My Add

Wednesday, 30 April 2014

Penjenamaan semula PMB galakkan aktiviti perniagaan

PUTRAJAYA, SELASA, 29 April, 2014: Penjenamaan semula identiti korporat Pelaburan Mara Bhd. (PMB) merupakan strategi untuk menggalakkan aktiviti perniagaan syarikat di samping memaksimumkan kecekapan rangkaian pemasaran.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penjenamaan semula identiti pada hari ini merupakan usaha berterusan PMB untuk memantapkan jenama korporat dan jenama produk sebagai antara yang terbaik di negara ini.

Pada masa sama, kata beliau, penjenamaan semula identiti itu juga merupakan salah satu daripada usaha transformasi yang dilakukan kementerian agar PMB terus progresif dan dikenali.

“Selain daripada menjenamakan semula identiti korporat PMB secara keseluruhan, kita juga turut memperkenalkan identiti serta logo korporat untuk subsidiari milik penuh PMB yang lain iaitu PMB Investment Bhd., PMB Tijari Bhd., PMB Consulting Sdn. Bhd., dan PMB Assets Sdn. Bhd.

“Perancangan PMB untuk melebarkan kegiatan perniagaannya dalam pelaburan dan pengurusan dana adalah satu langkah positif kerana akan menambah lagi jumlah syarikat milikan kerajaan yang mencapai kejayaan kukuh di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penjenamaan semula identiti korporat PMB dan pelancaran PMB Tijari Berhad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekali gus turut melancarkan PMB Tijari Bhd.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad, Pengerusi PMB, Datuk Sohaimi Shahadan dan Ketua Eksekutif Kumpulan PMB, Nazim Rahman.

Menurut Mohd. Shafie, PMB yang bakal berusia 47 tahun pada Jun ini telah merangka pelbagai agenda untuk mencapai sasaran optimum dalam tiga kegiatan utama iaitu pelaburan dalam pelbagai kelas aset, perkhidmatan kewangan dan juga pengurusan dana.

“Pada hari bersejarah ini, kita juga akan melihat penampilan logo baharu yang lebih segar bagi memaparkan bahawa PMB dan anak-anak syarikatnya terus mengorak langkah secara strategik untuk mempelbagaikan jaluran perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

“Daripada sebuah syarikat yang hanya melibatkan diri dalam pengurusan saham dan pengurusan dana, PMB kini menyusun strategi melebarkan sayap untuk menjadi konglomerat kewangan dan pelaburan berjaya di peringkat tempatan dan serantau," katanya.

Selain itu katanya, antara kejayaan terdahulu yang telah dicapai oleh PMB adalah melalui PMB Shariah Aggressive Fund yang memenangi anugerah di Edge Lipper Malaysia Fund 2014 bagi kategori dana ekuiti patuh syariah terbaik di Malaysia untuk tempoh tiga tahun.

“Bagi tempoh tiga tahun berakhir 31 Disember 2013, PMB Shariah Aggressive Fund mencatat jumlah pulangan sebanyak 62.7 peratus, dana ini mencatat pulangan 98 peratus untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada tarikh yang sama.

“Sebuah lagi dana yang cemerlang ialah PMB Shariah Growth Fund yang mencatat jumlah pulangan sebanyak 53 peratus bagi tempoh tiga tahun dan 128.1 peratus bagi tempoh lima tahun berakhir pada tarikh yang sama," katanya.

Selain kejayaan itu katanya, PMB sendiri telah menjana pulangan atas ekuiti sehingga 13.5 peratus lebih daripada pulangan yang dijana oleh syarikat pelaburan kerajaan yang lain.

“Ini membuktikan kemampuan PMB yang berpengalaman lebih daripada empat dekad dalam pengurusan saham amanah dan pelaburan berupaya memberi pulangan yang lumayan kepada pelaburnya.

“Bagi pihak kementerian, kami bangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh PMB dan akan menyokong usaha mereka dalam menyusun strategi bagi mengukuhkan kedudukan sebagai konglomerat yang disegani," katanya. - UTUSAN
PMB urus dana pendidikan RM1 bilion

PUTRAJAYA, SELASA, 29 April, 2014: Pelaburan Mara Berhad (PMB) telah diberi kepercayaan untuk menguruskan Dana Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bernilai RM1 bilion yang bertujuan membiayai usaha mengupayakan modal insan bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM500 juta secara berperingkat dalam bentuk dana sepadan (matching fund) mengikut nisbah 1:1 di mana Mara juga akan menyediakan RM500 juta.

