My Add

Friday 30 May 2014

Penghormatan terakhir

 * RAJA Dr. Nazrin Shah yang diisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim bersama Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor mengaminkan doa ketika memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, semalam. - BERNAMA
KUALA KANGSAR, KHAMIS 29 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor merupakan pemimpin negara paling awal yang memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Azlan Shah di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini pagi ini.

Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China tiba di sini pada pukul 9 pagi, diiringi Pemangku Raja Perak (sebelum pengisytiharan), Raja Dr. Nazrin Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebelum merafak sembah ucapan takziah atas kemangkatan baginda.

Perdana Menteri kemudian kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan enam hari yang bermula kelmarin sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Istiadat penghormatan terakhir Almarhum Sultan Azlan Shah hari ini dimulakan dengan kumpulan orang awam dari pukul 9 hingga 11.30 pagi.

Ini disusuli kumpulan orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing dari pukul 11.45 pagi hingga 1.15 petang.

Lain-lain pemimpin negara yang hadir termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Turut kelihatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan kedua-dua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong (Barisan Nasional) dan Dyana Sofya Mohd. Daud (DAP).

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah diiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah hadir pada istiadat penghormatan terakhir untuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan yang bermula pukul 1.30 hingga 2.15 petang.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diiringi Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Abdul Rashid; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Pengiran Muda Sufri Bolkiah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Sultanah Johor, Raja Zarith Sofia turut memberikan penghormatan terakhir.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib merupakan antara pemimpin negeri yang turut hadir selain perwakilan asing. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment