My Add

Monday, 29 April 2013

Veteran tentera berdiri teguh di belakang kerajaan

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 April, 2013: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) yang mempunyai lebih 170,000 ahli hari ini menyatakan pendirian untuk memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan dan kerajaan sedia ada.

Presiden PBTM, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendukung kebaikan negara, persatuan tersebut akan berdiri teguh di belakang kerajaan dalam apa jua keadaan.

"Kami risau sejak kebelakangan ini terdapat sebahagian ahli diganggu gugat pihak tertentu yang mementingkan agenda politik dan peribadi.

"Maka PBTM terpanggil untuk membukti dan menzahirkan bahawa semangat kewiraan dan patriotik veteran tentera adalah tetap dan abadi," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Raksasa: Gema Patriotik di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Kira-kira 6,000 veteran tentera yang hadir dalam perhimpunan itu memberikan tepukan gemuruh serta melaung kata-kata sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sebaik sahaja Mohd. Anwar menyatakan pendirian PBTM itu.

Perhimpunan besar-besaran itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mengulas lanjut, Mohd. Anwar berkata, ahli-ahli PBTM berterima kasih kepada kerajaan sedia ada kerana prihatin dan ambil berat tentang kebajikan bekas tentera.

"Saya juga percaya bahawa kerajaan akan mempertimbangkan beberapa perkara untuk memantapkan kebajikan veteran tentera," katanya.

Beliau berkata, PBTM berada dalam proses penjenamaan semula di mana fokus utama ialah memulihkan imej dan kewibawaan organisasi itu bagi memastikan kewujudannya relevan dan diyakini sepanjang zaman.

"Pelan dan strategi telah dibuat untuk membawa PBTM menjadi sebuah organisasi terbilang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment