My Add

Showing posts with label JUMAAT. Show all posts
Showing posts with label JUMAAT. Show all posts

Saturday, 26 May 2012

NUBE sambut baik nasihat TPM soal kerjasama pekerja, majikan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 25 Mei, 2012: Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) hari ini menyambut baik nasihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya pekerja dan majikan mempereratkan hubungan mereka demi kebaikan negara di masa depan. 

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon dalam satu kenyataan kepada Bernama, menyifatkan nasihat itu sebagai "bernas dan tepat pada masanya" kerana negara sedang bergerak pantas ke arah mencapai sasaran status negara maju menjelang 2020.

Beliau mengulas nasihat Muhyiddin itu kepada golongan pekerja dan majikan pada satu perhimpunan di Johor Selasa lepas.

Bagaimanapun, Solomon kesal kerana ada segelintir majikan dalam industri perbankan tidak percaya kepada prinsip asas itu, yang telah menimbulkan rasa kurang senang dan kecewa di kalangan pekerja terutama yang berpendapatan rendah. 

Katanya, terdapat sebuah bank yang mempunyai 68 kes yang difailkan terhadapnya yang masih tertunggak di Mahkamah Perusahaan dan 123 kes rasa tidak puas hati yang masih belum selesai dalam tempoh dua tahun lepas. 

Sebanyak 537 laporan polis turut dibuat terhadap bank yang sama oleh pekerjanya. 
Beliau berharap industri perbankan mendengar nasihat Timbalan Perdana Menteri itu dan menjalin hubungan baik dengan kesatuan demi kebaikan negara. - BERNAMA

Friday, 4 May 2012

Penumpang MAS ditahan bawa dadah

NEW DELHI, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Penumpang MAS yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur di tahan oleh pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di sini kerana didakwa memiliki 3.26 kilogram ketamine.

Barangan tersebut ditemui di dalam bahagian sebuah beg milik penumpang Mohideen Bhaseer ketika melalui pemeriksaan.

“Dalam pemeriksaan, 3.16 kilogram ketamin ditemui dalam uncang yang diletakkan di bahagian tersembunyi di bawah beg,’’kata pegawai kastam, Arun Kumar. - BERNAMA

Friday, 30 December 2011

Ibu dalam pantang trauma

MUNIRAH Rosli bersama bayinya berusia 26 hari, ketika menceritakan pengalamannya meredah banjir di Kampung Beradek, Pulau Semilang, Kuching, semalam.


Oleh ZAAIN ZIN

KUCHING, JUMAAT, 30  Disember, 2011: Seorang ibu yang masih dalam pantang trauma mengenangkan pengalaman meredah banjir dan hujan lebat sambil membawa bayi lelakinya ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek, Pulau Semilang di sini Isnin lalu.

Perasaannya semakin gundah apabila terpaksa tinggal selama empat hari di pusat pemindahan itu dan berdepan dengan suasana riuh-rendah sehingga bayinya jatuh sakit serta kerap menangis kerana tidak dapat tidur.

Munirah Rosli, 25, berkata, ketika kejadian itu, dia hanya sempat mencapai beberapa barang keperluan untuk bayinya yang baru berusia 26 hari memandangkan hujan lebat serta angin kencang menyebabkan kawasan rumahnya dinaiki air dengan cepat.

Katanya, dia yang masih lemah menggagahkan diri meredah air banjir kerana bimbang keselamatan anak sebelum dibantu pasukan keselamatan yang datang dengan sebuah bot.

"Sebaik sahaja ditempatkan di pusat pemindahan, masalah lain pula berlaku iaitu anak saya kerap menangis tidak dapat tidur kerana tempat itu padat dan riuh-rendah.

"Saya serik berhadapan dengan keadaan ini dan kalau boleh tidak mahu ia berulang lagi," katanya yang baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah yang terletak di Kampung Beradek di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan banjir di kawasan itu beransur pulih membolehkan kesemua 463 penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Dengan cuti sekolah berbaki empat hari lagi, penduduk mengambil kesempatan membersihkan rumah masing-masing yang dipenuhi lumpur serta sampah-sarap.

Ketua Kaum Kampung Beradek, Bolhasan Ibrahim berkata, penduduk kampung sudah lali dengan rutin sebegitu kerana rumah mereka pasti dilanda banjir sekurang-kurangnya dua kali setahun.

"Cuma sejak benteng pencegah banjir yang dibina di Tanjung Embang pecah dua tahun lalu, kejadian banjir yang melanda kampung kami agak luar biasa," katanya,

Sementara itu seorang suri rumah, Misiah Bujang, 54, berkata, air berlumpur memenuhi rumahnya setelah empat hari kawasan kampung mereka dilanda banjir.

Bagaimanapun katanya, persediaan yang rapi membolehkan dia sekeluarga sempat menyelamatkan barang-barang penting dengan memindahkannya ke tempat lebih tinggi.

"Saya hanya membersihkan rumah ala kadar kerana risau banjir berulang pada bila-bila masa memandangkan keadaan cuaca masih tidak menentu," katanya. - UM

Friday, 25 November 2011

Raja Permaisuri Agong hadiri majlis seribu kenangan BAKTI


RAJA Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah diiringi isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor ketika tiba pada Majlis Seribu Kenangan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, JUMAAT, 25 November, 2011: RAJA Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, hari ini berkenan menghadiri Majlis Seribu Kenangan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) di Seri Perdana di sini. 

Turut hadir pada majlis itu, isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua BAKTI, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dalam ucapannya, Rosmah berkata majlis itu bertujuan untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Permaisuri Agong serta merakamkan suatu memori yang pastinya akan terpahat di dalam lipatan nostalgia baginda Tuanku Permaisuri dan BAKTI.

"Adalah sesungguhnya, segala jasa bakti dan murni yang dicurahkan Tuanku Permaisuri sudah tentunya menjadi tinta emas dalam lipatan sejarah negara. Tiada kata yang dapat diungkapkan bagi menzahirkan rasa penghargaan dan menjunjung kasih kami," katanya. 

Selain itu, Rosmah berkata Tuanku Permaisuri juga menunjukkan minat mendalam terhadap pembangunan wanita dan keluarga serta aktiviti yang mampu meningkatkan taraf kehidupan golongan itu. 

"Dorongan dan perangsang yang dihulurkan oleh Tuanku Permaisuri kepada wanita, berjaya menguatkan azam mereka untuk membela kaum sendiri," katanya. 

Rosmah berkata, kehidupan di istana langsung tidak membataskan pergerakan Tuanku Permasuri untuk terus bertemu dengan rakyat jelata menerusi aktiviti amal. 
"Tuanku Permaisuri banyak kali mencemar duli berangkat menghadiri upacara bersama rakyat jelata," katanya. 

BAKTI juga, katanya, menzahirkan rasa penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong kerana berjaya melaksanakan tugas dengan sempurna dan berkesan sekali. - BERNAMA