My Add

Friday, 30 December 2011

JPN mula keluarkan MyKad baru mulai 3 Januari


PERBEZAAN imej sinar ultra lembayung atau UV yang timbul dari kad pengenalan yang baru (kanan) dengan kad pengenalan lama ketika dipancarkan dengan cahaya UV. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan kad baru itu mulai 3 Januari 2012 secara berperingkat dan akan dimulakan di ibu pejabat JPN Putrajaya dan JPN Shah A

PUTRAJAYA, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan MyKad baru yang mempunyai ciri-ciri keselamatan terkini secara berperingkat mulai Selasa ini, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Jariah Mohd Said. 

Beliau berkata pengeluaran MyKad baru akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di JPN Putrajaya dan JPN Shah Alam, Selangor, sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara selepas 15 Februari ini.

Katanya orang ramai digalak menukarkan kepada MyKad baru itu tetapi ia bukan wajib.
"MyKad yang berstruktur baru memiliki reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan seperti diperbuat daripada bahan polikarbonat yang lebih bertahan dan menggunakan cip baru yang lebih bertahan. 

"Selain itu, MyKad baru mempunyai "ghost image" yang menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad bagi mengelakkan pemalsuan berlaku," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Jariah berkata JPN yakin pengeluaran MyKad baru yang mengikuti piawaian antarabangsa tidak mudah rosak dan ia dapat mengatasi masalah berkaitan kualiti dan ketahanan MyKad termasuk kualiti cip yang sering dibangkitkan akhir-akhir ini. 

Beliau berkata MyKad baru sudah menambahbaik keseluruhan percetakan keselamatan MyKad dengan teknologi terkini dan ia memperkukuhkan daya lekatan antara lapisan cetakan dengan "overlay" dengan reka bentuk yang ditambahbaik. 

Jariah berkata cawangan JPN di negeri-negeri lain seperti Kluang dan Ipoh akan mengeluarkan MyKad baru pada 10 Januari, Johor Bahru (14 Januari), Kuantan (15 Januari), Melaka (17 Januari), Kuching dan Kota Bharu (20 Januari), Kuala Terengganu dan Pulau Pinang (29 Januari). 

Selain itu, beliau berkata pejabat JPN Alor Setar akan mengeluarkan MyKad baru pada 2 Februari, Miri (6 Februari), Kota Kinabalu dan cawangan-cawangan lain pada 7 Februari serta cawangan di Wilayah Persekutuan pada 15 Februari. 

"JPN akan mengambil tempoh masa sehari untuk mengeluarkan MyKad struktur baru di cawangan-cawangan JPN yang dinyatakan. 

"Lain -lain cawangan JPN akan mengambil masa 10 hari bekerja di Semenanjung dan maksimum 30 hari di Sabah dan Sarawak," katanya. - BERNAMA

Ahli KWSP boleh mendaftar haji mulai 3 Januari ini

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mulai 3 Januari ini.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, di bawah Kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP, ahli boleh membuat pendaftaran mengunakan simpanan Akaun 1 di semua cawangan TH untuk mendapatkan giliran menunaikan haji.

Pendaftaran haji itu juga boleh dibuat di semua cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam seluruh negara mengikut prosedur yang ditetapkan oleh TH dan ahli KWSP hanya perlu membawa MyKad dan penyata KWSP terkini, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ahli KWSP tidak perlu mengeluarkan simpanan untuk mendaftar haji. Untuk melayakkan diri membuat pendaftaran haji, ahli KWSP mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap beragama Islam.

"Mereka juga belum mencapai umur 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan di TH. Ahli yang tidak mempunyai akaun TH boleh membukanya dengan deposit minimum RM2,” katanya.

Nik Affendi berkata ahli KWSP yang telah berdaftar di bawah prosedur TH sebelum ini, boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang diberi sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan itu tidak mempercepatkan tarikh mengerjakan haji kerana ia ditentukan TH.

Untuk maklumat lanjut, ahli KWSP boleh melayari laman web www.kwsp.gov.my atau www.tabunghaji.gov.my, atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000 atau Tabung Haji Contact Centre di 03-62071919. - BERNAMA

Kes tikam: Polis tahan tiga lelaki termasuk teman lelaki Rozana

PIHAK polis mengiringi suspek di Mahkamah Selayang, hari ini yang ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan kes pembunuhan. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Tiga lelaki, termasuk teman lelaki Rozana Mohd Yusak, 35, wanita yang ditemui mati dengan lebih 15 kesan tikaman di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong 21 Disember lalu, ditahan polis semalam. 

"Dalam tangkapan jam 8 malam sehingga 1 pagi itu, polis juga merampas sebuah komputer riba milik mangsa daripada salah seorang suspek," katanya.
Menurut sumber itu, ketiga-tiga lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pagi ini dan direman tujuh hari sehingga 6 Januari depan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan penahanan terbabit namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, sidang media mengenai kes terbabit akan diadakan esok di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Rozana ditemui berlumuran darah dengan lebih 15 kesan tikaman pada bahagian belakang badannya, di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong. 

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur. - BERNAMA