My Add

Saturday 29 December 2012

Kerajaan pandang serius bahasa, ejaan ringkas

*MUHYIDDIN Yassin berkata sesuatu kepada penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Syed Mohd Zakir Syed Othman (kanan), Kamaludin Endol (dua dari kanan) dan Marzuki Ali (dua dari kiri) selepas menyampaikan hadiah sastera berkenaan di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar (empat dari kanan) dan Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan (tiga dari kanan). - Utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Disember, 201: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memandang serius penggunaan bahasa serta ejaan ringkas yang tidak mengikut kaedah betul hasil perkembangan pesat bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini kerana bahasa serta ejaan ringkas yang banyak digunakan dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kini mula dipakai secara meluas termasuk dalam aktiviti pembelajaran serta peperiksaan di institusi pendidikan.

Jelasnya, perkara itu merupakan satu fenomena yang perlu dipantau dan dibendung segera supaya tidak berleluasa dan merosakkan keindahan bahasa terutama bahasa Melayu.

''Saya berharap agar perkara ini dapat diatasi melalui pelaksanaan program pemantauan dan Audit Bahasa Melayu yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

''Saya juga berharap agar rakyat dapat memupuk sikap cinta kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menggunakan bahasa yang betul pada setiap masa, baik dalam urusan rasmi atau tidak rasmi,'' katanya.

Beliau berucap dalam majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 anjuran DBP, di sini hari ini.

HSPM merupakan hasil penilaian terhadap karya sastera yang diterbitkan dalam bentuk buku dan karya eceran yang tersiar dalam akhbar termasuk di Mingguan Malaysia, majalah, jurnal dan buku atau karya yang dipentaskan untuk skrip drama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain penggunaan bahasa serta ejaan ringkas, keseimbangan dalam penerbitan karya sastera dan pemilihan bahan bacaan juga perlu diberi penekanan sewajarnya.

Ujar beliau, dalam kerancakan penerbitan novel popular dan mudah, perkara itu harus diseimbangkan dengan penerbitan karya sastera yang lebih serius.

''Ini bermakna khalayak masyarakat harus menyeimbangkan pembacaan mereka dengan memilih karya sastera yang serius untuk menggarap pemikiran yang lebih kritis dan membina nilai estetika.

''Karya sastera yang mengandungi nilai dan budaya murni memainkan peranan penting dalam memberikan pengisian nilai kemanusiaan dan rohani kepada kemajuan material,'' katanya.

Dengan itu, tegasnya, tamadun bangsa tidak hanya dibangunkan oleh kejayaan ekonomi dan teknologi semata-mata tetapi berkembang seiring dengan kemajuan budaya serta nilai kemanusiaan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin mengajak semua pihak untuk memberi perhatian kepada penerbitan dalam talian dan digital yang sedang berkembang pesat.

''Hari ini maklumat berada di hujung jari. Generasi muda adalah generasi yang lebih bergantung kepada alat mudah alih untuk mendapatkan maklumat. Mereka memperoleh maklumat dan berkomunikasi secara lebih pantas dengan menggunakan pelbagai saluran teknologi baharu.

''Perkembangan ini telah memberi kesan yang besar terhadap bidang penerbitan dan percetakan. Hujung tahun ini sebuah penerbitan yang berpengaruh iaitu majalah Newsweek akan dihentikan cetakannya untuk terbitan dalam talian,'' jelasnya.

Selaras dengan perkembangan terbaharu itu, katanya, para penulis dan penerbit wajar mempelbagaikan wahana penerbitan hasil karya termasuk menggunakan kaedah digital bagi menyebar luas kandungan sastera masing-masing. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment