My Add

Thursday 27 February 2014

Bukti Penasihat PKR iktiraf SPR

 Hussein Ahmad

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Februari, 2014: Kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini membuktikan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan Ketua Pembangkang itu terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama ini tidak benar.

Perkara tersebut dinyatakan veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad yang menegaskan, tindakan Anwar itu sekali gus mengiktiraf dan meyakini peranan SPR sebagai sebuah badan bebas dan adil.

Malah jelasnya, jika Anwar berpegang pada prinsip dan penegasan bahawa SPR tidak bebas dan adil termasuk dakwaan wujudnya lebih 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi Barisan Nasional (BN), Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sudah pasti tidak akan bertanding dalam pilihan raya tersebut.

"Kalau beliau bertanding, ini membetulkan fitnah terhadap SPR yang dikatakan sebagai tidak betul, tak telus. Ini juga membuktikan beliau yakin dan mengesahkan SPR itu adil serta demokratik.

"Jadi, segala tuduhan selama ini tidak betul. Kalau kata SPR tak adil, sudah pasti beliau tidak akan bertanding," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hussein yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO berkata, sekiranya memenangi PRK itu, 'kemasukan' Anwar ke dalam DUN Selangor bakal mengancam kedudukan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Jika ini berlaku apa yang diperjuangkan Abdul Khalid selama ini untuk negeri dan parti akan menjadi sia-sia, ibarat 'habis madu, sepah dibuang'," jelasnya.

Atas dasar itu katanya, pengundi di Kajang perlu 'mengajar' Anwar dengan memberikan kemenangan kepada calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun yang memiliki pengalaman serta memahami nasib masyarakat.

Dalam perkembangan yang sama katanya, PRK itu juga memberi peluang kepada masyarakat Cina yang selama ini dikatakan memboikot BN untuk kembali ke pangkal jalan.

"Saya yakin perubahan akan berlaku iaitu BN kembali mendapat kepercayaan masyarakat Cina," katanya.

Sementara itu, beliau memberikan nasihat berikut kepada Anwar: "Kalau kalah, jangan hendak kata macam-macam, tuduh itu ini. Kalau kalah, terima kekalahan itu." - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment