My Add

Friday 30 November 2012

PM sedia pimpin negara pada era seterusnya

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 November  2012:- Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan tahap kesediaan maksimum untuk memimpin negara pada era seterusnya selepas pilihan raya umum akan datang.

Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ucapan dasar presiden yang disifatkan terbaik dan ibu segala ucapan itu memberi mesej paling bererti kepada seluruh ahli UMNO dan rakyat bahawa Barisan Nasional wajar dipilih semula demi membawa negara ke era pembangunan kecemerlangan.

Jelas beliau, Najib merupakan seorang pemimpin 'tersendiri' kerana telah dipimpin oleh negarawan terulung dan tersohor di dunia seperti bapa beliau sendiri Tun Abdul Razak, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat untuk meneruskan legasi kecemerlangan itu kepada negara.

''Datuk Seri Najib selaku Presiden dan Perdana Menteri menarik perhatian semua dalam ucapannya dengan menjawab segala soalan dan isu yang dibawa pembangkang, yang dikupas satu persatu dengan penuh logik supaya rakyat memahami apa akan berlaku jika pembangkang menjadi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Sementara itu, Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, Najib memberi peringatan kepada semua ahli UMNO bahawa pilihan raya kali ini amat penting untuk menentukan nasib generasi akan datang yang bukan hanya kepada orang Melayu tetapi semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

''Kita tidak boleh menukar kerajaan kerana kelemahan parti pembangkang membuktikan mereka tidak ada keupayaan untuk mentadbir negara ke arah lebih matang.

''Beliau telah menyeru semua rakyat supaya berfikir secara rasional kerana usaha Barisan Nasional (BN) telah terbukti dapat memberikan pembangunan dan kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

''Oleh itu, ahli UMNO perlu kerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan kerana cabaran kini sangat getir untuk menghadapi pihak pembangkang yang menggunakan pelbagai saluran komunikasi untuk menghasut rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment