My Add

Showing posts with label semalam. Show all posts
Showing posts with label semalam. Show all posts

Sunday, 29 January 2012

Peranan, imej Rela ditransformasi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (terlindung dalam gambar) disambut anggota-anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) pada majlis Perhimpunan Perdana Rela Bersama Perdana Menteri sempena Ulang Tahun ke-40 Rela di Serdang, semalam.– BERNAMA

KUALA LUMPU, AHAD, 29 Januari, 2012: Kerajaan bercadang mentransformasikan peranan serta imej pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bagi membolehkan pasukan itu muncul sebagai organisasi tersusun, berintegriti serta ‘berwajah’ 1Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk itu satu akta sedang digubal dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi bagi memperincikan transformasi berkenaan.

Menurut beliau, antara lain akta berkenaan akan menyaksikan peranan Rela yang kini dianggotai kira-kira tiga juta ahli diperluaskan dan tidak lagi sekadar dipandang sebagai ‘pelakon tambahan’ dalam mempertahankan keamanan serta kesejahteraan negara.

“Menerusi transformasi itu juga, kita mahu Rela terus menjadi ‘alat’ kejayaan kepada program-program transformasi kerajaan dan negara serta bersama-sama kerajaan dalam mempertahankan agenda negara. Ancaman baru boleh timbul bila-bila masa termasuk secara halus yang boleh menggugat kepentingan negara.

“Mungkin ancaman baru itu berbentuk jenayah, fahaman ekstrem, ancaman pemerdagangan orang atau pengedaran dadah. Untuk itu, kita mahu Rela bersama-sama pasukan keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keamanan.

“Jika ada ancaman jenayah atau masalah berkaitan perpaduan, Rela harus ada (bersama-sama pasukan lain) di situ. Rela perlu dekat dengan rakyat. Kita tidak mahu Rela sekadar ‘wujud’ di majlis-majlis tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-40 Rela di Serdang, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim.

Najib berkata, selain peranan, transformasi Rela juga akan memperkemas struktur organisasinya serta memperlihatkan imej yang baru.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa anggota Rela untuk terus berada di belakang kerajaan dalam mempertahan keamanan negara dan tidak membiarkan pihak-pihak tertentu bertindak mencalar imej negara.

“Kita nak keamanan terus terpelihara. Jika ada yang tidak berpuas hati, kita sudah luluskan Akta Perhimpunan Aman 2011. Tetapi, jangan sesekali timbulkan huru hara kerana tiga juta ahli Rela tidak rela negara berada dalam keadaan kucar kacir,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, beliau mengumumkan kenaikan elaun bertugas anggota Rela sebanyak RM2 sejam.

Ketika ini anggota biasa Rela dibayar elaun bertugas sebanyak RM4 sejam manakala Ketua Platun, RM5.80 sejam. - UTUSAN


Thursday, 15 December 2011

Melayu digesa beli hartanah

SHAH ALAM, KHAMIS. 15 Disember, 2011:
MASYARAKAT Melayu Islam digalakkan membeli hartanah komersial sebagai satu bentuk pelaburan yang mampu memberi pulangan pada masa hadapan.

Pengasas Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd., Rohani Mohd. Shahir (gambar) berkata, berdasarkan statistik hanya lapan peratus daripada jumlah keseluruhan hartanah komersial di negara ini dimiliki oleh orang Melayu sedangkan ia merupakan salah satu bentuk pelaburan yang menjamin pulangan menguntungkan.

“Mereka digalak membeli sebuah rumah kedai kerana ia boleh disewakan kepada mana-mana syarikat dan pulangannya juga kebiasaannya agak lumayan bergantung kepada lokasinya.

“Namun, sesuatu yang amat menyedihkan kerana hari ini terlalu sedikit orang Melayu mempunyai hartanah komersial berbanding kaum lain dan ini akhirnya akan merugikan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pengurusan Kewangan Dari Perspektif Syariah’ pada Seminar Jihad Bisnes anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) di Pusat Islam UiTM di sini semalam, lapor MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

Rohani juga mengingatkan masyarakat Melayu supaya mengelak amalan berhutang dengan mana-mana institusi kewangan sekiranya tiada keperluan kerana ia dibimbangi akan menjerat diri sendiri apabila perlu membayar kadar faedah yang tinggi.

Ini kerana katanya, statistik pada akhir Ogos tahun lalu menunjukkan jumlah keseluruhan hutang isi rumah adalah mencecah RM560.1 bilion dan angka itu amat membimbangkan serta perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat Islam. - UM

Monday, 12 December 2011

Najib tinjau Iskandar Malaysia dari helikopter

NUSAJAYA. ISNIN, 12 Disember, 2011:PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan sendiri keseluruhan pembangunan sekitar Iskandar Malaysia dalam lawatan menggunakan helikopter selama 30 minit di sini,  semalam.

