My Add

Wednesday 26 February 2014

MCA bincang dengan PM sebelum sertai Kabinet

 Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Februari, 2014: MCA akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat berhubung penerimaan semula jawatan dalam Kabinet seperti yang diputuskan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu, kelmarin.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perbincangan itu akan menentukan siapa yang akan dilantik memegang jawatan Menteri Pengangkutan yang diperuntukkan kepada MCA serta kemungkinan jawatan-jawatan lain dalam Kabinet.

Tiong Lai bagaimanapun enggan mengulas sama ada beliau atau mana-mana pemimpin MCA lain akan dinamakan sebagai bakal Menteri Pengangkutan kerana perkara tersebut perlu dibincangkan dengan Perdana Menteri terlebih dahulu.

"Berhubung jawatan dalam Kabinet, saya tidak akan bincangkan dalam media. Saya perlu hormat Perdana Menteri.

"Apa pun, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudah mengaturkan jawatan Menteri Pengangkutan untuk MCA," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyerahkan kepada MCA untuk menentukan tempoh masa bagi menerima semula jawatan dalam Kabinet selepas EGM MCA meluluskan resolusi berhubung perkara itu.

Dalam perhimpunan agung 2011, MCA meluluskan resolusi untuk tidak menerima sebarang jawatan kerajaan jika gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Secara tradisinya, jawatan Menteri Pengangkutan, Menteri Kesihatan dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (kini dikenali Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) diperuntukkan kepada MCA. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment