My Add

Thursday, 6 February 2014

Warga emas cedera ditikam anak

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
 
 * SAULI Mokthar menunjukkan tempat Ibrahim Che Mud ditikam oleh anaknya di Kampung Seterpa, Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - utusan/Rosni Masri
KOTA BHARU, RABU, 05 Februari, 2014: Gara-gara berselisih faham, seorang anak sanggup menikam ayahnya sendiri sehingga menyebabkan warga emas itu cedera di perut dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Seterpa, Bukit Marak di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Ibrahim Che Mud, 62, dipercayai telah ditikam beberapa kali oleh anak ketiganya yang berusia 37 tahun itu.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan stabil dan kini dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini.

Anak saudara mangsa, Sauli Mokthar, 47, berkata, ketika kejadian beliau tidur di ruang tamu bersama isteri dan lapan orang anaknya sebelum dikejutkan dengan jeritan mangsa.

Katanya, beliau kemudian bergegas ke bilik tidur bapa saudaranya itu dan mendapati dua beranak tersebut sedang bergelut sebelum mangsa terjatuh dengan darah di bajunya.

Ujarnya, beliau kemudian terus membawa mangsa ke hospital sementara anak mangsa yang juga merupakan seorang penganggur melarikan diri dengan membawa pakaian menaiki kereta jenis Proton Wira.

“Saya tidak tahu punca pergaduhan, kerana bapa saudara saya tidak menceritakan apa yang berlaku. Saya difahamkan dua beranak itu sering bergaduh," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Isteri Sauli, Fairuz Che Mat, 42, berkata, mereka sekeluarga sedang bercuti di rumah mangsa sejak lima hari lalu dan tidak menyangka kejadian seumpama itu berlaku.

Katanya, mangsa hanya tinggal berdua dengan suspek, manakala tiga lagi anak warga emas itu menetap di Machang, Kelantan dan di Ipoh, Perak.

“Saya dan keluarga yang tinggal di Kuala Lumpur akan meluangkan masa melawat bapa saudara setiap kali musim cuti sekolah. Cuti kali ini jelas memberi tamparan kepada saya yang sehingga kini masih terkejut dengan kejadian itu,’’ ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu belum menerima maklumat lengkap. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment