My Add

Wednesday, 1 May 2013

PRU-13: Jihad bagi rakyat Kelantan tolak Pas - Muhyiddin


 *SEBAHAGIAN penduduk Kuala Krai mengibarkan bendera dengan penuh semangat sebaik ketibaan Muhyiddin Yassin pada Majlis Perasmian Jambatan Baru Manek Urai, di Kuala Krai, Kelantan hari ini. - UTUSA
 *PARA penduduk kampung melalui jambatan baharu Manek Urai selepas ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Kuala Krai, Kelantan hari ini. - UTUSAN
KUALA KRAI, RABU, 01 Mei, 2013: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat Kelantan supaya berjihad dengan menolak Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana selama ini parti itu menyebabkan kemunduran kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan pimpinan Pas itu adalah kerajaan yang sangat lemah dan tidak berupaya sama sekali untuk membawa pembangunan di Kelantan walaupun telah diberi mandat memerintah sejak 23 tahun lalu.

"Inilah masanya untuk Barisan Nasional (BN) menang di Kelantan. Ini adalah perkara jihad yang perlu dilakukan oleh rakyat Kelantan demi menolak kemunduran dan segala kelemahan yang telah dilakukan.

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu jika rakyat sendiri terutama rakyat Kelantan tidak membuat perubahan itu," katanya pada majlis perasmian jambatan baharu Manek Urai di sini, hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan semua calon BN kawasan Parlimen Kuala Krai iaitu Tuan Aziz Tuan Mat (Parlimen Kuala Krai), Azizzuddin Hussein (DUN Mengkebang), Datuk Nik Sapeia Nik Yusof (DUN Guchil), Che Jalal Muda (DUN Manek Urai) dan Datuk Ramzi Abdul Rahman (DUN Dabong).

Lebih 7,000 penduduk hadir pada majlis perasmian jambatan baharu berharga RM17 juta itu.

Muhyiddin berkata jika BN menang pada PRU-13, Ahad ini, Mustapa adalah calon terbaik untuk dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu dan beliau mampu membawa Kelantan ke era yang lebih cemerlang.

"Saya berjanji akan berhubung dengan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) pada setiap minggu untuk bertanyakan khabar mengenai Kelantan. Kita akan tolong menyelesaikan segala masalah rakyat Kelantan.

"Ini bukan janji palsu dan ini janji yang akan kita buat kerana ini merupakan amanah kerana setiap apa yang akan kita buat nanti akan dipersoalkan oleh Allah SWT," katanya.

Beliau berkata rakyat Kelantan mempunyai masa beberapa hari lagi bagi membuat keputusan dan Ahad ini merupakan hari yang terbaik buat rakyat mengubah kerajaan Pas sedia ada itu.

"Kita mahu memilih kerajaan bagi tempoh lima tahun lagi dan percayalah hanya kerajaan BN yang mampu mengubah keadaan yang tidak mampu dilakukan oleh kerajaan Pas itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment