My Add

Thursday 31 May 2012

SPRM didesak buka semula kes Azmin

PUTRAJAYA, RABU, 30 Me, 2012: Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan terhadap Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali ekoran pendedahan pengendali portal pro pembangkang, Raja Petra Kamaruddin.

Mursyidul Am TIBAI, Muhammad Zahid Md. Arip, berkata, SPRM perlu menggunakan kuasa bagi membuka semula kes tersebut selain turut menyiasat salah guna kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, dalam pendedahan itu, Raja Petra mendakwa Anwar pada 1995 mengarahkan pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghentikan siasatan berhubung kekayaan luar biasa bernilai jutaan ringgit milik Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin, walaupun hanya bergaji RM2,442 sebulan selaku setiausaha sulit ketika itu.

"TIBAI juga memberi masa seminggu kepada SPRM untuk membuka kembali kes tersebut dan jika gagal, satu demonstrasi akan diadakan di depan ibu pejabat suruhanjaya itu bagi mendesak badan tersebut mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM mengenai pendedahan pengendali portal pro pembangkang, Raja Petra itu.

Turut mengiringi Muhammad Zahid membuat laporan tersebut ialah Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah dan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) Mohd. Ali Baharom.

Menurut Muhammad Zahid, selain kes Anwar, TIBAI turut membuat laporan kepada SPRM berhubung habuan RM50,000 dan beberapa jawatan di Pulau Pinang kepada bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim agar beliau terus kekal dalam parti itu.

"Tawaran itu boleh dianggap sebagai satu perbuatan rasuah atau 'membeli' Tunku Abdul Aziz kerana bertujuan memujuknya agar tidak keluar daripada DAP,'' katanya.

Beliau berkata, perbuatan yang mempunyai unsur rasuah itu perlu disiasat kerana ia boleh mencemar nama baik bekas Senator itu.

Dalam pada itu, katanya, TIBAI juga menyeru pihak polis melakukan siasatan terhadap Anwar dan Azmin mengikut kesalahan pemerdagangan manusia.

"TIBAI mahu pihak polis menyiasat mereka mengikut kesalahan pemerdagangan manusia kerana dikhuatiri Azmin menggunakan Shamsidar untuk mengaut keuntungan daripada Anwar," katanya.

Sementara itu, katanya, selain laporan kepada SPRM, TIBAI juga kan membuat laporan polis membabitkan tiga kes tersebut bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment