My Add

Sunday 30 October 2011

CHOGM: Sepakat bentuk Komanwel yang lebih berkesan

NAJIB beramah mesra dengan rakyat Malaysia pada majlis BBQ 1Malaysia yang dihadiri kira-kira seribu orang selepas Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2011 di Perth, hari ini. - Foto BERNAMA

AHAD, 30 Oktober, 2011: Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel menamatkan mesyuarat hari ini dengan memperteguhkan tekad untuk membentuk Komanwel menjadi sebuah institusi yang lebih berkesan dan relevan, berupaya menangani cabaran-cabaran global abad ke-21 seperti jaminan bekalan makanan, perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pemimpin turut memperkukuhkan komitmen mereka terhadap nilai-nilai demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Merumuskan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), beliau berkata daripada segi dasar-dasar, nilai-nilai dan komitmen ke arah pembaharuan, ia adalah baik.

"Tetapi seperti biasa adalah tentang bagaimana. Bagaimana kita akan melakukannya merupakan cabaran paling besar,” katanya kepada wartawan Malaysia di Perth.

Bernama melaporkan, Perdana Menteri berkata, keinginan untuk berubah memang ada, dan pemikiran terhadap masalah-masalah dunia jelas dengan semangat Komanwel terus hidup.

“Keinginan untuk menjadikan Komanwel lebih relevan tertera jelas tetapi komitmen dalam pelaksanaan daripada segi sumber, tentang apakah yang boleh kita lakukan saya fikir merupakan satu perkara yang menjadi cabaran besar,” kata beliau.

Persoalan yang sering dibangkitkan kebelakangan ini ialah sejauh mana relevannya Komanwel dan apakah pendirian pertubuhan ini di tengah-tengah cabaran masa kini.

Dalam pada itu, Najib berkata, CHOGM merupakan ‘satu himpunan negara-negara yang mempunyai kepelbagaian menarik’.

“Cabaran yang sering muncul adalah bagaimana hendak mendapatkan keputusan sebulat suara bagi setiap keputusan. Apabila ini timbul di kala usaha untuk mendapatkan keputusan sebulat suara, ini bermakna anda tidak akan mendapat semua yang anda mahukan,” kata Perdana Menteri.

Agenda Kesederhanaan Malaysia dalam pernyataan CHOGM

Pergerakan Global Malaysia bagi Agenda Kesederhanaan, satu inisiatif Najib, telah dimasukkan dalam pernyataan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang dikeluarkan di hari terakhir mesyuarat itu pada Ahad.

Najib berkata, ini bermakna sebagai sebuah organisasi, sekretariat Komanwel juga perlu mendokong Pergerakan Kesederhanaan Global ini.

Beliau membeithu, pada dasarnya orang menyokong keseluruhan idea konsep ini.

“Kini terpulanglah kepada kita untuk mencuba memperjelaskan dalam aspek aktiviti dan program yang boleh mengukuhkan konsep ini, prinsip dan nilai-nilai berkaitan dengan Pergerakan Kesederhanaan Global,” tambahnya.

Perdana Menteri berkata, pada hakikatnya satu seminar utama mengenai ini telah dirancang diadakan pada Januari tahun depan yang akan dihoskan oleh Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di mana para pemimpin dari seluruh dunia yang dipilih akan dijemput.

“Dan peringkat kedua ialah mengadakan institusi menjalankan banyak penyelidikan dalam aspek bagaimana kita promosikan nilai-nilai ini,” kata Perdana Menteri.

Katanya, beliau menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan perkara ini, sambil menambah ia tidak lama lagi. 

No comments:

Post a Comment