My Add

Monday, 29 April 2013

Dibunuh kerana ketegasan?

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 April, 2013: Pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bahagian Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya kelmarin, berkemungkinan akibat sindiket jenayah penyeludupan yang tidak berpuas hati dengan ketegasan mangsa.

Seorang penguat kuasa kanan Kastam yang enggan dikenali berkata, ini berikutan skop kerja mangsa yang berkaitan dengan bidang import dan eksport.

Menurutnya, Shaharuddin sudah banyak kali menggagalkan cubaan menyeludup barangan komersial dari pelbagai negara terutama China melalui laut dan sempadan negara.

"Dalam jabatan (Kastam), Allahyarham terkenal dengan sifatnya yang tegas. Perkara ini memang diakui pegawai dan anggotanya yang sememangnya gentar apabila beliau bersuara.

"Allahyarham juga tidak sesekali berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan terutama sekali dalam aktiviti import dan eksport. Setiap arahan penguatkuasaan wajib dipatuhi semua anak buahnya kerana jika ingkar mereka akan dikenakan tindakan.

"Ketegasannya itu mungkin menyebabkan timbul rasa tidak puas hati kepada sindiket yang rugi selepas banyak kali 'projek' mereka digagalkan. Saya percaya kematian beliau berpunca daripada mereka yang tergugat hingga memaksa mangsa dibunuh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 8.15 pagi itu, Allahyarham mati ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya iaitu ketika kenderaan dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan.

Ditanya mengenai kematian mangsa mempunyai hubungan dengan operasi cukai penyeludupan kereta dari Langkawi yang dilakukan secara besar-besaran baru-baru ini, pegawai itu menganggapnya sebagai tiada kaitan kerana jenayah tersebut dilakukan secara individu.

"Operasi itu dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Shaharuddin mungkin terlibat secara langsung tetapi saya tidak merasakan ia menjadi punca pembunuhannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment