Najib janji terus bela nasib tentera
KUANTAN, AHAD, 28 April, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru anggota tentera di seluruh negara supaya terus bersama-sama dengan sebuah kerajaan yang terbukti mengerti, faham dan mendokong sepenuhnya masa depan pasukan keselamatan.
Menurut Perdana Menteri, ini termasuk dalam soal kebajikan anggota, yang sudah menjadi dasar kerajaan pimpinannya untuk memastikan pasukan keselamatan dapat bertugas dalam suasana terbaik sekali gus menjaga dan memelihara maruah pasukan keselamatan.
''Pengalaman sebagai Menteri Pertahanan selama 14 tahun menjadikan saya memahami selok-belok keperluan angkatan tentera dari segi latihan, kelengkapan dan sebagainya di samping saya juga amat menghayati betapa perlunya kerajaan menjaga kebajikan anggota tentera.
''Sebab itu, saya berpegang pada falsafah, kalau kita jaga kebajikan anggota tentera maka mereka akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan kepentingan negara," katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama warga Kem Batu 10 di sini hari ini.
Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Panglima 4 Briged Mekanize, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Rahim Abdul Mutalib.
Sementara itu, jelas Najib, dalam soal kebajikan tentera, beliau berpuas hati kerana dapat meluluskan cadangan kenaikan pangkat berasaskan 'time based' melibatkan anggota berpangkat prebet dan lans koperal pada awal tahun ini.
''Sebelum ini ada juga anggota kita yang pencen dalam jawatan prebet. Insya-Allah dengan adanya kenaikan pangkat berasaskan 'time based', semua anggota jika tiada masalah disiplin serius, boleh bersara pada pangkat koperal setidak-tidaknya. Ini dapat menjamin masa depan keluarga dan anggota kita bila mereka bersara.
''Selain itu, kerajaan juga telah menyetarakan gred jawatan dan gred gaji ATM dengan perkhidmatan awam. Inilah langkah yang kita lakukan kerana kita percaya kebajikan tentera perlu dijaga sebaik-baiknya," jelasnya.
Dalam pada itu, tegas Najib, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan dan bukan sebaliknya.
Menurut Najib, sebagai Menteri Pertahanan ketika insiden Al-Maunah di Sauk, Perak berlaku, beliau amat mengerti betapa pedihnya perasaan pasukan keselamatan apabila sesuatu insiden itu dituduh sebagai sandiwara.
''Sekali lagi kecaman yang sama dilakukan kepada pasukan keselamatan kali ini, tuan-tuan juga berasa pedih. Saya kira itu perbuatan khianat dan terpesong sama sekali.
''Tetapi itulah keadaan dalam negara kita, ada yang sayang dan terus membela anggota tentera tetapi ada orang yang semata-mata nak main politik dalam apa jua isu," katanya.
Sedangkan kata Najib, soal keselamatan bukanlah suatu perkara yang sepatutnya dijadikan sebagai bahan politik oleh sesiapa pun tanpa mengira fahaman mereka.
''Tak apalah jika mereka bersikap demikian, tetapi percayalah kerajaan yang saya pimpin akan tetap bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan pasukan keselamatan yang lain," ujarnya - UTUSAN.
No comments:
Post a Comment