“Dana ini digunakan untuk membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi untuk mengupayakan modal insan bumiputera," katanya ketika berucap dalam majlis penjenamaan semula PMB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Pengerusi PMB, Datuk Sohaimi Shahadan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMB, Nazim Rahman.

Selari dengan penjenamaan semula tersebut, empat logo baharu untuk anak syarikat PMB iaitu PMB Investment Berhad, PMB Tijari Berhad, PMB Consulting Sendirian Berhad dan PMB Assets Sendirian Berhad turut dilancarkan.

Muhyiddin berkata, PMB atau nama terdahulunya Amanah Saham Mara Berhad ditubuhkan pada 1967 hasil daripada satu resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera.

“Kini dalam kerangka negara maju yang disasarkan menjelang 2020, kerajaan akan terus memastikan nasib semua golongan termasuk kaum bumiputera terbela," katanya.

Beliau berkata, negara akan menjadi kuat dan dipandang tinggi jika rakyatnya bersatu, maju dan makmur.

“Kerajaan akan terus istiqamah dalam melaksanakan strategi pembangunannya dengan memartabatkan Islam secara terancang dan menyeluruh di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Nazim berkata, dana pendidikan bernilai RM1 bilion yang diumumkan Muhyiddin akan disalurkan secara berperingkat selama tiga tahun.

Beliau berkata, kerajaan dan Mara masing-masing akan menyalurkan RM200 juta pada tahun ini dan diikuti RM150 juta setahun untuk dua tahun berikutnya.

“Ada beberapa bidang yang diberi tumpuan dan ia adalah lain daripada program tajaan yang biasa dilakukan Mara," katanya. - UTUSAN
Hari bersejarah PMB - Sohaimi

PUTRAJAYA, SELASA, 29 April, 2014: Penjenamaan semula Pelaburan Mara Bhd. (PMB) memberi nafas baharu kepada tiga kegiatan utama PMB iaitu pelaburan portfolio dan aset, perkhidmatan kewangan Islam dan khidmat nasihat korporat.

Pengerusi PMB, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, penjenamaan semula itu merangkumi pengenalan identiti korporat baharu PMB termasuk logo empat anak syarikat iaitu PMB Investment Bhd., PMB Tijari Bhd., PMB Consulting Sdn. Bhd., dan PMB Assets Sdn. Bhd.

Menurutnya, penjenamaan semula identiti korporat PMB ada­lah merupakan strategi untuk menggalakkan aktiviti perniagaan syarikat di samping me­maksimum­kan kecekapan rangkaian pemasaran di kesemua anak syarikat.

“Hari ini adalah hari yang bersejarah buat PMB kerana kami telah melaksanakan penjenamaan semula identiti korporat selain turut melancarkan penubuhan anak syarikat baharu iaitu PMB Tijari Bhd.

“Penjenamaan semula identiti korporat dan penubuhan PMB Tijari Bhd. pada hari ini merupakan usaha berterusan PMB untuk memantapkan jenama korporat dan jenama produk sebagai antara yang terbaik di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian penjenamaan semula identiti korporat PMB dan pelancaran PMB Tijari Bhd. di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang sekaligus turut melancarkan PMB Tijari Bhd.

Yang hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad dan Ketua Eksekutif Kumpulan PMB, Nazim Rahman.

Pada majlis tersebut PMB yang diwakili oleh Nazim juga telah menandatangani perjanjian pemegang saham PMB Tijari Bhd. dengan Ketua Wilayah Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD), Ahmed Abdul Khalid.

Menurut Sohaimi, perjanjian yang ditandatangani itu menggariskan persetujuan di antara pemegang saham bagi pembentukan PMB Tijari Bhd., yang menumpukan kegiatan dalam perkhidmatan kewangan Islam yang mensasarkan sektor komersial.

“Dengan suntikan modal RM100 juta, PMB Tijari Bhd. akan menawarkan pembiayaan kewangan dengan menyasarkan sektor komersial. Penubuhannya adalah sebahagian agenda transformasi PMB untuk meningkatkan peranannya sebagai institusi pelaburan dan pengurusan dana serta perkhidmatan kewangan berwibawa.

“PMB Tijari Bhd. juga akan menawarkan perkhidmatan kewangan berunsur syariah sama ada di pasaran domestik dan global bagi memenuhi keperluan dan objektif kewangan pelanggan, PMB Tijari Bhd. turut menguruskan kegiatan pembiayaan kewangan PMB," katanya.

Dalam pada itu, Sohaimi turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang sentiasa membantu pembangunan PMB. - UTUSAN