My Add

Wednesday 30 April 2014

Bumiputera perlu terokai perniagaan baharu untuk lebih maju

KAPIT, SEL SELASA 29 April, 2014: Usahawan bumiputera dinasihatkan agar aktif mencari peluang baharu dalam perniagaan dan tidak boleh hanya bergantung kepada program atau projek pembangunan kerajaan jika ingin mencapai kejayaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, perkara yang sering menjadi kekangan kepada kejayaan usahawan bumiputera adalah mereka terlalu banyak mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Katanya, mereka juga digesa supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada projek komersial dan bantuan daripada Lembaga Pembangunan Industri ( CIDB) kerana ia mendapat banyak saingan.

“Bagi usahawan di luar bandar, fikirkan mengenai peluang baharu. Sebagai contoh, program rumah penginapan atau terlibat dalam industri asas tani.

“Semua ini mungkin sesuatu yang baharu tetapi berbaloi untuk diterokai cuma ia memerlukan kemahiran pengurusan baharu untuk membolehkan kita berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Agung tiga tahun sekali Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) cawangan Kapit di sebuah hotel di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar lebih ramai usahawan bumiputera di negeri ini melibatkan diri dalam Program Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) yang dirancang khas untuk membantu usahawan bumiputera.

Katanya, program yang dirancang sejak 2012 itu setakat ini belum melihat peserta atau usahawan dari Sarawak memenangi hadiah yang ditawarkan.

“Atas sebab itu, saya mahu lebih ramai usahawan kita melibatkan diri agar kita mendapat faedah daripada program ber­kenaan," katanya.

Menurut beliau, kementerian memper­untukkan RM20 juta sebagai hadiah untuk pemenang pertandingan RBC setiap tahun.

“Hadiah utama berjumlah RM2 juta, manakala tempat kedua RM500,000 dan RM300,000 bagi tempat ketiga. Namun, hadiah tidak dalam bentuk wang tunai tetapi berupa insentif untuk membeli peralatan dan bahan-bahan untuk mengembangkan perniagaan," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment