PRU13: Jumat tekad bangunkan Sepanggar secara holistik
Memperincikan wawasannya untuk Parlimen Sepanggar, Jumat berkata beliau mahu menumpukan usaha untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera tempatan dalam aktiviti perindustrian di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di Sepanggar, dekat sini.
"Saya juga mahu melihat pelaburan swasta yang bertambah dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada orang-orang kita, khususnya anak-anak muda Sepanggar," katanya kepada pemberita di sini.
Selain hab perindustrian KKIP, Jumat turut meletakkan harapan supaya Sepanggar terus memainkan peranan penting sebagai hab pendidikan Sabah.
Katanya, dua pusat pengajian tinggi awam termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kampus cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta beberapa institut kemahiran termasuk institut latihan perindustrian ada dalam kawasan Parlimen Sepanggar.
Jumat yang memberi penekanan kepada program turun padang dan mengetengahkan masalah rakyat untuk ditangani kerajaan juga berjanji untuk berusaha bagi memaksimumkan penggunaan tapak tanah kerajaan di kawasan Sepanggar, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai untuk projek perumahan rakyat.
"Dalam hal ini, saya akan cuba berbincang syarikat-syarikat perumahan milik kerajaan Persekutuan bagi melihat kesesuaian kawasan tanah terbabit dan seterusnya membina rumah yang diperlukan," katanya.
Bagi DUN Inanam yang juga terletak dalam kawasan Parlimen Sepanggar, Jumat meletakkan sasaran untuk memajukan lagi industri pelancongan dengan memperbanyakkan tarikan semula jadi menerusi Skim Inap Desa.
"Di samping terkenal dengan tarian tradisi Kadazandusun, banyak kawasan kampung di Inanam yang berpotensi untuk menyertai program inap desa," katanya.
Jumat juga bertekad untuk memperhebatkan lagi aktiviti pertanian, terutama penanaman nanas di kawasan bukit di DUN Inanam.
Pada pilihan raya kali ini, Jumat ditentang calon Parti Maju Sabah (SAPP) Chin Hon Kiong, Daniel John Jambun (STAR) dan Jeffrey Kumin (DAP).
Pada pilihan raya 2008, Datuk Eric Majimbun yang bertanding atas tiket BN pada ketika itu menang dengan majoriti 11,461 undi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment