My Add

Wednesday 27 February 2013

Rakyat tunggu penjelasan Abdul Hadi berhubung isu BR1M: Md Noor Deris

KOTA BHARU, RABU, 27 Februari, 2013: Rakyat kini sedang menunggu penjelasan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang menyifatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat sama seperti yang dilakukan Firaun.
 Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Negeri, Md Noor Deris turut mempersoal sama ada Abdul Hadi pernah mengkaji dengan teliti sejarah Firaun sehingga menyamakan Malaysia dengan kerajaan Mesir pada zaman itu.

Sambil melahirkan rasa kesal atas kenyataan Abdul Hadi, beliau berharap perkembangan yang berlaku ini akan memberi keinsafan kepada rakyat mengenai akibat orang yang merasakan diri dan partinya serba cukup dan lengkap sehingga sanggup memandang rendah usaha murni kerajaan yang memerintah.

"Rakyat juga ingin tahu adakah kerjasama di antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama dengan gerakan yang dilakukan oleh Nabi Musa A.S. dulu," katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akhbar, Isnin lalu melaporkan Abdul Hadi ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Keempat di Shah Alam, berkata usaha Kerajaan Pusat melaksanakan pemberian BR1M itu sama dengan Firaun yang disifatkannya turut melaksanakan bantuan yang sama kepada rakyat Mesir sejak ribuan tahun dulu.

Md Noor yang juga Pengerusi Biro Agama dan Ulama Veteran UMNO Kelantan berkata, dengan kenyataannya itu Abdul Hadi kini perlu bersedia dengan 'mukjizat-mukjizat tongkat' untuk menangkis serangan balas daripada rakyat yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya.

Mengulas mengenai tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan pemberian BR1M kepada rakyat seperti memberi makan hampas kelapa kepada ayam dan lembu, beliau berkata, tindakan itu bakal memakan diri Menteri Besar Kelantan berkenaan.

"Nik Aziz ini badannya lemah, tapi hatinya keras dan kasar. Disebabkan kenyataannya itu rakyat Malaysia kini kenal betapa keras hati beliau dan boleh menyebabkan masyarakat hilang keyakinan terhadapnya sebagai seorang pemimpin Islam.

"Islam memang benarkan kita buat perumpamaan, sama ada betul atau salah saja. Bagi saya, perumpamaan yang dibuat Nik Aziz tersebut menghina orang yang menerima bantuan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment