My Add

Monday 28 November 2011

Import makanan dari Malaysia naik 400 peratus

JAKARTA, ISNIN, 28 November, 2011:. -
IMPORT produk makanan dari Malaysia oleh Indonesia melonjak dalam tempoh enam bulan lalu, dengan mencatat kenaikan sehingga 400 peratus.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengusaha Makanan dan Minuman Indonesia, Franky Sibarani berkata, nilai import makanan dari Malaysia hingga April lalu ialah sebanyak AS$12.5 juta dan hingga akhir Oktober, nilai itu mencapai AS$48.8 juta.

"Telah berlaku kenaikan 4 kali ganda dalam jangka masa 6 bulan atau kenaikan kira-kira 400 peratus,” kata beliau seperti dipetik harian Media Indonesia, Isnin.

Sibarani berkata, import produk makanan Malaysia itu mewakili 24.7 peratus daripada jumlah produk makanan dan minuman import Indonesia sehingga Oktober 2011. Pada bulan April lalu ia hanya mewakili 18.5 peratus.

Selain Malaysia, import produk makanan dari negara-negara ASEAN turut meningkat dengan mencatat nilai AS$96.5 juta, berbanding nilai import pada bulan April lalu yang hanya berjumlah AS$31.37 juta.

"Dari April berlaku kenaikan sebanyak AS65.13 juta, naik tiga kali ganda.

Kenaikan ini didominasi produk makanan dari Malaysia,” katanya.

Sibarani menjangkakan bahawa angka import bagi produk makanan ke Indonesia akan terus meningkat menjelang pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2015.

Pasaran makanan dan minuman di Indonesia semakin dinikmati oleh produk asing kerana lemahnya sokongan kerajaan untuk meningkatkan daya saing dan perlindungan pasaran dalam negeri, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment