Muhyiddin tiada niat singgung keluarga Azizan
JERAI, SELASA, 29 Oktober, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak berniat langsung untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dalam kenyataannya yang mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula dengan penyakit kencing manis bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau meminta maaf secara terbuka jika kenyataannya itu disilap tafsir atau dirasakan menyinggung perasaan ahli keluarga Allahyarham.
Beliau berkata, dalam kenyataannya, beliau menyebut mengenai Belanjawan 2014 dan kemudian membangkitkan isu pemansuhan subsidi gula dan antara lain berhubung masalah penyakit kencing manis supaya menjaga kesihatan.
"Bukan tujuan saya untuk mencemarkan nama baik Allahyarham atau pun merendah-rendahkan atau memperkecilkan kerana kita tahu beliau adalah pemimpin baik. Waktu Allahyarham masih hidup pun saya menziarahinya.
"Jadi bukan tujuan untuk itu, saya sebut sepintas lalu saja. Apa pun sebagai manusia, kalau kenyataan itu disalah tafsir atau dirasakan agak menyinggung perasaan keluarga, saya mohon maaf," katanya kepada pemberita selepas program sepetang bersama Timbalan Perdana Menteri di Madrasah Mazahirul Ulum, Bukit Choras di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, sebagai orang Islam kalau terlanjur perlu meminta maaf kerana yang penting ialah saling bermaafan sesama sendiri.
Ini kerana kata beliau, tujuannya adalah jelas untuk kebaikan dan tidak mempunyai niat jahat serta bukan mahu mengambil kesempatan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
"Isu yang saya jelaskan ialah manfaat yang dapat dan berharap ia tidak dipergunakan sebagai bahan kempen di Sungai Limau," ujar beliau.
Tambah Timbalan Perdana Menteri, wakil Pemuda Pas ada bertemunya berhubung perkara berkenaan dan mereka faham selepas diberi penjelasan tiada niat jahat dalam kenyataan tersebut.
Berikutan itu, beliau berharap isu berkenaan selesai dengan penjelasan dan permohonan maaf tersebut.
Beliau turut meminta video kenyataannya itu disemak semula kerana nadanya langsung tidak berniat jahat tetapi telah dijadikan isu.
Ketika ditanya tentang kemungkinan kerajaan menghantar Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir untuk memohon maaf secara rasmi kepada keluarga Allahyarham, Muhyiddin berkata, tiada arahan dikeluarkan dan berharap penjelasannya hari ini memadai. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment