My Add

Tuesday, 1 November 2011

Hampir 50,000 sertai Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan

Oleh Muhamad Aimy Ahmad

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Hampir 50,000 orang kini sudah mendaftar sebagai ahli Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang menguruskan Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan.

Pengurus Pembangunan Pendidikan Modal Insan YWP, Zahrul Abdul Rahman berkata, skim yang bertujuan meringankan beban mereka yang kematian anggota keluarga itu sudah membantu kira-kira 200 keluarga sejak ia dilancarkan, lapor Utusan Malaysia.

“Sebanyak RM2,500 diberikan kepada setiap keluarga dan saya ingin mengingatkan penama agar mengemukakan dokumen yang lengkap semasa memohon bagi mengelak kelewatan dalam menyampaikan sumbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi penyampaian bantuan tersebut kepada dua keluarga yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pasukan Petugas 1 Malaysia MCA Wilayah Persekutuan, Frankie Gan Joon Zin, hari ini.

KDN tubuh empat subunit khas tangani isu warga asing

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan empat subunit khas untuk menangani isu warga asing di negara ini, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

Beliau berkata, subunit itu akan menangani isu mengenai warga dan pekerja asing di Sabah dan Sarawak, isu pelarian, isu pelajar asing, dan isu tuduhan politik yang tidak berasas.

Menurut laporan Bernama, selain itu, kesemua subunit berkenaan turut melihat perkara sampingan bagi menambah baik Program 6P, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengarah imigresen negeri, di sini.

"Empat subunit ini akan lebih fokus mengenai apa yang harus dilakukan. Mereka akan bekerja dengan kementerian dan agensi termasuk agensi asing,” katanya.

Hishammuddin berkata, walaupun penubuhan empat subunit itu tidak termasuk dalam objektif utama jawatankuasa kabinet dan Program 6P, KDN mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan hasil yang lebih baik.

Katanya, semua subunit berkenaan akan membentangkan laporan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Isu tanah wakaf: Keputusan MAIPP batal kaveat 8 Disember

Oleh ROKIAH ABDULLAH

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 Disember depan untuk mendengar keputusan permohonan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi membatalkan kaveat yang dibuat oleh seorang waris tanah wakaf di Bagan Luar, Butterworth yang sepatutnya dimajukan untuk projek pembinaan pangsapuri 22 tingkat.

Menurut laporan Uusan Malaysia, Hakim Yaakob Md. Sam membuat keputusan itu setelah selesai mendengar hujahan pihak plaintif dan defendan hampir sejam.

Dalam kes tersebut, MAIPP selaku plaintif diwakili peguam Mohd. Aslam Mohd. Mydin, manakala Muhamad Amin Abdul Rahman, 38, yang merupakan waris tanah wakaf seluas 1.1 hektar di Jalan Mengkuang dekat sini diwakili peguam Raj Shankar.

Terdahulu, dalam hujahannya, Mohd. Aslam berkata, MAIPP selaku badan yang dilantik sebagai pentadbir tanah wakaf di Pulau Pinang berhak untuk mengarahkan penduduk yang tinggal di kawasan tanah berkenaan keluar dari kawasan itu bagi membolehkan ia dibangunkan dengan projek pembinaan pangsapuri setinggi 22 tingkat.

Menurut peguam itu, Muhamad Amin selaku waris tanah tidak mempunyai hak untuk menghalang tanah di situ dibangunkan dengan projek komersial kerana statusnya hanya sebagai pewaris yang menerima faedah.

“Lagipun, tiada bukti MAIPP telah gagal mentadbir tanah itu dan mereka tidak pernah mempertikaikan hak-hak pewaris tanah tersebut sehingga kini.

“Justeru, MAIPP memohon kaveat dibatalkan supaya projek itu dapat diteruskan yang dapat memberi faedah kepada semua,’’ katanya.

Sementara itu, Raj pula berhujah bahawa MAIPP hanya bertindak sebagai pentadbir tanah berkenaan sejak 1988 dan mereka perlu mengikut segala syarat yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, MAIPP tidak boleh bertindak sesuka hati untuk memaju dan membangunkan tanah tersebut yang dihuni 14 keluarga kerana tanah itu mempunyai waris dan pemegang amanah yang sah.

“Untuk tujuan itu, Muhamad Amin telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, September lalu bagi menuntut haknya sebagai waris tanah wakaf ini dan menentukan sama ada MAIPP berhak mengarahkan penduduk di situ keluar bagi memberi laluan kepada pembangunan.

“Justeru, saya memohon supaya kaveat yang dibuat di mahkamah ini dikekalkan sehingga keputusan di Mahkamah Syariah diperoleh,’’ katanya.

Untuk rekod, MAIPP juga baru-baru ini telah memfailkan kes di Mahkamah Sesyen Butterworth dekat sini untuk menuntut supaya 14 keluarga yang menghuni tanah tersebut keluar dari kawasan berkenaan.

Mengikut surat yang dikemukakan waris, pada tahun 17 Ogos 1892, Kavana Ebrahim @ Burong telah mewasiatkan tanah seluar 1.1 hektar itu kepada orang Islam yang tinggal dan menyewa di kawasan tersebut untuk menjaga kepentingan mereka.