Kes tembak: Polis rayu maklumat orang ramai
KUALA LUMPUR, AHAD, 28 April, 2013: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes seorang pemilik kedai gunting mati ditembak di bulatan Taman Billion, Cheras di sini kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan pihaknya sedang berusaha mengumpul maklumat untuk mengesan suspek terlibat dalam insiden itu.
"Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat tetapi polis sedang berusaha mencari petunjuk untuk mengesan dua suspek yang terlibat menembak mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi kelmarin, seorang pemilik kedai gunting rambut, R. Karikaalan, 29, ditembak dua penjenayah bermotosikal di bulatan Taman Billion, Cheras.
Kejadian berlaku ketika Karikaalan dan ibunya dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian manakala ibunya cedera di bahagian lengan.
Chin Wah berkata, orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Rakan Cop di talian 03-2115 9999 atau menghantar pesanan ringkas (SMS) ke 32728 bagi membantu siasatan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment