My Add

Sunday 29 December 2013

1,005 laporan bantah perhimpunan

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL, RADHUAN HUSSAIN, AZHARI ZAINOODDIN,
ISWAN SHAFIQ MAT ISA, ASSIM HASSAN, SITI ROHAIZAH ZAINAL dan MOHAMED SAARI

 * KETUA Pemuda UMNO Shah Alam, Ahmad Muaadzam Shah Yaakop (empat dari kiri) bersama barisan pemuda mengadakan bantahan aman selepas membuat laporan polis membantah Himpunan Guling Kerajaan di IPD Shah Alam, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR, SABTU 28 Disember, 2013: Penganjuran perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini terus dibantah pelbagai pihak dengan sebanyak 1,005 laporan diterima polis di seluruh negara sehingga petang ini.

Daripada jumlah itu, Perak mencatat jumlah laporan tertinggi iaitu 210 laporan diikuti Sabah (148); Selangor (139); Pahang (93); Melaka (80); Johor (78); Kedah (75); Terengganu (58); Kelantan (44); Perlis (41); Pulau Pinang (13); Kuala Lumpur (12); Sarawak (8) dan Negeri Sembilan (6).

Di Pulau Pinang, Persatuan Muka Buku Pulau Pinang (PMBPP) membuat laporan berhubung pendedahan sebuah blog mendakwa serangan bom bakal dilakukan pada sambutan ambang tahun baharu, dipercayai ada kaitan dengan Himpunan Guling Kerajaan.

Pengerusinya, Salleh Ismail berkata, pihaknya menemukan satu artikel dimuat naik di laman blog http://theunspinners.blogspot.com malam tadi yang mendedahkan mengenai emel yang dikatakan dikirim oleh Abdul Rahim Ghouse kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengenai serangan bom berkenaan.

Di Marang, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicabar agar turut sama membuat laporan polis bagi membantah Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka, 31 Disember ini.

Ketuanya yang juga Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), Datuk Razali Idris berkata, sehingga kini belum ada pemimpin atau penyokong kedua-dua parti berkenaan tampil membuat laporan polis bagi menunjukkan pendirian mereka.

"Kita cabar parti pembangkang supaya buktikan pendirian mereka yang sebenar, adakah mereka sokong atau menentang himpunan tersebut," katanya selepas mengetuai 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Di Seremban, pelbagai NGO berkaitan belia negeri itu mahu pihak berkuasa bertegas terhadap dalang serta menangkap mereka yang berniat jahat untuk mencetuskan huru-hara menerusi Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Disember ini.

Desakan itu dibuat oleh Persatuan Belia Dinamik Barat negeri, Sahabat Majlis Belia Malaysia negeri, Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) negeri, ADUN Belia negeri, Gerakan Belia 4B negeri, Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS), Persatuan Belia Tunggal negeri dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Rasah.

Di Segamat, sebanyak 11 laporan dibuat di IPD Segamat bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas menghalang Himpunan Guling Kerajaan pada minggu depan.

Laporan polis itu dibuat oleh Pemuda UMNO Sekijang, Majlis Belia Daerah Segamat, Pertubuhan Belia 4B Segamat, Pertubuhan Generasi Baru, Pertubuhan Belia Padang Lalang dan Pertubuhan Belia Sulir.

Turut membuat laporan polis secara serentak itu adalah Pertubuhan Belia Batu Anam, Pertubuhan Belia Kampung Tenang, Kelab Pemuda Segamat dan Pertubuhan Belia Mercu Warisan Segamat.

Di Kuala Terengganu, Pemuda dan Puteri UMNO negeri membuat laporan polis di semua lapan bahagian di negeri ini secara serentak bersama kira-kira 40 NGO di seluruh negeri ini.

Di Hulu Terengganu, Puteri UMNO negeri turut membuat laporan polis secara serentak di semua lapan bahagian di negeri ini.

Ketuanya, Rozita Ismail berkata, pihaknya sepakat membuat bantahan tersebut sebagai menunjukkan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap himpunan itu yang dikhuatiri boleh mengganggu gugat ketenteraman negara.

Di Kota Kinabalu, pasukan keselamatan digesa mengambil tindakan tegas menghalang penganjuran Himpunan Guling Kerajaan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Rushimah Zakaria berkata, selain menghalang penganjuran perhimpunan haram itu, pihak polis juga diminta mengambil tindakan ke atas penulis laman blog atau media sosial yang mempromosikan perhimpunan tersebut.

''Kami juga menyokong sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing.

Sementara itu, Pergerakan Puteri UMNO Sabah turut membuat laporan polis di balai polis yang sama sejam kemudian.

Ketuanya, Normala Rasik berkata, pihaknya mengecam sebarang tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang membawa rakyat ke jalanan.

Terdahulu, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sepanggar yang diketuai oleh Ketua Wanita bahagian itu, Datuk Jainab Ahmad membuat laporan yang sama di Balai Polis Menggatal dekat sini kira-kira pukul 11 pagi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment