My Add

Thursday, 31 October 2013

Desak konsesi Dawama tidak disambung

* MOHD. Nizam Mahshar bersama sebahagian kepemimpinan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dalam sidang akhbar berkenaan monopoli Dawama dan impak kepada usahawan pencetakan oleh MTEM di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 30 Oktober, 2013: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mendesak kerajaan tidak menyambung konsesi yang diberikan kepada Dawama Sdn. Bhd. (Dawama) bagi kerja-kerja percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bakal berakhir 31 Ogos tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd. Nizam Mahshar berkata, langkah itu bagi membantu melonjakkan ekonomi syarikat-syarikat percetakan bumiputera lain di samping mewujudkan persaingan sihat dalam industri tersebut.

Menurutnya, beberapa kegagalan Dawama termasuk dalam kerja-kerja percetakan buku teks Kementerian Pendidikan pada 2010 dan kegagalan melunaskan hutang kepada pengusaha-pengusaha Melayu memberi gambaran buruk terhadap syarikat-syarikat bumiputera lain.

"Kami mendapat maklumat ada perbincangan untuk meneruskan konsesi yang diperoleh Dawama itu untuk tempoh 10 tahun lagi.

"Ini menimbulkan persoalan kerana Dawama sebelum ini sudah terbukti gagal meskipun telah diberi peluang, jadi kenapa konsesi itu perlu diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Presiden PPPMM, Datuk Badruddin Abu Bakar di pejabat MTEM, di sini hari ini.

Dawama sebelum ini diberikan konsesi selama 12 tahun di bawah DBP untuk kerja-kerja percetakan, pemasaran dan pengedaran buku bermula 1 September 2002 sehingga 31 Ogos tahun hadapan.

Sementara itu, tambah Mohd. Nizam, beliau berharap kerja-kerja percetakan DBP selepas ini dapat diserahkan kembali kepada pengusaha-pengusaha percetakan, pengedaran dan pengangkutan orang Melayu atau diuruskan secara Konsortium Percetakan, Pengedaran dan Pengangkutan yang ditubuhkan.

Katanya, pengusaha-pengusaha percetakan bumiputera lain mampu melaksana kerja-kerja percetakan DBP sebagaimana dibuktikan ketika mengambil alih kerja-kerja yang gagal disiapkan Dawama pada akhir 2010.

"Kami juga mencadangkan DBP mengambil alih urusan percetakan manakala urusan pekerja disalurkan kepada konsortium itu atau kontrak tersebut dilakukan pembidaan semula untuk mengelak berlakunya monopoli," katanya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan DBP menubuhkan syarikat yang diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan serta Konsortium Percetakan, Pengedaran dan Pengangkutan untuk membeli Dawama bagi memastikan industri percetakan bumiputera kekal bersaing dan maju. - UTUSAN 
Doa ibu jumpa anak termakbul

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

  * HAJIJAH Abdul Rashid (duduk, tiga dari kiri) bersama Albert Chang Chun Cheun (duduk, dua dari kiri), Lee Thim Foo (duduk, dua dari kanan), Low Seong Sin (duduk, kanan) dan Leow Yen Ling (berdiri, tiga dari kanan) pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Gopeng, Perak, semalam.
GOPENG, RABU, 30 Oktober, 2013: Tiada perkataan boleh digambarkan buat seorang ibu yang dapat bertemu dan memeluk anaknya yang telah meringkuk selama tujuh tahun di dalam Pusat Tahanan Tao Yuan, Taiwan, atas kesalahan dadah.

Begitu yang berlaku terhadap Hajijah Abdul Rashid, 55, apabila hajatnya untuk melepaskan rindu kepada anaknya, Khairil Azuan Abu Hassan, 33, akhirnya termakbul dalam tiga pertemuan di pusat tahanan itu pada 23, 24 dan 25 Oktober lalu.

Menurut Hajijah, daripada tiga perjumpaan itu, satu adalah perjumpaan khas selama sejam di dalam sebuah bilik manakala dua lagi cuma perjumpaan biasa yang dipisahkan dengan cermin dan mereka hanya berkomunikasi menerusi telefon.

"Sebelum ini, saya berharap dapat jumpa Khairil Azuan kerana sudah tujuh tahun saya hendak jumpa dan memeluk dia. Akhirnya termakbul juga doa dan tercapai hasrat saya untuk berjumpa dengan anak saya.