Lawatan melalui ke lima kawasan Iskandar Malaysia itu turut melibatkan sesi berlegar meninjau beberapa lokasi utama yang menempatkan projek pembangunan penting seperti lebuh raya pinggir pantai, Perumahan Rakyat Iskandar Malaysia, Taman Perindustrian Bio-Xcell dan EduCity.

Antara yang diberi perhatian dalam tinjauan udara yang disertai Menteri Besar, Abdul Ghani Othman itu adalah Kampung Pendas Laut dan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta kemajuan dan siapnya beberapa projek infrastruktur penting di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) dan RMK-10.

"Saya berpuas hati dengan keseluruhan pembangunan Iskandar Malaysia dan yakin tipping point2012 akan menyaksikan sesuatu yang menarik.

"Saya berharap lebih banyak penyertaan dari pelabur tempatan dan asing serta menyeru semua bakal pelabur berpotensi mengambil peluang ini untuk melabur di Iskandar Malaysia," katanya yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Terdahulu, Najib turut menyempurnakan perasmian Johor Premium Outlets (JPO) di Kulaijaya.

Sementara itu, Abdul Ghani yang juga Pengerusi Bersama IRDA menyuarakan keyakinan bahawa Iskandar Malaysia akan memberi impak langsung kepada ekonomi negeri melalui peluang pekerjaan dan perniagaan yang pada masa sama mewujudkan kualiti hidup lebih baik sekali gus meningkatkan rangkaian nilai. - UM

Thursday, 1 December 2011

Permaisuri Agong berangkat ke Majlis Jamuan Teh Perkep

TUANKU Nur Zahirah bersalaman dengan ahli Persatuan Kebajikan Keluarga Polis ketika berangkat ke Majlis Menjunjung Kasih anjuran persatuan itu di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Disember, 2011:
RAJA Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berangkat ke majlis jamuan teh sempena Majlis Menjunjung Kasih anjuran Persatuan Kebajikan Isteri Polis (Perkep) di Pusat Latihan Polis di sini, semalam.

Ketibaan Seri Paduka disambut, antara lain, isteri Menteri Dalam Negeri, Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah dan isteri Ketua Polis Negara merangkap Pengerusi Perkep, Puan Sri Suriati Md Sobri.

Suriati berkata, keberangkatan Tuanku Nur Zahirah ke majlis itu menyerlahkan perasaan kasih sayang dan tanggungjawab Seri Paduka terhadap golongan isteri dan keluarga warga polis.

“Bukan dalam kalangan rakyat sahaja Tuanku Nur Zahirah dihormati, malah Tuanku turut disenangi oleh warga Perkep sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Ia diadakan sempena tamat tempoh perkhidmatan Tuanku Nur Zahirah sebagai Raja Permaisuri Agong bulan depan.

Hadirin dihiburkan dengan persembahan pancaragam dan sekumpulan penyanyi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). – BERNAMA

Saturday, 22 October 2011

Bina kekuatan ekonomi ASEAN

 

NAJIB Tun Razak (tengah) bersama Perdana Menteri China Wen Jiabao (lima kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian China-Malaysia Qinzhou Industrial Park diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan Menteri Perdagangan China, Chen Deming (kanan) di Li Yuan Resort, Nanning, China, semalam. – BERNAMA


Utusan Malaysia

SABTU, 22 Oktober, 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengajak negara-negara rantau ini terutama ASEAN agar tidak lagi terlalu hanya melihat kepada Eropah dan Amerika Syarikat sebagai sumber perdagangan utama.


Sebaliknya, beliau menyarankan agar negara ASEAN terutamanya bergerak membina kekuatan dalam rantau itu sendiri sebagai sebahagian daripada cara menangani kemelut ekonomi global masa kini.


‘‘Kita perlu maklum mengenai cabaran ekonomi yang dihadapi oleh Eropah dan Amerika Syarikat ketika ini dan kita di rantau ini sedang menghadapi kesan daripadanya.


‘‘Eksport kita dijangka suram untuk tempoh mendatang. Jadi sebagai usaha menanganinya, kita perlu mencari sumber-sumber alternatif lain bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kita sendiri.


‘‘Jika kita sukar untuk meningkatkan lagi perdagangan dengan Barat ketika ini, kita sepatutnya mempertingkatkan perdagangan dan perniagaan antara sesama sendiri di rantau ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Ekspo China-ASEAN 2011 kelapan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao di Pusat Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC), semalam.


Turut menyertai Perdana Menteri lebih 100 syarikat dari Malaysia bagi meneruskan hubungan dagang sedia ada selain meneroka peluang-peluang baharu dengan China. 


Pada persidangan kali ini, Malaysia dipilih sebagai negara yang diberi penghormatan untuk mewakili ASEAN pada ekspo tahunan itu.


Nanning dalam wilayah Guangxi yang berkepadatan lebih 40 juta orang telah dipilih sebagai lokasi tetap ekspo kerana kedudukannya yang hampir dengan negara ASEAN.


