My Add

Saturday, 2 November 2013

Dua tokoh veteran UMNO Kelantan meninggal dunia

 *AHLI Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyiram air mawar di pusara bapanya, Datuk Yaakub Muhamad, 72, di Tanah Perkuburan Batu 25, Machang, Kelantan. - UTUSAN
KOTA BHARU, JUMAAT, 01 November, 2013: Dua tokoh veteran UMNO Kelantan meninggal dunia petang semalam dan tengah malam tadi.

Mereka ialah Datuk Mohamed Idris, 84, iaitu bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dan Datuk Yaakub Muhamad, 72, yang juga bapa kepada Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mohamed meninggal dunia di rumahnya di Jalan Che Yem, Pasir Puteh akibat sakit tua kira-kira pukul 6.45 petang semalam.

Manakala Yaakub yang juga ahli perniagaan terkenal di negeri ini menghembus nafas terakhir di kediamannya di Labok, Machang kira-kira pukul 12.18 tengah malam tadi selepas serangan strok kali kedua pada Hari Raya Aidiladha lalu. - UTUSAN ONLINE 

Friday, 1 November 2013

WIEF jadi jenama global - PM

Oleh Azman Bakar

 * NAJIB Tun Razak menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Asset Issekeshev (kanan) di hotel penginapannya di London, semalam. Turut kelihatan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed (kiri). - BERNAMA
LONDON, KHAMIS, 31 Oktober, 2013: Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang diasaskan oleh Malaysia pada 2005 kini telah menjadi satu jenama global yang berjaya menarik penyertaan bukan sahaja negara Islam, tetapi juga bukan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam tempoh sembilan tahun dianjurkan WIEF telah berkembang dan mencapai kejayaan di luar jangkaan

Katanya, ini berdasarkan kepada WIEF Ke-9 yang berakhir di sini semalam yang berjaya menarik kehadiran 18 ketua kerajaan dan negara serta timbalan mereka di samping 50 menteri kerajaan dan 2,700 peserta dari 128 negara.

"Dengan penyertaan begini besar pada peringkat tertinggi seperti ini, imej WIEF telah mencapai satu peringkat kejayaan di mana ia telah menjadi satu jenama yang unggul.

"Dengan penerimaan WIEF sebagai jenama peringkat global saya percaya masa depan WIEF adalah cerah," kata dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di hotel penginapannya di sini hari ini.

Najib kini sedang dalam lawatan kerja lima hari ke United Kingdom bagi menghadiri WIEF yang pertama kali diadakan di luar negara Islam.

WIEF adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi pentas kepada anggota Pertubuhan Negara Islam (OIC) berinteraksi dalam sektor ekonomi.

Antara ketua kerajaan dan negara yang hadir pada WIEF Ke-9 ialah Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Afghanistan, Hamid Karzai; Raja Abdullah II dari Jordan; Perdana Menteri Bermuda, Craig Cannonier; Perdana Menteri Pakistan, Nawar Sharif dan Presiden Kosovo, Atifete Jahjaga.

Kata Najib, penyertaan besar pada WIEF Ke-9 itu bukan hanya kerana ia diadakan di London yang merupakan pusat kewangan dunia, tetapi kerana tarikan tersendiri yang terdapat pada forum itu yang kini sudah kukuh dan semakin di iktiraf.

Malah beliau percaya apabila WIEF diadakan di Dubai tahun depan, ia akan tetap menarik penyertaan yang besar kerana Dubai merupakan pusat kewangan dengan tarikan tersendiri.

Lagi pula kata Najib, WIEF telah menjadi forum untuk memupuk kerjasama ekonomi dan pelaburan bukan sahaja dalam kalangan negara Islam, tetapi juga bukan Islam.

"Lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri Britain, David Cameron turut mengumumkan penglibatan negara itu dalam sistem kewangan Islam dengan memperkenalkan sukuk mereka yang pertama yang bernilai lebih RM1 bilion," katanya.

Katanya, ini melambangkan penerimaan instrumen kewangan berasaskan Islam yang selari dengan prinsip-prinsip syariah yang beri kebaikan bukan sahaja kepada dunia Islam tetapi juga bukan Islam.

"Ini juga menunjukkan model Islam yang memberi penekanan kepada keadilan sosial semakin diterima dunia barat," katanya.

Sempena forum itu juga kata Perdana Menteri, 10 perjanjian telah ditandatangani yang membabitkan syarikat-syarikat Malaysia. - UTUSAN 
Saintis Australia terima Anugerah Sains Mahathir 2013

Oleh AZRUL NAIMI
 * AHMAD Sarji Abdul Hamid mengumumkan pemenang Anugerah Sains Mahathir 2013 pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini. Profesor Alan Cowman dari Institut Penyelidikan Perubatan Walter dan Eliza Hall Australia dipilih sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir bagi mengiktiraf hasil penyelidikannya mengenai malaria. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Oktober, 2013: Yayasan Sains Mahathir telah memilih seorang ahli genetik dari Australia sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir bagi tahun ini.
Profesor Alan Cowman dari Institut Penyelidikan Perubatan Walter dan Eliza Hall dipilih berdasarkan penyelidikannya dalam perubatan penyakit malaria.

"Panel pemilihan yang bersidang telah memilih Profesor Cowman atas sumbangan beliau dalam usaha untuk menghapuskan penyakit yang setakat ini telah membunuh jutaan manusia di benua Afrika dan Asia," kata Pengerusi Yayasan Sains Mahathir, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Pemenang anugerah ini dipilih oleh satu panel bebas yang terdiri daripada para ilmuwan termasuk pemenang Hadiah Nobel dan saintis terkenal dunia.

Menurut Ahmad Sarji lagi, pada tahun ini yayasan tersebut telah menerima sebanyak 29 pencalonan daripada 11 buah negara antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Sri Lanka dan Mesir.

"Pencalonan terbanyak daripada Malaysia dengan 12 penyertaan", katanya.

Anugerah Sains Mahathir merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada ilmuwan yang cemerlang dalam penyelidikan sains tropika dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat di negara beriklim tropika secara khusus dan dunia secara amnya. - UTUSAN ONLINE