"Siapa hendak anak dia jadi jahat. Walaupun orang masih mengatakan dia jahat tetapi dia tetap anak saya," katanya dengan linangan air mata.

Hajijah berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua MCA Bahagian Gopeng, Albert Chang Chun Chuen di pusat khidmat dan aduan parti terbabit di sini hari ini.

Pertemuan dua beranak itu adalah hasil usaha dijalankan Pusat Khidmat dan Aduan MCA Bahagian Gopeng.

Yang turut hadir, tiga pemimpin MCA Bahagian Gopeng yang menemani Hajijah sepanjang enam hari berada di Taiwan dari 21 hingga 26 Oktober lalu iaitu Pengerusi Biro Khidmat dan Aduan MCA Bahagian itu, Low Seong Sin, Lee Thim Foo (Setiausaha Kerja) dan Leow Yen Ling (Ketua Pemuda).

Hajijah seterusnya berkata, dalam pertemuan itu, anaknya menyatakan kekesalan kerana terjebak dengan sindiket dadah antarabangsa sehingga sanggup membawa beg berisi dadah tersebut dengan upah antara RM3,000 dan RM4,000.

"Syukurlah, saya nampak dia sudah insaf atas kesalahannya dan ingin mengubah kehidupan sekiranya berpeluang dibebaskan nanti terutama jika berkelakuan baik. Saya anggap dia pergi belajar dan bukan ditahan di sana.

"Dia sekarang boleh bercakap dan menulis di dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Dia juga nampak lebih sihat sekarang berbanding tujuh tahun lalu," katanya yang turut menunaikan hajat Khairil Azuan untuk makan rendang tok dan melihat gambar dua anaknya dalam pertemuan itu.

Hajijah yang bekerja sebagai tukang cuci turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya sehingga dapat berjumpa dengan anaknya terutama Seong Sin, Thim Foo dan Yen Ling yang menemaninya sepanjang berada di negara tersebut.

"Mereka menjaga saya hingga saya dapat jumpa dan peluk anak saya. Tuhan sahaja dapat balas jasa mereka. Saya tidak akan lupakan semua ini sehingga akhir hayat saya," katanya.

Tahun lalu, Hajijah pernah merayu bantuan kerajaan supaya mengaturkan pertemuan dengan anak lelakinya yang menjadi keldai dadah dan meringkuk di Pusat Tahanan Taoyuan, Taiwan.

Khairil Azuan ditahan di Lapangan Terbang Chiang Kai Shek, sejurus tiba dari Bangkok, Thailand, pada 2006 kerana kesalahan cuba menyeludup dadah jenis heroin seberat 1,536 gram.

Dia kemudian dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di pusat tahanan itu pada 2008. - UTUSAN 
DMDI desak syarikat tanam sawit

 MELAKA, RABU, 30 Oktober, 2013: Seluruh anggota pertubuhan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bersetuju mendesak syarikat-syarikat yang membuat pelaburan dalam penanaman kelapa sawit di Sumatera, Indonesia menubuhkan Tabung Jerebu bagi membantu negara yang sering dilanda jerebu seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, dana daripada tabung tersebut boleh digunakan bukan sahaja untuk membantu kerajaan Indonesia memadamkan kebakaran tetapi juga dapat membantu negara-negara yang dilanda bencana tersebut.

''Jika seluruh syarikat memberi kerjasama, tabung ini dapat mengumpulkan satu dana yang besar yang boleh digunakan untuk program-program pencegahan.

''Kita lihat, setiap negara yang dilanda jerebu terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar akibat jerebu dan dengan adanya tabung ini, dana yang dikumpul itu dapat disalurkan bagi membantu negara yang terlibat,'' katanya kepada pemberita selepas pembentangan 17 resolusi dan majlis penutup Konvensyen DMDI kali ke-14 yang berakhir di sini semalam.

Menurutnya, beliau difahamkan Indonesia berbelanja hampir RM30 juta bagi mengatasi masalah jerebu dan begitu juga Malaysia serta beberapa negara lain.

Menangani isu jerebu adalah antara salah satu resolusi yang dibincangkan dalam konvensyen tersebut yang dihadiri 752 peserta.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, setiap negara yang mempunyai syarikat-syarikat melabur di Sumatera perlu memainkan peranan untuk meminta pihak terlibat menabung dalam tabung yang dicadangkan oleh DMDI itu. - UTUSAN