My Add

Wednesday 30 May 2012

Muncul juara serantau

*NAJIB menjawab soalan peserta pada sesi dialog persidangan Invest Malaysia 2012 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia, Datuk Seri Johan Raslan (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh NORLAILI ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Mei, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan muncul sebagai juara serantau dan tidak terlalu berharap kepada kos buruh yang murah serta subsidi kerajaan di negara ini.

Najib yang gigih mempromosikan pelan-pelan transformasi kerajaan bagi memastikan Malaysia mampu mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, menyeru syarikat-syarikat tempatan untuk keluar bersaing di pasaran luar negara.

Beliau berkata, Malaysia memiliki terlalu banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mereka boleh dididik untuk lebih berjaya dalam perniagaan dan seterusnya menjadi juara serantau.

Katanya, bukan beliau tidak berpuas hati dengan pencapaian syarikat-syarikat tempatan setakat ini tetapi masih banyak lagi usaha yang boleh dipertingkatkan.

"Saya mahu melihat mereka lebih inovatif, menggunakan teknologi terkini dengan melaksanakan amalan perniagaan terbaik dan tidak hanya berharap kepada kos buruh yang murah serta subsidi-subsidi daripada kerajaan.

"Saya mahu mereka berjaya kerana bijak mengurus perniagaan dan efisien," katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Invest Malaysia 2012 di sini hari ini.

Mengulas mengenai hasrat kerajaan Indonesia untuk mengetatkan polisi pemilikan syarikat asing dalam sektor perbankan di negaranya, Najib berkata, cadangan itu dibimbangi boleh menjejaskan semangat perpaduan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Katanya, Malaysia telah menghantar mesej kepada pemimpin Indonesia supaya tidak melakukan pertukaran polisi negara terlalu kerap kerana ia akan menyukarkan negara-negara lain untuk melabur ke sana.

"Saya sebenarnya tidak berapa gemar jika negara-negara ASEAN menukar sesuatu dasar terlalu cepat. Saya menaruh harapan perubahan dasar pemilikan asing sektor perbankan Indonesia tidak menjadi realiti," katanya.

Jelas Najib, buat masa ini, Malaysia masih mengekalkan kawalan majoriti bagi bank-bank di Malaysia dengan membenarkan 30 peratus pemilikan asing.

Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia bersedia untuk mengkaji semula dasar berkenaan termasuk meningkatkan pemilikan asing dalam sektor berkenaan sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian pada masa depan.

Mengulas mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) antara Malaysia dan sembilan buah negara dengan Amerika Syarikat, beliau berharap perjanjian tersebut dapat dimeterai, namun memberi jaminan tidak mengabaikan kepentingan domestik.

Katanya, TPP amat penting terutama kepada Amerika Syarikat kerana negara tersebut sangat memerlukan kerjasama dengan ASEAN, sebuah rantau yang paling pesat membangun di dunia.

Bagaimanapun, beliau yakin TPP tidak mungkin dapat dimuktamadkan mengikut jadual atau pada hujung tahun ini berikutan beberapa isu yang masih belum diselesaikan, selain pilihan raya Amerika Syarikat yang bakal diadakan pada November ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment