My Add

Monday, 29 April 2013

Musa akui sentimen ditiup Kit Siang jejas hubungan kaum

JOHOR BAHRU, AHAD, 28 April, 2013: Sentimen perkauman dan ketakutan yang ditiupkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk memancing undi masyarakat Cina diakui akan memberi kesan negatif terhadap keakraban hubungan antara kaum di negeri itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, Johor tidak memerlukan orang dari luar untuk datang dan mengajar tentang hubungan antara kaum apatah lagi mengkritik dan menimbulkan ketakutan dengan sentimen perkauman.

"Saya pernah melalui tragedi 13 Mei 1969, jadi saya tidak akan terima sesiapa yang menggunakan sentimen ini. Saya juga tidak pernah mengeksploitasi perkara ini. Kita harus terima realiti perkauman yang ada, Melayu dengan corak pemikiran dan budayanya, Cina pun sama. Di Johor kita iktiraf semua ini.

"Tetapi Kit Siang mahu tarik pengundi Cina menggunakan emosi dan ketakutan, sama ada dia diterima atau tidak, kita akan dapat tahu 5 Mei ini. Saya berdoa tidak akan timbul huru-hara sesama kita dan saya yakin dengan kematangan intelek rakyat. Baca, dengar dan telitilah kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Gabungan NGO Pasir Gudang di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang di sini hari ini.

Kit Siang adalah calon DAP untuk Parlimen Gelang Patah dan berhadapan dengan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurut Musa, Abdul Ghani telah membuktikan kecemerlangannya dalam mentadbir Johor selama 18 tahun dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disebut-sebut sebagai penggantinya juga mempunyai rekod yang baik dan akan menjalankan pentadbiran yang 'bersih, berkesan dan konsultatif'. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment