*WAN Mohamad Zuki Mohamad (tengah) menyatakan sesuatu kepada Sakaran Dandai (kanan) sambil diperhatikan oleh Mohd. Shafie Apdal (kiri) pada Pesta Regatta Lepa di Semporna, Sabah, semalam. |
Beliau berkata, peruntukan bantuan RISDA untuk pekebun kecil di Sabah kini berjumlah RM1.231 juta dengan setiap hektar yang ditanam semula diberi bantuan RM14,000.
"Jumlah tersebut saya jangka akan bertambah lagi apabila banci pekebun kecil yang bakal kita laksanakan pada Mei ini. Jumlah yang berdaftar dan menyertai Program Tanam Semula Getah RISDA sejak 2011 hingga kini adalah 26 orang dengan keluasan tanam semula 87.93 hektar.
"Fokus RISDA pada tahun ini adalah pada Sabah dan Sarawak kerana kami faham pekebun kecil di kedua-dua negeri ini amat terhad pilihan mereka dan tugas RISDA kini adalah untuk membantu mensejahterakan kehidupan dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil," katanya semasa menyaksikan Pesta Regatta Lepa di sini hari ini.
Pesta itu dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Yang turut hadiri, bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai.
Sehubungan itu, pekebun-pekebun kecil Sabah dan Sarawak diminta tampil untuk mendaftar di bawah RISDA bagi penyaluran bantuan dan bimbingan dalam mengelolakan kebun kelapa sawit dan getah mereka.
Wan Mohamad Zuki berkata, RISDA turut mengadakan kerjasama dengan Lembaga Industri Getah Sabah bagi memperkukuhkan usaha agensi itu dalam membantu pekebun kecil.
"Pekebun kecil ini kita berikan pilihan untuk memilih menanam getah ataupun kelapa sawit, tidak ada sekatan daripada RISDA semuanya terserah kepada mereka cuma RISDA membantu seboleh yang mungkin," katanya sambil menambah minggu lepas RISDA telah memberikan bantuan one-off berupa benih sawit kepada pekebun kecil di sini.
"Pada program tersebut seramai 100 orang pekebun kecil telah menerima bantuan 5,000 anak benih sawit dengan nilai kos benih RM70,000," katanya.
Wan Mohamad Zuki berkata, bantuan khas tersebut dilaksanakan setelah mengambil kira bebanan yang terpaksa ditanggung pekebun kecil memandangkan pendapatan mereka kini merosot - UTUSAN.
No comments:
Post a Comment