Ia bagi memudahkan negara ASEAN meneroka peluang-peluang perniagaan dan perdagangan dengan wilayah-wilayah lain dalam negara China.


Menurut Perdana Menteri, di sebalik masalah ekonomi yang dihadapi oleh Barat ketika ini, perdagangan antara China dan ASEAN telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan berbanding 20 tahun lalu dengan nilai AS$8 bilion pada 1991 telah melonjak kepada AS$231.2 bilion tahun lepas.


Katanya, pada ketika ini nilai dagangan China dan negara ASEAN mencatatkan angka 11 peratus menjadikan negara itu rakan dagang terbesar ASEAN.


‘‘Bagaimanapun, masih ada ruang lagi untuk meningkatkan nilai dagangan rantau ini dengan China ketika ini dan pada masa akan datang. Justeru saya mengalu-alukan sasaran China untuk meningkatkan nilai dagang dua hala kepada AS$500 bilion menjelang 2015.


Najib bagaimanapun tidak menolak bahawa bukan mudah untuk mencapai sasaran tersebut melainkan melalui kerjasama yang berkesan dan kerja kuat antara rantau ini dengan China terutama dalam memenuhi kehendak pasaran dan perkhidmatan.


Mengenai ekspo kali ini yang bertemakan Kerjasama Melindungi Alam Sekitar, Perdana Menteri menegaskan pentingnya mempromosikan penggunaan teknologi yang lebih bersih dan mengurangkan pencemaran dalam membangunkan ekonomi.


‘‘Ini selaras dengan persetujuan yang dicapai pada Mesyuarat ASEAN-China ke-11 pada 2007 dengan pemuliharaan alam sekitar antara senarai penting di sebalik kerjasama yang dijalinkan.


‘‘Antaranya melalui persetujuan pelaksanaan pelan hijau ASEAN-China yang menekankan kepentingan teknologi mesra alam dan pelabelan produk mesra alam,” ujarnya.


Begitupun, bukan mudah memenuhi misi tersebut melainkan melalui kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat dunia selain mempromosikan pendidikan serta penggunaan teknologi mesra alam.


Hanya dengan cara ini sahajalah, tambahnya lagi, dunia dapat menjamin generasi kini dan akan datang menikmati sumber makanan dan minuman yang selamat.


Sementara itu, selain memenuhi program yang padat sepanjang hari ini bersama Jiabao, Najib juga menyaksikan acara menandatangani perjanjian antara syarikat-syarikat Malaysia dan China bagi melaksanakan pelbagai projek kerjasama bernilai beberapa bilion ringgit Malaysia.


Antaranya membabitkan projek kerjasama pertukaran perjanjian perkhidmatan kitar semula buangan pepejal, projek menaik taraf Lapangan Terbang Lingling, Yongzhou, pembangunan kawasan perdagangan bebas hijau Yongzhou-ASEAN-Malaysia Eco-City, projek tenaga angin dan solar, pembelian 200 unit bas untuk Perak Transit dan kerjasama R&D/komponen membabitkan Proton dan Hawtai Motor Group. 

Tuesday, 18 October 2011

Kalau saya kurang ajar, Dr Mahathir itu apa?


Dr. Aziz Bari

Utusan Malaysia
SELASA, 18 Oktober, 2011; Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melabelkannya sebagai kurang ajar kerana mempertikai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Abdul Aziz secara sinis membuka kembali sejarah pentadbiran Dr. Mahathir pada 1983 dan 1993 yang mengubah undang-undang negara terutama berkaitan hal-ehwal raja-raja Melayu melalui Parlimen dan akhirnya berjaya mengehadkan kuasa serta kekebalan institusi tersebut.

"Komen serta kenyataan saya juga masih dalam rangka undang-undang namun saya tidak pernah berceramah seperti beliau (Dr. Mahathir) ke seluruh negara sewaktu cuba mengubah rang undang-undang tersebut.

"Jadi, kalau komen saya yang lembut itu disifatkan kurang ajar, Dr. Mahathir itu apa," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam .

Semalam, Dr. Mahathir berkata, walaupun komen Abdul Aziz mengenai titah Sultan Selangor baru-baru ini mungkin tidak menyalahi undang-undang, namun tindakannya yang enggan meminta maaf atas kesilapan itu jelas bertentangan dengan prinsip moral.

Mengulas lanjut, kata Abdul Aziz, beliau tidak mahu kenyataan itu disalah tafsir sebagai perbuatan tidak menghormati raja tetapi ia dibuat atas dasar ilmiah dan keikhlasan sebagai ahli akademik.

Katanya, beliau juga bukan seorang ahli politik dan tidak mahu terus terpalit dengan kenyataan di media sama ada oleh beliau sendiri mahupun ahli politik lain.

"Adakah itu kurang ajar? Ternyata standard mengenai budaya dan moraliti (ahli politik dan akademik) berbeza," ujarnya.