My Add

Monday 26 September 2011

Pas akui negara perlukan akta khas





PAS akui negara memang memerlukan satu undang-undang khusus untuk menjaga keselamatan negara daripada pelbagai elemen subversif dan jenayah terancang namun ia harus tidak meninggalkan hak-hak asas individu.

Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berkata, apa yang dimahukan oleh rakyat pada dua undang-undang baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah menghormati hak asasi individu seperti akses kepada peguam dan ada perbicaraan serta ditahan atas arahan mahkamah.

Menurutnya, walau bagaimanapun, bagi individu yang memang diketahui terlibat dengan pengganas dan mempunyai niat untuk merosakkan negara, maka undang-undang keras perlu dikenakan
                                       ke atas individu tersebut.
“Pada umumnya, saya menyokong pemansuhan ISA tetapi dengan syarat mahu melihat dahulu apakah akta baru yang menggantikannya.

Akta untuk menjaga keselamatan negara amat perlu tapi bukan tahan tanpa bicara. Jika terbukti seseorang itu memang ada niat untuk merosakkan negara maka undang-undang keras perlu dikenakan, untuk perbezaan ideologi politik tidak boleh gunakan ISA,” katanya kepada Sinar Harian.


Selain itu, beliau turut menegaskan Pas tidak mahu akta menggantikan ISA mirip kepada Akta Patriot di Amerika Syarikat kerana mendakwa undang-undang tersebut lebih keras berbanding ISA.

”Kami bimbang jika akta baru ini nanti seperti Akta Patriot yang begitu keras sekali kerana sesiapa sahaja boleh dituduh pengganas dan diletakkan di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo di mana pusat ini berada di luar Amerika serta tidak tertakluk di bawah undang-undang sivil negara tersebut.

“Jika benarlah dakwaan tersebut, maka PR akan menentang perlaksanaannya. Apa pun, kami mesti tunggu dan lihat dahulu,” katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya sendiri yang pernah ditahan di bawah ISA sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1984 dan 1986, beliau berkata ISA sedia ada adalah undang-undang lapuk kerana dahulu musuh yang wujud di negara ini amat jelas tetapi senario hari ini sebaliknya.
“Undang-undang baru itu haruslah mempunyai ciri-ciri tidak boleh disalahgunakan demi kepentingan pihak tertentu kerana ia untuk menjaga rakyat dan negara, bukan menjaga individu,” katanya.

No comments:

Post a Comment