Oleh KASTHURI JEEVENDRAN
| R. Ramanan, Lim Guan Eng |
KUALA LUMPUR, RABU, 01 Mei, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didakwa lebih rela melihat Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran parti itu daripada mengadakan pemilihan semula jawatankuasa kerja pusat (CEC).
Ini kerana beliau dikatakan bimbang tersingkir bersama konco-konconya jika DAP diarah mengadakan semula pemilihan itu melibatkan 2,576 perwakilan termasuk 753 yang tidak mengundi sebelum ini.
Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan mendakwa, beliau ada mendengar khabar angin tentang Guan Eng yang risau keputusan pemilihan itu mungkin tidak akan berpihak kepadanya.
Saya difahamkan sekiranya pemilihan semula diadakan dengan menggunakan juruaudit luar, maka keputusan pemilihan CEC akan menunjukkan perubahan yang sungguh drastik.
Saya yakin isu pemilihan semula ini juga bukan berita yang baik buat Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Guan Eng," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ramanan, orang kuat Guan Eng seperti Teresa Kok, Tony Pua, Tan Kok Wai dan Anthony Loke juga mungkin akan kalah atau terkeluar daripada senarai.
Malah katanya, mereka yang berkemungkinan menduduki tempat teratas ialah Datuk Theng Chang Kim, diikuti Nga Kor Ming, Dr. Boo Cheng Hau dan Datuk Ngeh Koo Ham.
Ini juga mungkin antara sebab mengapa anak beranak, Kit Siang dan Guan Eng boleh membuat drama air mata dan berbohong tentang isi kandungan surat ROS kepada parti itu baru-baru ini," ujarnya.
ROS baru-baru ini mengesahkan masih menjalankan siasatan terhadap pendaftaran DAP berikutan pertikaian yang berlaku itu dan DAP masih boleh menggunakan logo parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Isu pemilihan CEC parti menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan untuk mengundi pada pemilihan tahun lalu selain timbul kemusykilan insiden memalukan salah kira undi.
Ramanan juga melahirkan kemusykilannya jika Guan Eng tetap enggan mengadakan pemilihan semula dan apakah yang akan dilakukannya untuk meyakinkan keseluruhan perwakilan serta ahli CEC supaya membiarkan sahaja ROS mengambil tindakan terhadap parti itu.
Ramanan turut mendakwa, hanya dengan pembatalan pendaftaran parti oleh ROS, Guan Eng berkemungkinan besar akan dapat menyingkirkan sejumlah besar kumpulan yang tidak menyokongnya khasnya ahli DAP berketurunan India. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment