sebaliknya saya berjuang atas dasar syiar Islam.

"Memang saya bergaul bersama orang UMNO tetapi saya bukan ahli UMNO. Saya berkawan dengan mereka kerana saya mahu menasihati mereka," katanya memaklumkan dirinya turut berkawan dengan pemimpin dan pengikut Pas serta PKR.

Sementara itu, selain program ceramah Ustaz Kazim, pengunjung yang sebahagian besar terdiri dalam kalangan pelajar tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti disediakan sepanjang festival berlangsung bermula pukul 10 pagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment