My Add

Monday, 29 April 2013

PRU-13: Najib ingatkan rakyat jangan buat eksperimen

Oleh HELMI MOHD. FOAD

 *NAJIB Razak dikerumuni ribuan penduduk yang mengambil peluang melihat lebih dekat dan bersalaman dengan Perdana Menteri pada majlis ramah mesra bersama penduduk Pandamaran Jaya Barat, di Klang malam tadi. - UTUSAN
KLANG, ISNIN, 29 April, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Selangor agar tidak melakukan eksperimen dengan mengundi parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana tindakan itu akan membahayakan masa depan mereka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, janji-janji yang ditaburkan oleh parti pembangkang tidak boleh dipercayai kerana selepas lima tahun mereka memerintah negeri ini tiada perubahan dilakukan untuk manfaat rakyat.

Katanya, pakatan pembangkang yang sekali lagi meminta mandat untuk lima tahun masih tidak mampu menyelesaikan banyak masalah antaranya isu bekalan air dan gagal menunaikan janji dalam manifesto mereka.

"Jadi kita cakap cukuplah, masa untuk berubah. Saya memberikan jaminan jika Selangor dapat bersama dengan Kerajaan Pusat, negeri ini akan pasti lebih maju.

"Cukuplah dia bertenggek atas kita, kita bina Shah Alam, kita bawa kilang dan sedia infrastruktur hebat. Jasa siapa? Lima tahun.. ilek (tiada ada apa),'' katanya ketika berucap dalam perjumpaan bersama rakyat di Taman Pandamaran Jaya di sini malam tadi.

Majlis itu dihadiri lebih 5,000 penduduk dari sekitar Klang.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd. Zin Mohamed; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan calon-calon BN bagi Parlimen Klang, Datuk Teh Kim Poh; Datuk Nassaruddin M. Zin (Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang); Datuk Ching Eu Boon (DUN Pandamaran) dan Datuk Maglin D'Cruz (DUN Kota Alam Shah.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut melontarkan pertanyaan adakah pengundi mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Awang atau Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Orang ramai dengan laungan bersemangat menjawab "tidak".

"Anwar tidak boleh pakai, DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga tidak boleh pakai. Mereka tidak boleh berpakat, di depan sahaja tetapi di belakang lain cerita, kalau ini dalam kerajaan hancur negara kita.

"Orang Melayu tidak dapat menerima dasar DAP dan orang bukan Islam takut kepada dasar Pas manakala PKR adalah parti tidak tentu arah, semua boleh, pluralisme boleh, LGBT boleh,'' katanya.

Sebaliknya Najib menegaskan, pentadbiran BN mempunyai keberanian untuk merancang sesuatu janji yang ditepati selain mengekalkan keamanan negara dengan rakyat tinggal sebagai sebuah keluarga di bawah konsep 1Malaysia yang adil dan inklusif.

"Sekarang Hindraf juga sudah yakin dengan BN kerana dia tengok siapa yang ada agenda untuk membantu masyarakat India dan hari ini mereka sedang berkempen untuk BN menang majoriti dua pertiga,'' katanya.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata, sekiranya rakyat mahu beliau terus menerajui negara, maka mereka perlu memberikan undi kepada semua calon BN terutama di Selangor.

"Saya tidak boleh buat kerja seorang. Mereka (calon BN) teguh berdiri di belakang saya, mereka selamat berada di belakang saya,'' katanya.

Najib berkata, BN akan memastikan segala aku janji yang ditawarkan kepada rakyat akan dilaksanakan sekiranya parti itu mendapat mandat dalam PRU-13.

"Saya tidak mahu dianggap munafik. Orang munafik adalah mereka yang tidak menepati janji. Adakah anda mahu orang munafik memerintah?'' katanya.

Beliau menyifatkan perhimpunan malam ini menunjukkan isyarat yang jelas bahawa pengundi di Selangor sudah bersedia menukar kerajaan negeri.

"Cukuplah... mari kita tukar kerajaan (negeri),'' katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment