My Add

Thursday 31 May 2012

Program kemahiran kepada golongan pekerja di politeknik

IPOH, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Tiga puluh buah politeknik di seluruh negara menawarkan program ”reskilling and upskilling” kepada golongan pekerja untuk mengikuti 35 kursus jangka pendek, panjang dan spesfik bagi meningkat kemahiran mereka serta mendapat ilmu pengetahuan baru.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menyasar 15,000 pekerja akan mengambil peluang mengikuti kursus yang ditawarkan itu dengan kos latihan paling rendah berbanding kursus yang ditawarkan swasta.

"Kita perluaskan program ini supaya dapat mengukuhkan dan memberi peluang kepada golongan pekerja serta membantu meningkatkan lagi kemahiran mereka. Ini penting, kita bukan hanya mahu memenuhi tuntutan negara malah kita mampu tingkatkan kemampuan negara untuk bersaing dalam dunia global di mana rakyat perlu melalui proses pembaharuan dan pencapaian kemahiran dan ilmu pengetahuan baru,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan program ”Reskilling and Upskilling” Politeknik di Politeknik Ungku Omar di sini.

Mohamed Khaled berkata, pada masa sekarang, 23 daripada 30 politeknik bersedia menawarkan 35 program kepada golongan pekerja dan jumlah politeknik itu akan bertambah apabila setiap politeknik menentukan program masing-masing.

Beliau berkata, negara memerlukan sebanyak 33 peratus pekerja mahir pada 2015, iaitu peningkatan sebanyak lima peratus daripada 28 peratus jumlah pekerja ketika ini, dengan jumlah pekerja keseluruhan adalah sebanyak 11.8 juta pada 2010.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment