My Add

Wednesday, 1 May 2013

PRU13: Satu projek Sentuhan Kasih bagi satu Wilayah Felda

JEMPOL, RABU, 01 Mei, 2013: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuah (Felda) telah meluluskan pembinaan projek perumahan Sentuhan Kasih di beberapa lokasi dan mensasarkan untuk membina satu projek bagi satu wilayah.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata ini bermakna Felda mempunyai sekurang-kurangnya 11 projek bagi 11 Wilayah Felda yang terdapat di seluruh negara.

"Sehingga kini, sebanyak tiga projek telah diusahakan iaitu di Felda Tenggaroh 3 (Wilayah Johor Baharu), Felda Chini Timur 2 (Wilayah Kuantan) dan Felda Tenang Besut (Wilayah Terengganu).

"Manakala projek terbaru ialah di Felda Palong 14 (Wilayah Raja Alias). Tiga lagi kawasan yang dalam perancangan untuk projek perumahan ini ialah di Felda Laka Selatan (Wilayah Alor Setar), Felda Kemahang (Wilayah Gua Musang) dan Felda Serting (Wilayah Raja Alias)," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran rumah contoh Sentuhan Kasih Felda Gugusan Palong di Palong 14 dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad.

Projek Sentuhan Kasih Felda ini merupakan inisiatif Felda untuk melaksanakan program perumahan moden dan selesa untuk generasi baharu Felda dan menyediakan pekerjaan tetap serta memberi pendapatan tambahan melalui projek pertanian bersepadu di samping infrastruktur yang selesa.

Projek ini mempunyai tiga kompenan utama iaitu perumahan selesa dengan reka bentuk moden, pekerjaan tetap melalui projek pertanian bersepadu dan pembangunan infrastruktur selesa seperti kemudahan dewan orang ramai, pusat pembelajaran dan pusat penjagaan kanak-kanak.

Projek Sentuhan Kasih Felda akan melibatkan 100 unit rumah bagi satu kawasan yang dibina secara pasang siap yang menggunakan teknologi IBS iaitu IRIS KOTO IBS Technology.

Setiap rumah yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air menerusi projek ini mempunyai keluasan lantai 1,000 kaki persegi dan dianggarkan berharga di antara RM75,000 hingga RM80,000 seunit.

Mohd Isa berkata, "Kita jangka dengan kawasan tanah yang telah dikenalpasti sebanyak 5,131 unit rumah akan dapat disiapkan menjelang awal tahun depan (2014). Ini melebihi daripada sasaran kita iaitu membina 4,000 unit rumah setiap tahun."

Katanya, selain projek Sentuhan Kasih, Felda juga akan membangunkan semula lot-lot rumah yang tertinggal (ditinggalkan) dengan membina banglo dan ditawarkan semula kepada peneroka Felda.

Katanya, Felda juga sedang mengkaji untuk membina rumah dalam bentuk apartmen berikutan sambutan dan permintaannya yang menggalakkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment